NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Bahaya Penggunaan Beg Plastik,Adakah Kesedaran Masyarakat Di Tahap Kritikal?

Oleh: YB Tuan Che Alias Bin Hamid
Ahli Parlimen Kemaman (P040)
13 Disember 2018

1. Adakah kita tergolong salah seorang yang masih tiada kesedaran kesan penggunaan beg plastik? 

2. Merujuk perangkaan, rakyat Malaysia membuang sumber kitar semula bernilai RM476 juta dua tahun lalu. Manakala kertas yang mencatat pengeluaran sisa terbanyak iaitu 17 peratus atau RM205 juta, sumber buangan kedua terbesar adalah plastik iaitu 9 peratus atau RM163 juta.Hal ini menunjukkan masyarakat kita masih kurang kesedaran tentang amalan kitar semula di negara kita. Sampai bilakah Malaysia terus menjadi pusat pembuangan beg plastik yang terbesar? 

3. Kajian menunjukkan bahawa sebuah beg plastik yang kita buang boleh berada di tapak pelupusan selama 400 hingga 1000 tahun sebelum hancur terurai. Hal ini membuktikan bahawa beg plastik merupakan bahan pepejal yang sukar diuraikan. 

4. Kebanyakkan beg plastik diperbuat daripada sumber petroleum dan begitu sukar untuk dihapuskan. Sekiranya dibakar, proses itu akan bebaskan toksik yang menyebabkan kanser. Jika ditanam, bahan kimia yang terurai akan mengeluarkan biphenol A dan oligomer yang menjejaskan fungsi hormon dan sekaligus menjejaskan kesihatan manusia dan haiwan terutama hidupan di lautan.

5. Pelbagai usaha yang sekian lama dilakukan oleh Kerajaan bagi meminimumkan penggunaan beg plastik di negara kita. Antara usaha Kerajaan hari ini adalah Kerajaan telah melancarkan pelan hala tuju sifar penggunaan plastik pakai buang bermula tahun 2018 sehingga 2030, pelan ini bertujuan menangani masalah pencemaran sisa plastik, meningkatkan kesedaran orang awam dan mencari alternatif kepada penggunaan pelbagai produk plastik ke arah produk mesra alam.Selain itu,Kerajaan juga telah menguatkuasa larangan penggunaan straw minuman bermula 1 Januari 2020 yang dilihat merupakan salah satu faktor penyumbang penggunaan plastik pakai buang.

6. Alternatif lain pengurangan penggunaan plastik, Kerajaan telah mengeluarkan peruntukan untuk menjalankan penyelidikan bagi penghasilan produk beg plastik mesra alam contohnya daripada sisa buah-buahan tropika bagi menggantikan beg plastik yang tidak boleh terurai untuk kegunaan pembungkusan atau lebih dikenali sebagai FruitPlast. Saya menggesa Kerajaan memperluaskan industri produk beg plastik mesra alam ini dan diusahakan oleh rakyat tempatan khususnya golongan lepasan universiti. 

7. Walaupun pelbagai usaha dan langkah-langkah yang telah dan akan dilakukan oleh kerajaan tetapi peratus tahap kesedaran masyarakat di negara juga masih berada di tahap membimbangkan. Tabiat menggunakan plastik pakai buang dan suka membuang sampah merata-rata tempat tanpa mengira di mana-mana sudah menjadi perkara biasa bagi masyarakat negara kita termasuklah dengan dibanjiri warga-warga asing.

8. Kempen tanpa beg plastik yang dikenalan caj 20 sen kepada pengguna plastik selepas berurusan di premis perniagaan perlu diperluaskan bukan sahaja di Selangor tetapi semua negeri di Malaysia. Pendedahan tentang kesan penggunaan beg plastik mesti dilaksanakan secara holistik supaya masyarakat khususnya di luar bandar memahami sebab dan akibat penggunaan beg plastik pakai buang dari semua sudut.

9. Di samping itu, kempen atau aktiviti mesra alam dan kitar semula perlulah diperkasakan oleh Kerajaan kepada semua lapisan golongan. Media masa juga perlu memainkan peranan untuk memperkembangkan maklumat dan info-info berkaitan kesan penggunaan plastik pakai buang di negara kita kepada masyarakat.

10. Sekiranya Kerajaan sudah mengenalpasti permasalahan ini,saya menegaskan supaya Kerajaan sepatutnya meningkatkan kemudahan kepada masyarakat untuk mengaplikasikan sasaran pengurangan penggunaan plastik pakai buang dalam semua aspek. Sebagai contohnya dalam konteks penggunaan beg plastik, kemudahan disediakan pihak berkenaan adalah menyediakan beg kertas, atau kotak kepada pengguna. Rebat tunai atau kupon percuma juga boleh disediakan di pusat beli-belah bagi pengguna yang tidak menggunakan plastik.

11. Hakikatnya masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan keberkesanan usaha mengurangkan beg plastik. Usaha ini perlu dijalankan secara berterusan dan dinilai secara holistik akan keberkesanannya dan penambahbaikan perlu dilakukan untuk memastikan matlamat tercapai.

“Islam Memimpin”




No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo