NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pembunuh Adib pelampau, pengganas, kata Mufti Perlis



BANGI, 10 Rabiulakhir 1440H, Selasa – Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin menyifatkan pembunuh yang menyebabkan kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim, 24 tahun, sebagai kumpulan pengganas dan pelampau.

"Dia telah terkorban semasa bertugas demi negara hasil dari perbuatan kumpulan pengganas.

"Pihak berkuasa hendaklah segera membawa kumpulan pengganas tersebut ke pengadilan dan menerima hukuman yang wajar. Harga nyawa tidak boleh dipandang ringan.

"Pembunuh mesti dihukum bunuh melainkan jika keluarga mangsa memaafkan. Jika tidak, rosaklah keseimbangan keadilan dalam hidup ini," katanya dalam kenyataan di laman Facebook beliau, lewat malam tadi.

Beliau memetik Surah Al-Baqarah ayat 179 yang bermaksud:

"Dan bagi kamu hukuman qisas (bunuh balas itu) kehidupan wahai golongan Ulul Albab, mudah-mudahan kamu bertakwa".

Beliau berkata, jika pembunuh Muhammad Adib tidak dibawa ke muka pengadilan, maka tiada apa lagi yang puak pengganas dan pelampau itu akan akur terhadap undang-undang negara.

Sambil mengucapkan takziah kepada keluarga anggota bomba itu, beliau menjelaskan bahawa hukum bunuh balas yang berjalan dalam negara kita adalah qisas.

"Jangan kita dikelirukan oleh golongan yang tidak berpengetahuan menyatakan bahawa qisas itu hanya apa yang parti tertentu sebutkan," katanya.

Muhammad Adib menghembuskan nafas terakhir selepas bertarung nyawa selama 22 hari, di IJN, akibat kecederaan parah di badan setelah dipukul perusuh Kuil Sri Maha Mariamman Seafield di Subang Jaya, Selangor, bulan lalu.

Jenazah beliau akan dibawa ke Balai Bomba Hang Tuah di ibu negara esok untuk penghormatan terakhir, sebelum dibawa ke kampungnya di Tebengau, Kuala Sala, Kedah, untuk dikebumikan.

Pada 27 November lalu, Muhammad Adib diserang perusuh di kuil berkenaan tanpa mempedulikan Allahyarham ketika itu adalah seorang penjawat awam yang sedang melakukan tugas membantu orang ramai.

Dalam kejadian itu, Muhammad Adib dilaporkan ditarik perusuh di kawasan kuil ketika pasukannya berundur dari lokasi rusuhan dan dipukul tanpa belas kasihan.

Polis sebelum ini menangkap empat lelaki disyaki terbabit menyerang Muhammad Adib, tetapi Mahkamah Majestret kemudian membebaskan mereka dengan ikat jamin polis dan bon mahkamah.

Kes itu mulanya disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh, tetapi kini diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, kerana membunuh.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo