NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pemakaian Baju Kebangsaan: Speaker DUN Selangor Ditegur


KUALA TERENGGANU,  30 November - Speaker Dewan Negeri (DN) Selangor Tuan Ng Suee Lim,  tidak wajar menetapkan bahawa baju Melayu bukan lagi pakaian yang dibenarkan untuk masuk ke persidangan dewan itu kecuali hari Jumaat. 

Speaker berkenaan sepatutnya menarik balik ketetapan yang dibuat kerana boleh mencetuskan permusuhan kaum dan bertentangan dengan ketetapan rasmi kerajaan bahawa ia sebagai Pakaian Kebangsaan. 

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan,  Keluarga, Pembangunan Wanita dan Perpaduan Nasional Negeri,  Haji Hanafiah Mat berkata, beliau kecewa apabila speaker DN Selangor tidak membenarkan Ahli Dewan Negeri (ADN) memakai baju Melayu masuk ke DN kecuali hari Jumaat sahaja. 

"Ini satu lagi isu perkauman, saya rasa baju Melayu telah menjadi tabi'i kepada orang Melayu. 

"Kenapa orang Cina mengambil kesempatan sebegitu rupa," soal beliau. 

Haji Hanafiah meminta speaker berkenaan menarik balik kenyataan tersebut supaya negara tidak diancam dengan isu perkauman yang ditimbulkan. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semalam, mengulas kenyataan speaker berkenaan menyentuh pemakaian ADN di DN Selangor yang videonya tular di media sosial baru-baru ini. 

Haji Hanafiah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai berkata,  sebelum ini, di waktu speaker berbangsa Melayu,  tidak melarang bangsa asing memakai pakaian mereka di DN berkenaan. 

"Ini kerana kita memahami Perlembagaan Negara,  Islam adalah agama rasmi,  mana kala agama-agama lain bebas diamalkan dalam negara ini," jelasnya. 

Katanya,  setiap DN dan Dewan Undangan Negeri (DUN) memperuntukkan pemakaian ADN dan ADUN antara lain termasuk Long Suit dan Baju Melayu. 

"Dia sudah diiktiraf sebagai baju kebangsaan,  jadi kenapa ia dipertikaikan. 

"Saya sebagai orang Melayu amat malu di atas ucapan sebegitu rupa dan saya minta dia tarik balik (ucapan itu)," tegas beliau. 


Sumber: https://www.teganukita.net/2018/11/pemakaian-baju-kebangsaan-speaker-dn.html

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo