NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Apa yang kita bimbang bakal jadi kenyataan?


Oleh: Asyraf Farique

TIDAK sampai setahun pemerintahan Pakatan Harapan, sudah bermacam-macam perkara yang kita jangka akan berlaku telah berlaku.

Aktor-aktor liberal yang sama, kini telah memegang posisi penting dalam pembuatan dasar negara.

Istilah seperti "reform", "reset" kedengaran di sana sini. Sektor penting seperti perundangan dan pendidikan ingin dirombak sehingga ke akar.

Aktor-aktor ini bergerak secara terancang dan mempunyai blueprint reform yang jelas, apakah bentuk Malaysia baharu yang mereka inginkan, Malaysia yang lebih plural dan sekular tanpa ada keterikatan kepada agama dan bangsa sebagai pasak kenegeraan.

Tugas mereka tidak sukar, kerana blueprint yang sama ingin dipaksakan oleh anasir luar terhadap Malaysia. Tugas mereka hanya pelaksana. Semuanya sudah tersedia.

Di satu sisi yang lain, masih ada lagi ahli politik Melayu muslim yang naif. Setiap hari hanya menjadi bahan kepada jenaka media.

Apa yang mereka ingin bawa? Hanya sekadar kepentingan politik masing-masing. Lompat parti, masuk parti baru, pecat anak, dan selamatkan diri dari rasuah.

Adapun untuk berfikir dalam kerangka politik dalam pertembungan identiti yang lebih luas, tiada dalam perkiraan mereka.

Maka di sini, aktor-aktor sivil Melayu muslim harus memainkan peranan dalam pentas politik hibrid Melayu baharu ini. Dalam segenap sektor harus memunculkan diri memberi penerangan, menyatukan rakyat dan parti politik Melayu, melobi, serta bergerak bersama dalam kerangka politik Melayu yang lebih luas, atas satu agenda untuk mempertahankan, dan mengukuhkan konsep kenegeraan yang kita imani dan percayai.

Dalam keadaan sekarang, jika kita masih lagi berpeluk tubuh, sehari demi sehari sama ada yang keluar di dada akhbar atau tidak, aktor liberal ini pantas bekerja, dan melobi sana sini, agar bentuk Malaysia baharu mengikut seperti blueprint reform mereka.

Kita yang masih lagi teragak-agak, pastinya akan menerima sahaja, satu demi satu tuntutan sama ada sedar atau tidak sedar.

Sebab itu DAP berani bersuara untuk keluar dari Pakatan Harapan jika agenda reform ini tidak terlaksana. Kerana mereka bukanlah seperti kita dalam bermain politik. Matlamat mereka jelas dan mereka akan secara perlahan-lahan ke situ.

Soalnya? Kita pula bagaimana? Sampai bila kita mahu bermain secara defensif dalam lapangan ini?

Tetapi sebelum itu, kita harus menjawab persoalan, ke mana hala tuju politik Melayu yang ingin kita bawa di masa hadapan?

Adakah sudah ada bayangan di dalam kepala kita apa bentuk politik Melayu 100 tahun akan datang? Malaysia bagaimana yang ingin kita sediakan buat anak cucu cicit kita?

Asyraf Farique ialah Penganalisis IRIS INSTITUTE
Sumber: https://www.ismaweb.net/2018/12/24/apa-yang-kita-bimbang-bakal-jadi-kenyataan/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo