NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PERANTAU terus melangkah


KUALA LUMPUR: Kira-kira 200 ahli Persatuan Anak Terengganu di Perantauan (PERANTAU) dan keluarga berkumpul di Kafe Masakan Terengganu Asli, Masjid Bandar Kinrara, di sini, hari ini, bagi memperkukuhkan persatuan dan kesatuan sesama ahli.

Presidennya, Prof Dr Kamaruzaman Yusoff, berkata peluang bertemu itu juga digunakan untuk membincangkan cadangan program sebelum dikemukakan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan, Wan Sukairi Wan Abdullah, untuk kelulusan dan penyelarasan.

Katanya, jawatankuasa berkenaan kini bertanggung jawab ke atas hal ehwal 17 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan anak Terengganu di perantauan, yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia sehingga kini.

Mula digerakkan pada 2004 sebelum ditubuhkan secara rasmi 10 tahun kemudian, beliau berkata, PERANTAU kini mempunyai cawangannya di seluruh negara.
PRESIDEN PERANTAU, Prof Dr Kamaruzaman Yusoff ketika menyampaikan ucapan.

Malah, katanya, ahli PERANTAU juga terdapat di negara-negara di Asia Barat, New Zealand, Australia dan Brunei Darussalam.

“Dengan adanya wakil di negeri dan negara terbabit, ia memudahkan anak Terengganu yang berada di perantauan mendapat maklumat mengenai program yang dianjurkan kerajaan Terengganu dan PERANTAU.
“Justeru, saya mengajak anak Terengganu yang berada di perantauan menyertai PERANTAU bagi memantapkan program yang dirancang,” katanya ketika meraikan kehadiran ahli PERANTAU.

Hadir sama, Ketua Eksekutif Darul Iman Training Centre, Mohd Shuhaimi Embong; Penolong Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (Agama) Polis Diraja Malaysia, Asisten Komisioner Ghazali Daud dan Penceramah Agama, Ustaz Syed Mohd Norhisyam Al-Idrus.

Pada pertemuan itu, ahli PERANTAU dijamu dengan pelbagai hidangan tradisi Terengganu yang disediakan Kafe Masakan Terengganu, antaranya nasi dagang, laksa Terengganu, keropok lekor, bubur lambuk, kuih urat jati dan sekaya telur.

Ahli PERANTAU kemudian mengakhiri pertemuan dengan menunaikan solat Asar berjemaah di Masjid Bandar Kinrara.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2018/12/512860/perantau-terus-melangkah

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo