NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Aset TH 2015 sehingga 2017 melebihi hutang, kata Azeez



KUALA LUMPUR, 3 Rabiulakhir 1440H, Selasa – Aset Tabung Haji (TH) sepanjang 2015 sehingga 2017 sebenarnya melebihi jumlah liabiliti institusi itu, kata bekas Pengerusi TH, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ahli Parlimen Baling itu berkata, beliau terkejut dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa kononnya langkah pengurusan terdahulu TH membayar hibah secara haram, mengakibatkan institusi itu kekurangan RM4.1 bilion.

Katanya, Mujahid mendakwa kononnya pengurusan terdahulu mengisytiharkan hibah sejak 2014 dengan tidak mengikut Akta Tabung Haji 1995.

"Dengan kata lain TH dikatakan telah membayar hibah kepada pendeposit secara haram berjumlah RM12.652 bilion selama empat tahun berturut-turut sehingga 2017 mengakibatkan TH kekurangan RM4.1 bilion," katanya.

Beliau berkata, asas kepada tuduhan ini kerana kononnya, aset keseluruhan TH adalah lebih rendah iaitu RM70.3 bilion berbanding liabiliti sebanyak RM74.4 bilion.

Azeez berkata, dakwaan ini tidak benar, kerana tidak mengambil kira laporan Ernst & Young (EY) dalam menilai realis aset keseluruhan membabitkan anak syarikat, syarikat bersekutu, syarikat usahasama dan hartanah, sebaliknya hanya mengambil kira laporan kewangan semata-mata.

"Bagi tahun 2015, nilai realis aset adalah RM64.7 bilion berbanding liabiliti termasuk bayaran hibah berjumlah RM63.3 bilion yakni ada lebihan aset sebanyak RM1.4 bilion. Nilai aset realis pada tahun 2016 adalah sebanyak RM69.1 bilion.

"Manakala agregat liabiliti setelah mengambil kira hibah 2016 adalah sebanyak RM68.4 bilion maka ada lebihan aset ke atas liabiliti sebanyak RM701 juta.

"Bagi tahun 2017, nilai aset realis adalah sebanyak RM74.7 bilion berbanding aggregat liabiliti termasuk bayaran hibah 2017 sebanyak RM74.4 bilion maka ada lebihan aset berbanding liabiliti sebanyak RM373 juta," katanya.

Dalam hal itu, Abdul Azeez merujuk kepada laporan oleh agensi penarafan Price Waterhouse Coopers (PWC).

Katanya, berdasarkan laporan kewangan PWC pada ogos 2017 yang diberikan kepada setiap Ahli Parlimen semalam (10 Disember), ada terkandung laporan EY yang menunjukkan aset TH melebihi liabiliti untuk ketiga-tiga tahun 2015, 2016 dan 2017.

Sehubungan itu, katanya, mengikut peruntukan Seksyen 22(3)(a) Akta Lembaga Tabung Haji 1995, aset Kumpulan Wang tidak kurang daripada jumlah liabiliti Kumpulan Wang, amaun yang kena dibayar kepada pendeposit dikira seolah-olah kena dibayar dengan serta-merta.

"Sejak 2015 TH telah menilai semua aset pada nilai realis (nilai pasaran semasa) dan bagi tiga tahun yang lepas , berdasarkan laporan yang disahkan oleh firma audit luar, nilai aset tabung haji melebihi semua liabiliti. Untuk makluman, nilai realis aset adalah nilai pasaran semasa dan bukan nilai kos pelaburan asal," katanya.

Justeru, Abdul Azeez menggesa agar berhenti memainkan persepsi salah yang mengelirukan rakyat, dan berharap agar pengurusan terbaharu TH dapat mentadbir institusi itu dengan baik.

"Janganlah asyik mengambil pendekatan menggunakan media bagi mengelirukan dan meresahkan rakyat terutamanya kepada 9.3 juta pendeposit TH.

"Saya tidak pasti apa sebenarnya masalah pengurusan TH sekarang tetapi saya sangat berharap TH dapat ditadbir dengan baik, bertindak secara objektif dan kompetitif.

"Saya juga berharap pengurusan TH tidak akan menaikkan tambang bagi musim haji 2019 dengan mengekalkan subsidi seperti yang dilakukan oleh kerajaan BN sebelum ini bagi menjaga kepentingan bakal jemaah haji," katanya.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo