NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

CPTPP angkat konsep kesamarataan, liberalisme ekonomi


Oleh: Hazwan Mohamad

SEJARAH TPPA & CPTPP

1. Saya ingin mengajak kita semua mengimbau kembali lebih kurang dua tahun lalu yang memperlihatkan lebih 250 buah NGO mendedahkan kebobrokan sebuah perjanjian yang dikenali sebagai Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA). Saya tidak mahu mengulas lebih lanjut berkenaan dengan TPPA anda boleh rujuk disini tulisan NGO Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) yang antara paling lantang dalam isu TPPA: http://isma.org.my/v2/11-sebab-mengapa-perjanjian-perkongsian-trans-pasifik-tppa-mesti-ditolak-oleh-rakyat-malaysia-secara-sepakat/

2. Setahun selepas itu, Amerika Syarikat yang merupakan antara 12 negara ahli TPPA telah bertindak keluar dari konsensus dagang terbesar ini sebagai mengotakan janji manifesto Mr. Donald selepas memenangi Pilihanraya Presiden Amerika Syarikat.

3. Maka ramailah yang menyangka, bahawa TPPA akan dipahat paku terakhir kerandanya. Kerana pengaruh negara Uncle Sam ini sememangnya hebat. Jika dilihat Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) secara kolektif 12 negara ahli asal TPPA ini adalah 38%, namun selepas keluarnya Amerika Syarikat, peratus KDNK merudum kepada hanya 13.6% sahaja.

KELAHIRAN SEMULA TPPA?

4. Namun, jangkaan itu meleset sama sekali apabila 11 lagi negara ahli yang ditinggalkan Amerika ini, tegar dalam agenda untuk meneruskan perjanjian dagangan. Akhirnya, dari TPPA ia kini dikenali sebagai CPTPP atau nama panjangnya Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik. Negara aggotanya adalah kekal sama iaitu Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Vietnam dan termasuklah Malaysia..

5. Malaysia bersetuju untuk bersama dengan negara 10 negara ahli yang lain tanpa Amerika Syarikat pada 8 Mac 2018 di Santiago, Chile. Beberapa bulan sebelum pertukaran tampuk pemerintahan dari Kerajaan Barisan Nasional kepada Pakatan Harapan.

6. Dari sudut perundangan perjanjian ini masih belum dikuatkuasa selagi mana majoriti negara ahli (50%) masih belum meratifikasi atau mengabsahkan perjanjian antarabangsa ini. Meratifikasi ini turut menuntut beberapa akta dalam negara ahli digubal atau dipinda mengikut terma selari dengan isi perjanjian induk.

7. Malaysia umpamanya, sehingga kini, masih perlu meminda 17 lagi undang-undang dan peraturan yang berkaitan sebelum boleh meratifikasi CPTPP.

CPTPP KEMBAR SIAM TPPA

8. Maka apakah sama apa yang terkandung dalam TPPA dan apa yang dikandung dalam CPTPP ?

9. Sebahagian besar kandungan perjanjian dalam CPTPP adalah sama dengan teks Perjanjian TPPA kecuali 22 peruntukan yang digantung bagi mengimbangi kesan penarikan diri Amerika Syarikat.

10. Tidak dinafikan wujudnya kebaikan dari sudut peluang dagangan antara negara ahli, antaranya manfaat pelaburan dan hubungan antarabangsa.

11. Namun, seperti apa yang telah diperingatkan oleh gabungan NGO pada tahun 2016 yang lalu berkaitan dengan TPPA kini kembali menghantui apabila 'kelahiran semula' TPPA namun dengan nama berbeza iaitu CPTPP.

12. Sekali lagi, CPTPP ini walaupun tanpa kehadiran 'abang besar' Amerika, isu paling utama adalah kerana sifat rahsianya yang mewujudkan kecurigaan pelbagai pihak.

CURIGA & JAMINAN

13. Sebagai rekod, kerajaan terdahulu, tidak pernah membentangkan analisis kos-faedah sebelum bersetuju menandatangani CPTPP. Begitu juga pasca 9 Mei 2018, kerajaan baharu juga tidak dilihat berusaha untuk membawa agenda pencerahan kepada seluruh masyarakat khususnya dalam menjawab spekulasi jaminan terhadap keberlangsungan nasib ekonomi syarikat tempatan, GLC, Bumiputra dan juga Industri Kecil Sederhana (IKS).

14. Ini bermakna, ada potensi di masa hadapan, kerajaan tidak berupaya pun untuk mempertahan polisi yang melindungi syarikat tempatan. Malah ada kemungkinan untuk polisi sedia ada yang mengangkat sosio-ekonomi masyarakat Malaysia perlu untuk digubal dan dipinda bagi memastikan ianya selaras dengan kehendak CPTPP.

BERCANGGAH SOSIO POLITIK-EKONOMI

15. Perlu difahami, wujudnya perbezaan sosio politik-ekonomi di negara kita dengan negara ahli lain. Malaysia mempunyai sosio politik-ekonomi yang cukup sensitif iaitu kepelbagaian kaum dan hak-hak keistimewaan Melayu Bumiputra yang diperuntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang khusus untuk membantu mengecilkan jurang ekonomi antara kaum yang semakin melebar.

16. Dengan melihatkan roh CPTPP yang mengangkat konsep kesamarataan dan liberalisme ekonomi sudah tentulah akan bercanggah dengan dasar-dasar afirmatif yang dilaksanakan seperti layanan istimewa kepada syarikat milik Bumiputra, kuota khas, dan tender syarikat tempatan.

17. Begitu juga dari sudut perundangan. CPTPP memperuntukkan sebuah badan timbang tara atau nama penuhnya 'Investor-State Dispute Settlement (ISDS)' yang menyediakan mekanisme penyelesaian pertikaian antara pelabur asing dan negara ahli. Mengikut fakta dari PBB, daripada 493 kes yang dibawa ke ISDS ini, hanya 26% sahaja yang diputuskan memihak kepada negara asal. Bermakna, hanya sedikit sahaja berpihak kepada negara asal.

18. Tidak dinafikan ramai dalam kalangan kerajaan yang menyokong usaha ratifikasi ini atas dasar melihat pulangan kepada negara dari sudut perdagangan dua hala.

PERKASA HUBUNGAN DAGANG YANG LAIN

19. Namun, jika hubungan dagangan ini yang ditimbang-tara sebagai pemberat paling besar untuk diratifikasi CPTPP, adalah lebih baik sekiranya kerajaan dapat memperkasa perjanjian dagangan dua hala yang tidak kompleks dan paling penting tidak bercanggah dengan mana-mana prinsip undang-undang dan sosio politik-ekonomi negara kita.

20. Adalah lebih baik untuk kerajaan lebih berhati-hati dan tidak gopoh dalam meratifikasi CPTPP ini. Jangan sampai apa yang kita kejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

Hazwan Mohamad ialah Pengerusi Pertubuhan Ikatan Akauntan Muslim Malaysia (i-Akauntan)



No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo