NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Implikasi Dan Unjuran Daripada Himpunan Sejuta Ummah 8 Disember.



IMPLIKASI DAN UNJURAN DARIPADA HIMPUNAN SEJUTA UMMAH 8 DISEMBER.

Oleh : Dr Riduan Mohamad Nor.

Alam siber berdecak hebat dengan suara pro dan kontra akan penganjuran himpunan mega membantah ICERD yang digerakkan kempen ini sejak lebih tiga bulan yang lepas . Tempoh kempen dan mobilisasi untuk menggerak seluruh ummat muslim untuk berhimpun dan mempamerkan genderang dan nurani umat Islam selama lebih tiga bulan adalah tempoh yang memadai. Tempoh yang sama digerakan oleh pasukan mobilisasi PAS, sebagaimana terbukti sebelum ini maka 270 ribu hingga 300 ribu ahli PAS telah berhimpun seperti himpunan H355 di Padang Merbok dan sekktarnya dan FASTAQIM 2.0 di Pantai Tok Jembal.


Kejayaan himpunan kali ini menatijahkan beberapa perkara dan menjadi bahan bualan peminat-peminat politik tanahair kerana inilah himpunan paling ramai semenjak negara mencapai kemerdekaan. Jauh mengatasi bantahan-bantahan awam sebelum ini termasuk himpunan reformasi 1998, BERSIH atau FASTAQIM. Pertama, sebelum terbarainya PR, himpunan mega sentiasa berjaya dan menarik minat masyarakat awam untuk menyertainya. PAS yang menjadi rakan komponen PR telah berjaya memobilisasi ahli-ahlinya turun berhimpun. 80 peratus peserta himpunan adalah ahli PAS,manakala yang lain termasuk daripada gerakan swadaya dan masyarakat sivil yang lain. PAS mempunyai modus operandi yang tersusun dalam mengerah ahlinya, daripada peringkat cawangan, MTD, kawasan, negeri dan wilayah Persekutuan seterusnya di peringkat Pusat.

PAS bukan hanya hadir meramaikan himpunan tetapi membekalkan petugas keselamatan dan disiplin iaitu anggota Jabatan Amal yang sangat berdisiplin dan mempunyai dedikasi yang tinggi. PAS dengan pasukan khas medik yang bersiaga dengan elemen kecemasan,bahkan dengan ambulannya sendiri. Ahli-ahli PAS hadir dalam himpunan, disertakan dengan niat untuk menderma pada penganjur bagi menampung kos himpunan.

Kedua, kejayaan himpunan ini juga satu cerminan bahawa kerajaan PH tidak boleh memandang enteng suara dan nurani ummat Islam dimana bangsa Melayu sebagai kaum teras di negara ini. Kerajaan PH dilihat tidak mempunyai pimpinan yang berintegriti ,berwibawa, kurang kompetensi untuk menyemai benih kerukunan negara. Lihatlah pak Menteri yang selalu menjadi stok bahan ketawa rakyat dimedia sosial, ini bukan suatu contoh yang baik bagi masa depan negara.

Himpunan bernuansa penyatuan umat Islam ini berjaya menunjukkan kesepakatan dan diuruskan dengan baik oleh penganjur , bermula dengan solat zuhur berjemaah, peserta-peserta diketiga titik mula akhirnya bercantum di Dataran Merdeka dan sekitarnya. Himpunan sejuta ummah ini juga menjadi himpunan menampar ego dan maruah PH apabila telah berjaya menarik anak-anak muda untuk bersama bersolidariti atas nama Islam dan mempertahankan kontrak sosial. Ini kerana PH sentiasa yakin,anak muda adalah segmen besar pengundi yang mengangkat mereka pada 9 Mei yang lepas. Lebih daripada 70 peratus adalah anak-anak muda pelbagai latarbelakang. Bukan sahaja anak-anak muda aliran tarbawi dan tajnid tetapi anak-anak muda ranggi yang meminati genre muzik keras turut memeriahkan himpunan sejuta ummah ini.

Pemilihan lokasi himpunan ditempat yang bersejarah dan ikonik, disinilah tempat utama perhimpunan utama negara semenjak mencapai kemerdekaan, merakam sejarah kebangkitan politik termasuk bantahan kaum pelajar pada 1974, reformasi 1998, BERSIH dan lain-lain perhimpunan.

Peserta-peserta bantahan kali ini yang terdiri daripada penyokong PAS , UMNO, pelbagai NGO bahkan yang datang tanpa apa- apa tiket persatuan sekali pun telah membanjiri Kuala Lumpur sejak 7 Disember. Mereka datang sejauh Sabah dan Sarawak, juga daripada pedalaman Semenanjung seperti Sik, Baling, Hulu Besut untuk menyatakan sokongan terhadap matlamat himpunan. Mereka menyewa bas, berkonvoi dengan motosikal, berkonvoi kereta bahkan ada yang mengayuh basikal bersimbah keringat untuk menyertai himpunan ini. Dua orang peserta dari Johor telah meninggal dunia akibat terlibat dengan kemalangan motosikal di Seremban.

Himpunan sejuta ummah 8 Disember akan dikenang dan melakar sejarah perpaduan umat Islam negara ini. Mereka akan bersatu jika agama Islam dan bangsa diremehkan. Mesejnya jelas, kontrak sosial yang menjadi asas kerukunan bernegara jangan dicabik oleh kelompok minoriti yang sedang kemabukan kuasa. Padahnya tak terjangkau dek fikiran!, hiduplah dengan tenang di tanah leluhur ini ,saling menghormati dan jangan melanggar garis sempadan toleransi kaum pribumi. Tahniah kepada pihak penganjur dan peserta-peserta yang cukup berdisplin, juga anggota Amal dan pihak keselamatan negara yang membantu mengawal himpunan mega ini.

(Penulis adalah Pengerusi LESTARI, mantan Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan)
( Hide )
  1. kita ambil balik negara ini sebagai negara umat islam/melayu dan kita bentukkan semula masa depan negara ini dengan acuan islam dan adat-adat tatasusila melayu....

    ReplyDelete

© all rights reserved
made with by templateszoo