NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Rombak kurikulum sekolah, fokus konsep integrasi ilmu



Oleh Siti Fatimah Ishak

BANGI, 16 Rabiulakhir 1440H, Isnin – PAS meminta kerajaan Pakatan Harapan merombak kurikulum sekolah dengan menekankan konsep integrasi ilmu – merujuk kepada kesepaduan antara ilmu wahyu dan akal.

Perkara itu dicadangkan Ketua Penerangannya, Ustaz Nasrudin Hasan sebagai respon kepada kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini, kononnya sekolah kebangsaan telah berubah menjadi ke arah sekolah agama.

Mengakui kurikulum yang diamalkan sudah baik, namun katanya perlu diperkemaskan selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara untuk mengembangkan potensi pelajar secara menyeluruh dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

Justeru, PAS mencadangkan konsep integrasi ilmu perlu diterapkan bagi membentuk jati diri dan kefahaman pelajar.

"Kebanyakan institusi pendidikan seperti di Selangor, Terengganu dan Kelantan telah menyuburkan konsep integrasi, seperti pelaksanaan Sekolah Rendah Agama Integrasi, Maktab Rendah Sains Mara Ulul Albab dan Maahad Tahfiz Sains.

"Sambutan masyarakat sangat menggalakkan. Hal ini menjadi indikator bahawa para ibu bapa mahu anak-anak mendapat mendapat ilmu yang seimbang, termasuk penghayatan terhadap adab dan akhlak," katanya.

Dr Mahathir sebelum ini dilaporkan berkata, kurikulum sekolah kebangsaan sudah menjadi sekolah agama kerana sesi pembelajaran hanya memfokuskan kepada subjek agama Islam dan tidak pada subjek lain.

Justeru, kerajaan memutuskan untuk mengkaji semula kurikulum sekolah, yang mana subjek agama tidak diajar pada setiap waktu dalam sesi persekolahan.

Mengulas lanjut, Ustaz Nasrudin turut mencadangkan supaya kerajaan menjadikan subjek Pendidikan Islam dan Moral sebagai syarat wajib lulus bagi semua peperiksaan utama negara.

"Hanya ada satu sahaja subjek Pendidikan Islam dan ia tidak diajar setiap hari. Pada masa yang sama, setiap pelajar akan dinilai praktikaliti amalan fardhu ain seperti berwuduk dan bersolat," katanya.

Sumber: https://www.ismaweb.net/2018/12/24/rombak-kurikulum-sekolah-fokus-konsep-integrasi-ilmu/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo