Kelantan: Resolusi Persidangan Meja Bulat Perkahwinan Bawah Umur : Penilaian Dan Pendekatan Holistik

Berdasarkan kepada resolusi Persidangan Meja Bulat Perkahwinan Bawah Umur; Penilaian dan Pendekatan Holistik,  pendirian Kerajaan Kelantan adalah sama seperti negeri-negeri lain iaitu mengekalkan kebenaran perkahwinan bawah umur dengan pengecualian.

Resolusi ini terhasil dengan mengambil kira pandangan semua pakar dalam bidang ini termasuklah:

1. Dr Mohd Azhar Abdullah, Pensyarah Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra

2. Profesor Dato’ Noor Aziah Hj Mohd Awal, Pensyarah UKM

3. Dato’ Hj Zainul Rijal Abu Bakar, Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia

4. Profesor Madya Dr. Rosediani Muhamad, Pensyarah USM

5. Tuan Aris Fadhilah, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Kelantan 

Resolusi ini juga turut menekankan semua agensi kerajaan yang terlibat termasuklah Mahkamah Syariah, Jabatan Kesihatan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk memperketatkan perlaksanaan Standard Operating Procedure (SOP) sebelum memberi kebenaran.

Oleh itu, laporan akhbar mengenai persidangan ini dilihat kurang tepat dan memberi interpretasi yang salah kepada masyarakat awam.

------------------------------

RESOLUSI PERSIDANGAN MEJA BULAT PERKAHWINAN BAWAH UMUR : PENILAIAN DAN PENDEKATAN HOLISTIK

Menyedari peruntukan perkahwinan bawah umur dalam Enakmen Keluarga Islam Kelantan 2002 telah digubal mengambil kira kewajaran dan keperluan dalam kes-kes tertentu bertujuan menjaga kemaslahatan pasangan bawah umur, keluarga dan masyarakat ; Persidangan Meja Bulat Perkahwinan Bawah Umur : Penilaian dan Pendekatan Holistik bersetuju menggariskan resolusi berikut ;

1. Perkahwinan bawah umur adalah wajar dan menjadi satu keperluan khususnya di Kelantan sebagaimana peruntukan Seksyen 8 Enakmen Keluarga Islam Kelantan 2002.

Ia selaras dengan peruntukan undang-undang dan hukum Syara’ mengambil kira kemaslahatan pasangan bawah umur yang akan berkahwin.

Umur minima perkahwinan iaitu lapan belas (18) tahun bagi lelaki dan enam belas (16) tahun bagi perempuan dikekalkan tanpa pindaan.

2. Kemaslahatan perkahwinan pasangan bawah umur hendaklah dinilai melalui penelitian menyeluruh daripada aspek kerelaan pasangan dan kesediaan mendirikan rumahtangga seperti kemampuan, emosi, fizikal, mental, seksual, sosial, spiritual, kesihatan, pendidikan, sekufu dan sebagainya.

Penilaian juga dibuat bagi mengelakkan sebarang unsur salahlaku jenayah seksual terhadap kanak-kanak seperti pedofilia, pornografi, pengantunan (sexual grooming), amang seksual dan sebagainya.

3. Kemampuan perkahwinan bawah umur berkait rapat dengan kekuatan sokongan dan persediaan awal oleh ibu bapa, kematangan fizikal (organ seks dan reproduktif), reproduktif (kehamilan dan kelahiran), kematangan dalam membuat keputusan dan keupayaan mereka melaksanakan peranan sebagai isteri dan ibu serta mendapat hak yang sepatutnya hasil perkahwinan dengan latar belakang suami sebagai ketua keluarga yang mesti diperhalusi dalam membina keluarga mawaddah.

4. Dua (2) konvensyen antarabangsa iaitu Convention On The Rights Of The Child (UNCRC) dan Convention On The Elimination Of All Forms Of Discrimination Against Women (CEDAW) yang mendesak agar kanak-kanak berusia 18 tahun ke bawah tidak dibenarkan berkahwin tanpa sebarang pengecualian adalah tidak sesuai dilaksanakan khususnya bagi orang Islam di Kelantan.

Ini mengambil kira kebejatan sosial hari ini serta telah wujudnya mekanisma ketat kawalan perkahwinan bawah umur yang telah diperuntukkan dalam undang-undang dan Piawaian Operasi Standard / Standard Operating Procedure (SOP) yang telah digariskan.

5. Mahkamah Syariah Negeri Kelantan hendaklah mematuhi arahan pelaksanaan Surat Pekeliling Ketua Pengarah/ Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia Bilangan 1/2018 berkait Standard Operating Procedure (SOP) Permohonan Perkahwinan Bawah Umur.

Pihak Jabatan Kehakiman Mahkamah Syariah Negeri Kelantan hendaklah sentiasa menilai dan menambahbaik arahan tersebut berdasarkan keperluan semasa, kajian dan pandangan profesional bagi memastikan matlamat dan maslahah perkahwinan tercapai. 

6. Semua pihak khususnya keluarga, masyarakat dan agensi Kerajaan seperti Mahkamah, Jabatan Kesihatan, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan sebagainya hendaklah merancang kerjasama kukuh dari semasa ke semasa agar matlamat kemaslahatan yang hendak dicapai dalam perkahwinan bawah umur yang digariskan dapat dilaksanakan sewajarnya.

7. Kerajaan juga perlu membuat penilaian menyeluruh dengan menubuhkan jawatankuasa khas yang dianggotai oleh semua pemegang taruh (stakeholders) dalam perkara ini seperti Jabatan Kesihatan, Jabatan Kebajikan Masyarakat, wakil-wakil komuniti kaum dan sebagainya bagi mencapai penyelesaian yang syumul dan komprehensif berteraskan hukum Syara’ dan kemaslahatan yang telah digariskan.

Diperbuat dan dipersetujui Resolusi ini dalam Persidangan Meja Bulat Perkahwinan Bawah Umur : Penilaian dan Pendekatan Holistik pada 26 November 2018 bersamaan 18 Rabiulawal 1440H
Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget