Perhimpunan ICERD bukan ancaman kepada kerajaan


PORT DICKSON, 1 Rabiulakhir 1440H, Ahad – Perhimpunan menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang berlangsung di ibu negara semalam, tidak menjadi ancaman kepada kerajaan Pakatan Harapan.

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, ini kerana kerajaan mempunyai pendirian yang sama dengan apa yang diperjuangkan dalam perhimpunan tersebut.

"Anggaran kami lebih 100,000 orang yang hadir dan angka itu tidak menggugat kami kerana kerajaan ada pendirian yang sama iaitu tetap menolak ratifikasi ICERD.

"Dalam hal ini kita tidak melihat ia sebagai satu bantahan terhadap kerajaan, lainlah kalau kerajaan dah menyatakan hasrat untuk meneruskan ratifikasi ICERD," katanya kepada media selepas merasmikan Konvensyen Perjuangan Bersatu Negeri Sembilan di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Sembilan, Tan Sri Dr Rais Yatim dan Pengerusi Pakatan Harapan negeri yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun.

Pada 23 November lepas, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, kerajaan Pakatan Harapan tidak akan meratifikasi ICERD dan akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang di dalamnya termaktub kontrak sosial dipersetujui wakil semua kaum ketika pembentukan negara ini.

Mukhriz berkata, banyak lagi isu dalam negara yang perlu diperjuangkan seperti isu rasuah dan penyelewengan kuasa.

"Isu ICERD ni datangnya dari luar negara, sedangkan dalam negara ini banyak lagi isu yang menjejaskan rakyat perlu diperjuangkan dan ditentang.

"Apabila ada kerajaan yang tidak berintegriti, malah salah guna kuasa, penyelewengan.. itulah sebenarnya yang akan mengugat dan menjejas rakyat," katanya.

Sementara itu, ketika berucap di hadapan lebih 500 anggota Bersatu Negeri Sembilan, Mukhriz berkata, walaupun sudah menjadi kerajaan, anggota parti itu tidak boleh berasa terlalu selesa, sebaliknya perlu terus bekerja mendekati akar umbi.

"Sekarang ni pembangkang pula dah ambil alih tugas kita sebelum Pilihan Raya Umum yang lepas, iaitu mendekati rakyat dan menggunakan macam-macam pendekatan untuk membentuk pemikiran rakyat.

"Maka berbaliklah kepada cara lama kita dulu, adakan sesi penerangan, turun berjumpa rakyat dan gunakan media sosial sebagai medan sebenar membentuk pemikiran rakyat," katanya.

Mengenai konvensyen ini, Mukhriz berkata, ia sebagai platform untuk mengumpul pendapat anggota Bersatu dalam menyampaikan hasrat, aspirasi dan teguran membina, untuk dibawa ke Perhimpunan Agung Bersatu pada 28 hingga 30 Dis ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.- Bernama\
Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget