NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Sabah: PAS kesal penganjuran pesta arak Oktoberfest

Menyedihkan. Anggota RELA beragama Islam ditugaskan untuk mengawal program pesta arak pesta maksiat Oktoberfest di Sandakan. 


Oleh : Mustaman Mustain.
11 November 2018.

SANDAKAN : PAS hari ini melahirkan kekesalan atas penganjuran pesta arak Oktoberfest yang diadakan semalam secara terbuka di Bandar Indah dekat sini.

Penganjur secara terang tidak peka dan tidak menghormati hak-hak bermasyarakat dalam negeri ini khususnya bagi orang Islam yang sangat sensitif terhadap pesta arak lebih-lebih lagi ia diadakan dalam keadaan terbuka.

Perkara tersebut ditegaskan oleh Timbalan Pesuruhjaya III PAS Sabah, Sahar Abdul Majid pagi tadi di sini ketika diminta mengulas berkenaan program itu.

Katanya, umat Islam tidak pernah menghalang hak penganut agama lain mengamalkan kepercayaan mereka namun penganjuran pesta arak secara terbuka begini akan mengundang gejala sosial dan kemalangan maut.

“Sewajarnya, sensitiviti kaum dan agama perlu dititikberatkan sebelum penganjuran seperti ini dilaksanakan oleh pihak berkenaan termasuk kerajaan tempatan yang memberi kelulusan,” jelasnya.

“Jangan cabar sensitiviti kami umat Islam kerana perkara seumpama ini tidak baik untuk perpaduan kaum dan agama dalam negeri,” tambahnya.

Beliau turut melahirkan kekesalan terhadap ADUN Elopura, YB Calvin Chong yang difahamkan turut terlibat dengan penganjuran itu menjadi tetamu jemputan khas.

Tegas Sahar, kehadiran ADUN Elopura daripada DAP itu jelas merestui program tersebut sekaligus tidak menghormati pengundi-pengundi Melayu Islam pada PRU lalu yang juga menyumbang atas kemenangan beliau.

Sahar yang juga merupakan Yang Dipertua PAS Sandakan turut menggesa wakil rakyat Islam dari WARISAN dan parti lain yang bersekutu dengan DAP agar bersikap tegas kepada pemimpin DAP yang bersekongkol dengan penganjuran pesta maksiat ini.

Sehubungan itu, beliau juga mengharapkan agar tiada lagi penganjuran seumpama ini diadakan di negeri Sabah kerana ia lebih banyak mengundang keburukan dalam hidup bermasyarakat bukannya kebaikan.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo