Pemimpin tidak amanah sebabkan ummah sengsara - Sultan Nazrin


PUTRAJAYA: Timbalan Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, bertitah pemimpin yang tidak amanah dan tidak berintegriti akan mengakibatkan ummah berada dalam sengsara.

Titah Sultan Nazrin, kemiskinan ummah akan menjadi lebih buruk apabila pemimpin lebih mengutamakan agenda membina kekayaan material dengan mengambil dan menidakkan hak ummah secara tidak adil serta melalui kaedah yang meragukan.

Baginda bertitah, kekayaan material yang diperoleh secara mencurigakan akan melahirkan individu kaya secara mendadak tanpa dilengkapi kekayaan minda, intelek, ilmu dan rohani.

”Ia adalah kekayaan palsu yang sementara sifatnya, sekadar melahirkan budaya bermewah-mewah, bermegah-megah, serta budaya melakukan banyak pembaziran.

“Akibatnya, berlaku ketirisan sumber, pembangunan yang tempang serta kadar pengangguran, kadar penghijrahan, penyeludupan, jenayah dan rasuah yang tinggi, disusuli dengan pelbagai penyakit sosial.

“Ia juga mengakibatkan ketenteraman awam terjejas, kestabilan politik tergugat dan ummah bertambah derita kerana terperangkap dalam putaran ganas penderitaan,” titah baginda pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 1440H/2018 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Berangkat sama, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Hadir sama, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad serta isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Sultan Nazrin bertitah, budaya hipokrasi juga akan melemahkan tiang integriti ekoran berlakunya amalan pepat di luar rencong di dalam kerana membenarkan gunting selesa dalam lipatan.

Baginda bertitah, sebahagian besar masalah ummah pada hari ini berpunca daripada ketiadaan integriti, terutama apabila ia dilakukan oleh mereka yang diamanahkan dengan kuasa.

“Sebahagian besar masalah ummah pada hari ini berpunca daripada krisis yang tercetus kerana perebutan untuk membina kekayaan secara tidak luhur, tidak telus.

“Malah turut berlakunya perebutan kuasa, kerana kuasa dilihat sebagai saluran atau konduit untuk membina kekayaan diri, keluarga dan kroni,” titah baginda.

Sultan Nazrin turut bertitah, kesejahteraan sesuatu bangsa dan kemakmuran sesebuah negara dipengaruhi oleh sifat dan akal bicara pemimpin.

Titah baginda, ulama besar, umara berwibawa dan peniaga jujur akan lahir dalam negara yang pemimpinnya memiliki sifat takwa, serta menghayati kebesaran Ilahi.

“Jika pemimpin senantiasa insaf akan tanggungjawab lebih besar kepada Allah SWT, maka sejahteralah hidup ummah dan akan makmurlah negara,” titah baginda.

Dalam titah yang sama, Sultan Nazrin turut mengingatkan, bahawa jika khazanah negara diurus secara telus, sumber negara akan dapat diagihkan secara saksama dan kekayaan negara tidak dibazirkan.

“Kerinduan terhadap pimpinan yang lebih bertanggungjawab kepada ummah, yang bersih daripada rasuah, tidak menyalahgunakan kuasa dan tidak menyelewengkan amanah kini lantang disuarakan oleh golongan muda, golongan terpelajar dan golongan yang terdedah kepada pelbagai sumber maklumat,” titah baginda.

Titah baginda lagi, Nabi Muhammad SAW memiliki sifat al-Amin iaitu sifat yang boleh dipercayai dan baginda tegas menegakkan kebenaran serta cekal melaksanakan keadilan.

“Pemerintahan Baginda teguh berpegang kepada hukum, menegur setiap kesalahan, mencegah setiap kemungkaran walaupun membabitkan anggota keluarga dan sahabat terdekat.

“Baginda juga tidak terpesona dengan kemewahan dunia, jauh sekali tergoda untuk membina kekayaan diri dan kekayaan keluarga, tidak ada orang menjadi kaya kerana berdamping dengan baginda.

“Sebaliknya, Baginda mengotakan apa yang dikata, tidak berpura-pura, tidak bersandiwara selain tidak berlakon jujur, kerana sesungguhnya baginda bersifat jujur,” titah baginda.

Sementara itu, baginda bertitah, tema sambutan Maulidur Rasul kali ini, ‘Menyantuni Umat Membawa Rahmat’ jelas membawa hasrat untuk menyemarakkan roh ‘Rahmatan Lil Alamin’, iaitu Islam adalah agama kedamaian, penuh dengan kelembutan serta kasih sayang.

Titah baginda, Islam sama sekali tidak mengizinkan melakukan perbuatan berunsur kekerasan, keganasan dan kebencian sebaliknya menegaskan amalan toleransi, hormati-menghormati, bekerjasama dan belas kasihan sesama makhluk.

“Prinsip kepimpinan Baginda sebagai Ketua Negara dan pemimpin ummah yang berjaya mengangkat martabat ummah mencapai keagungan wajar dijadikan iktibar serta pedoman oleh pemimpin semasa,” titah baginda.
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget