NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Rawai FC Bawa Pulang Piala YB ADUN Alur Limbat


Oleh : Ahmad Fadhilah

KUALA TERENGGANU 25 Disember – Pasukan Rawai FC muncul juara dalam perlawanan akhir menentang Binjai Bongkok FC pada kejohanan bola sepak 11 sebelah tertutup Dewan Undangan Negeri (DUN) Alur Limbat dan membawa pulang Piala Yang Berhormat Ariffin Deraman, semalam. 

Ketua jurulatih pasukan Rawai FC, Malik Abdullah, berkata perlawanan sengit ini tamat pada minit 60 dengan keputusan penuh seri 1-1 dan pengadil terpaksa membuat keputusan mengadakan sepakan dari penalty lima lawan lima dan kemenangan akhirnya berpihak kepada Rawai FC 5-4.

"Pada separuh masa yang pertama kita telah mendahului satu gol, namun di separuh masa kedua, pasukan rawai agak kepincangan menyebabkan pasukan lawan dapat menjaringkan gol di 10 minit akhir.

"Walau bagaimanapun keputusan penalti telah berpihak kepada kami iaitu pasukan Rawai FC dengan keputusan 5-4 dan saya sangat bersyukur serta berbangga dengan pasukan saya yang agak serba kekurangan ini telah menjuarai kejohanan kali ini. Tahniah dan syabas kepada pemain-pemain Rawai FC,"ujar beliau kepada Urusetia Penerangan Darul Iman(UPDI)ketika ditemui selepas perlawanan di padang bola, Banggol Katong.

Dalam pada itu, Ahmad Sukeri Repin, 38, telah dinobatkan sebagai pemain terbaik kejohanan yang juga merupakan ketua pasukan Rawai FC menyifatkan kemenangan kali ini adalah milik bersama.

"Kejayaan Rawai FC bukan terletak pada saya seorang, malah ianya kerjasama satu pasukan dan saya ingin ucapkan terima kasih kepada sahabat seperjuangan kerana telah memberi komitmen dan kerjasama yang bagus ketika perlawanan akhir ini

"Alhamdulillah, saya berasa bangga walaupun diusia sebegini masih lagi diberi peluang untuk menerima anugerah ini,"katanya lagi.

Kejohanan ini mengambil masa dua bulan dengan 39 perlawanan di setiap hujung minggu yang diadakan di empat padang iaitu padang bola Belukar Sukai, padang bola Banggol Tok Ku, padang bola Banggol Katong dan padang bola Rawai yang dianjurkan oleh Pejabat DUN dan Pemuda DUN Alur Limbat.


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo