NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......



BANGI, 3 Rabiulakhir 1440H, Selasa – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengingatkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) bahawa Tabung Haji (TH) bukannya Tabung Harapan untuk dijadikan bahan politik.

Najib berkata, langkah kerajaan PH untuk menjadikan TH sebagai bahan politik bukan sesuatu perkara yang bijak, malah ia juga langkah berbahaya.

Beliau berkata, langkah itu menghakis kepercayaan pencarum terhadap TH sehingga ada kemungkinan berlakunya 'bank run' atau pengeluaran deposit beramai-ramai.

"Jika ini berlaku, maka dana dan aliran tunai TH akan terus berkurangan sehingga kestabilan TH mungkin terjejas," kata Najib dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Najib berkata, kerajaan PH patut menyakinkan pencarum TH dan berhenti daripada mengeluarkan kenyataan negatif mengenai institusi berkenaan.

"Saya perhatikan media di bawah kawalan kerajaan pagi ini terus memainkan isu TH dan ada yang memetik bahawa sebanyak 30 peratus dari pelaburan TH dalam saham disenarai mengalami kejatuhan nilai melebihi 50 peratus.

"Pada ketika nilai pelaburan TH telah jatuh dengan banyak akibat penurunan berterusan Bursa Malaysia selepas pelabur-pelabur asing tidak berhenti untuk menarik dana mereka keluar selepas PRU14, keyakinan terhadap TH tidak perlu ditambah lagi kejutan oleh kerajaan PH.

"Jika pengurusan TH dahulu dan juruaudit-juruaudit TH benar-benar bersalah, sila siasat dan ambil tindakan tetapi jangan dipolitikkan," kata Najib.

Terdahulu, media melaporkan, pemberian hibah kepada pendeposit TH sejak 2014 bercanggah dengan Akta Lembaga Tabung Haji 1995 sehingga menyebabkan agensi itu mengalami defisit RM4.1 bilion.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusuf Rawa dilaporkan berkata, pendedahan itu diperoleh hasil siasatan dan audit oleh syarikat juruaudit bebas, PricewaterhouseCoopers (PwC).

Sumber: https://www.ismaweb.net/2018/12/11/tabung-haji-bukan-tabung-harapan-kata-najib-razak/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo