NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Ratifikasi ICERD, ICCPR galak jenayah murtad



BANGI, 7 Rabiulawal 1440H, Khamis – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) bukan sahaja perlu menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), malah semua konvensyen yang tidak bersesuaian dengan prinsip serta latar belakang sejarah negara wajib dibantah.

Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari menegaskan, kebimbangan bukan sahaja terarah kepada ICERD, bahkan juga terhadap Perjanjian Antarabangsa Mengenai Hak-Hak Awam dan Politik (ICCPR) yang mana menyentuh soal kebebasan beragama yang sering kali dilaungkan supaya menjadikan murtad bukan suatu jenayah di negara ini.

Perkara 18 ICCPR yang turut terdapat dalam Perkara 18 Universal Declaration of Human Rights (UDHR) adalah mengenai kebebasan beragama termasuklah terhadap Islam itu sendiri.

"Hal yang sama terkandung dalam Perkara 5(d)(vii) ICERD. Hari ini, tanpa ratifikasi ICERD mahupun ICCPR, ada sesetengah pihak sudah berani menyebarkan kitab Bible kepada orang Islam walaupun ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan Perkara 11(4).

"Maka bayangkan dengan ratifikasi konvensyen tersebut, bukankah mereka akan menjadi semakin berani bertindak menyebarkan dakyah serta menggalakkan jenayah murtad dalam kalangan orang Islam?" soal beliau dalam satu kenyataan, hari ini.

Justeru, Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berharap kerajaan memperhalusi sedalam-dalamnya langkah meratifikasi ICERD dan konvensyen antarabangsa yang lain, supaya tidak terburu-buru melaksanakan tindakan.

ICERD adalah salah satu konvensyen antarabangsa hak asasi manusia yang telah berkuatkuasa dari tahun 1969, di mana negara yang meratifikasinya hendaklah menghapuskan segala bentuk diskriminasi bangsa dan kaum.

Untuk makluman, Artikel 5 (d) (vii) ICERD antara lain menyebut bahawa negara yang menandatangani konvensyen ini hendaklah menghapuskan semua bentuk diskriminasi kaum dan menjamin hak semua orang untuk kebebasan berfikir dan beragama.

Sumber: https://www.ismaweb.net/2018/11/15/ratifikasi-icerd-iccpr-galak-jenayah-murtad/





No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo