NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Sultanah Terengganu saman fitnah editor Sarawak Report


Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah hari ini memfailkan saman terhadap pengasas dan editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown dan dua pihak lagi berhubung kenyataan fitnah dalam buku 'The Sarawak Report:The Inside Story of the 1MDB Expose'.

Peguam Mohd Haaziq Abdullah, yang mewakili Sultanah Terengganu, berkata selain Clare, turut dinamakan sebagai defendan dalam saman fitnah itu ialah penerbit tempatan Gerakbudaya Enterprise dan pencetak Vinlin Press Sdn Bhd.

Mohd Haaziq berkata anak guamnya mengambil keputusan untuk meneruskan tindakan saman itu berikutan kesemua pihak terlibat gagal mencapai persetujuan untuk menyelesaikan kes.

"Semalam, pihak kami mendapat titah dari Istana untuk meneruskan dengan writ saman selepas pihak-pihak terlibat tidak berjaya capai penyelesaian.

"Ada tawaran yang dibuat oleh defendan tetapi bukan seperti mana yang pihak kami perlukan dalam tuntutan itu. 



Butiran lanjut tak dapat didedah

"Jadi, terma-terma penyelesaian gagal dicapai," katanya yang turut memaklumkan perbincangan untuk menyelesaikan kes itu mengambil masa hampir dua bulan. 

Bagaimanapun, peguam itu berkata butiran lanjut mengenai isi kandungan saman berkenaan tidak dapat didedahkan kepada pihak media sehingga kes itu disebut di mahkamah.

Mohd Haaziq, yang memfailkan saman itu melalui sistem e-pemfailan pada jam 2 petang tadi, berkata demikian pada sidang media di pejabatnya dekat Kuala Lumpur, hari ini.



Peguam itu turut memaklumkan bahawa kes itu ditetapkan untuk pengurusan kes pada 19 Disember ini di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, K. Pavani.

Mohd Haaziq berkata pihaknya juga akan menghantar sesalinan tuntutan saman itu menerusi e-mel kepada peguam Americk Sidhu, yang mewakili kesemua defendan, hari ini. 

Mohd Haaziq turut mendedahkan kewujudan buku 'The Sarawak Report:The Inside Story of the 1MDB Expose' Edisi Kedua kepada pihak media dan kewujudan buku itu hanya diketahuinya pada 1 Oktober, selepas pihaknya mengadakan sidang media sebelum ini pada 29 September lepas. 

"Buku edisi kedua itu berbeza dengan buku edisi pertama kerana buku edisi pertama menyatakan ia membabitkan isteri kepada Sultan Terengganu iaitu Sultanah Nur Zahirah manakala edisi kedua pula menyatakan ia membabitkan adinda Sultan Terengganu.

"Pihak kami akan mengemukakan perkara ini di mahkamah nanti," katanya yang turut memaklumkan anak guamnya menuntut ganti rugi dalam saman berkenaan. 

Turut hadir dalam sidang media itu ialah peguam Mohd Hilmi Sarbini dan Vishu Kumar, yang turut mewakili Sultanah Terengganu. 

Pada 29 September lalu, surat tuntutan telah dikemukakan kepada ketiga-tiga pihak itu bagi menuntut permohonan maaf secara bertulis serta ganti rugi RM100 juta daripada setiap mereka berhubung kenyataan fitnah dalam buku berkenaan. 

Clare didakwa membuat kenyataan memfitnah di dalam buku itu yang mengaitkan Sultanah Terengganu dengan Jho Low atau nama sebenarnya Low Taek Jho serta skandal 1MDB.

- Bernama


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo