NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Menteri perpaduan benci hak keistimewaan Melayu?



Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 2 Rabiulakhir 1440H, Isnin – "Bagaimana seorang yang begitu bencikan hak keistimewaan orang Melayu dan berjuang untuk menghapuskannya, akan mewujudkan perpaduan kaum?".

Demikian persoalan yang dibangkitkan bekas Ketua Hakim Negara, mengenai tingkah laku Pengerusi Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf), P Waytha Moorthy, berhubung isu kuil, perpaduan masyarakat dan konvensyen antarabangsa diskriminasi kaum.

Tun Abdul Hamid Mohamad berkata, beliau sendiri tidak faham bagaimana seorang pengerusi Hindraf boleh dilantik menjadi menteri yang bertanggungjawab bagi perpaduan dan kesejahteraan sosial.

"Beliau hendak menjadi wira masyarakat India. Walaupun beliau tidak bertanding dalam PRU 14, Tun Dr Mahathir (Mohamad) telah melantik beliau menjadi Ahli Dewan Negara. Tidak cukup dengan itu, beliau dilantik menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan dan Kesejahteraan Sosial).

"Bagaimana seorang yang begitu bencikan hak keistemewaan orang Melayu dan berjuang untuk menghapuskannya akan mewujudkan perpaduan kaum?

"Apabila hak keistimewaan orang Melayu hendak dihapuskan untuk menghapuskan diskriminasi antara kaum, tidakkah orang Melayu (dan anak-anak negeri Sabah dan Sarawak) akan bangun menentangnya? Ia bukan akan mengukuhkan perpaduan. Ia akan menggugat perpaduan," katanya.

Dalam satu kenyataan hari ini, Abdul Hamid, orang Melayu boleh tahu sedikit sebanyak pembabitan Waytha Moorty dalam Hindraf dan apa yang dilakukan Hindraf, dengan melihat kejadian pada hari beliau mengangkat sumpah sebagai Senator.

"Dengan membawa seorang sami (bagi orang Melayu) dengan rupa yang menyebabkan dia (patut atau tidak) dipanggil "hantu," sudah cukup untuk merenggangkannya daripada orang Melayu, jika tidak dibenci pun.

"Ditambah dengan videonya di Belanda yang ditularkan di mana beliau menuduh kaum India didiskriminasikan, beribu-ribu kuil Hindu dimusnahkan dan orang-orang India dipaksa memeluk agama Islam, telah menyebabkan orang Melayu menolaknya.

Tidak cukup dengan itu, beliau mengeluarkan pula kenyataan bahawa Kuil Shri Mariamman tidak akan dipindahkan walaupun mahkamah telah membuat perintah dengan persetujuan bahawa ia hendaklah dipindahkan setelah pampasan dibayar," katanya.

Beliau berkata, setakat ini lebih 200,000 orang Melayu menandatangani memorandum menuntuk Waytha Moorthy meletak jawatan atau disingkirkan daripada Kabinet.

Dalam isu Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), Abdul Hamid berkata, Waytha Moorthy seolah-olah mengambil kuasa menteri luar, untuk bercakap mengenainya.

"Beliaulah yang paling banyak mengeluarkan kenyataan mengenainya seolah-olah tidak sabar lagi hendak meratifikasinya.

"Kita boleh faham mengapa beliau berbuat demikian. Sebagai Pengerusi HINDRAF, beliau telah lama dendam terhadap hak keistimewaan orang Melayu dan anak-anak negeri Sabah dan Sarawak, yang, bagi beliau, ibu segala diskriminasi, yang mestilah dihapuskan," katanya.

Beliau berkata, tindakan Dr Mahathir membela Waytha Moorthy memakan diri, dan Perdana Menteri tiada pilihan lain sekarang selain menyingkirkan pengerusi Hindraf itu daripada Kabinet.


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo