NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kematian Muhammad Adib diklasifikasikan kes bunuh



BANGI, 10 Rabiulakhir 1440H, Selasa – Polis mengklasifikasikan semula kes pegawai bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, 24 tahun, yang meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) malam tadi, sebagai kes bunuh.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Ab Rashid Ab Wahab dalam satu kenyataan malam tadi berkata, kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang boleh membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.


Kes itu sebelum ini disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh, katanya.

10 Disember lalu, empat lelaki yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes Muhammad Adib dibebaskan daripada tahanan reman.

Majistret Nurshahirah Abd Salim membenarkan dua suspek dibebaskan dengan bon mahkamah sebanyak RM2,000 manakala dua lagi dibebaskan dengan jamin polis.

Mereka yang berusia antara 21 hingga 24 tahun sebelum ini direman selama empat hari mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Muhammad Adib mengembuskan nafas terakhir selepas bertarung nyawa selama 22 hari, di Institut Jantung Negara (IJN), jam 9.41 malam tadi, akibat kecederaan parah di badan setelah dipukul perusuh kuil.

Jenazah beliau akan dibawa ke Balai Bomba Hang Tuah di ibu negara esok untuk penghormatan terakhir, sebelum dibawa ke kampungnya di Tebengau, Kuala Sala, Kedah, untu dikebumikan.

Pada 27 November lalu, Muhammad Adib diserang perusuh di kuil berkenaan tanpa mempedulikan Allahyarham ketika itu adalah seorang penjawat awam yang sedang melakukan tugas membantu orang ramai.

Dalam kejadian itu, Muhammad Adib dilaporkan ditarik perusuh di kawasan kuil ketika pasukannya berundur dari lokasi rusuhan dan dipukul tanpa belas kasihan.

Awalnya, dua jentera bomba termasuk van Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) yang dinaiki Muhammad Adib diserang dengan balingan batu dan objek menyebabkan berlaku kerosakan pada cermin dan badan kenderaan itu.

Dalam situasi panik untuk berundur, Allahyarham ditarik keluar dari tempat duduk penumpang van EMRS oleh perusuh dan dipercayai dipukul sehingga tidak sedarkan diri.

Sumber:https://www.ismaweb.net/2018/12/18/kematian-muhammad-adib-diklasifikasikan-kes-bunuh/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo