NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Himpunan 812: ICERD ancam generasi akan datang


KUALA LUMPUR, 1 Rabiulakhir 1440H, Ahad – Keharmonian kaum di tanah air hanya boleh dijamin sekiranya pemerintah tidak mencabuli hal ehwal agama Islam.

Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad berkata, sejarah membuktikan perkara ini, apabila British menggunakan modus operandi sedemikian untuk kekal berkuasa

"Bab agama tak boleh sentuh. Perjanjian Pangkor kita lihat, soal agama diberikan kepada Raja-Raja. Soal untuk uruskan ekonomi, soal khazanah bumi, kepada Residen Inggeris. Dia tahu, sebab itu Inggeris memerintah lama," katanya berucap pada Hmpunan 812, di sini, semalam.

Beliau berkata, hal itu berbeza dengan rejim komunis, apabila kekejaman mereka dan sikap biadap terhadap agama mengakibatkan rejim itu hanya memerintah dalam tempoh singkat, berbeza dengan British pada satu waktu dahulu.

"Berbeza dengan komunis. Komunis tak pandai jaga… dia bakar surau, bakar masjid, buat penganiayaan macam-macam," katanya.

Idris berkata, Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) ini bukan memberi impak kepada generasi sekarang semata-mata, malah turut mengancam generasi akan datang.

"Sebab itu tuan-tuan, ICERD ini bukan ratifikasi atau perjanjian nak jual popia goreng di Pekan Ahad, di Changkat Jering.

Ini ialah perjanjian, bukan masa depan kita, bukan masa depan sebahagian besar dari kalangan pimpinan yang ada hari ini, tapi ialah perjanjian yang kalau kita lakukan, bererti kita telah khianat amanah anak-anak kita yang masih dalam kandungan…masa depan dia untuk 50 tahun akan datang," katanya.

Dalam masa sama, Idris menegaskan bahawa agenda ICERD ini bukan sahaja ditentang oleh pemimpin politik semata-mata, sebaliknya turut mendapat tentangan tokoh-tokoh yang arif dalam bidang undang-undang, sekali gus membuktikan bahawa ia bukan modal politik sempit seperti yang dihujahkan segelintir pihak.

"ICERD ini bukan ditentang oleh PAS sahaja. Bukan ditentang oleh kami orang politik, orang UMNO, kot ada kepentingan. Nun, Tun Hamid, bekas Ketua Hakim Negara, bukan duduk jual di kedai kopi biasa. Bekas Ketua Hakim Negara, di dalam keadaan uzur, bangun untuk menerangkan bahayanya ICERD ini.

"Siapa lagi? Tan Sri Aziz Rahman, bekas Penerusi MAS pakar bahagian perundangan, dia kata siapa yang sokong ICERD gila, bukan saya kata, dia kata," katanya.

Justeru, katanya, untuk mencapai keharmonian di Malaysia, prinsip utama yang perlu digalas ialah memastikan agama Islam itu terpelihara, kerana hanya dengan cara itu keselamatan terhadap bangsa lain dapat dicapai.

"Maka sebab itu tuan-tuan, kita bersatu atas asas prinsip kita kerana kita yakin Islam boleh menjaminkan keselamatan. Islam selamat, Melayu selamat. Islam selamat, India selamat. Islam selamat, Cina selamat," katanya.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo