NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kerajaan dirayu tingkat ekonomi peneroka Felda


IPOH 2 Nov. - Peneroka Felda menyambut baik peruntukan diberikan dalam pembentangan Belanjawan 2019 tetapi menekankan pentingnya kerajaan membantu dari segi peningkatan taraf ekonomi mereka ketika ini.

Ketua Peneroka Felda Kebangsaan, Sulong Jamil Mohamad Shariff berkata, sehubungan itu, kerajaan diharap dapat mencari mekanisme untuk penetapan harga siling bagi komoditi getah dan kelapa sawit yang jatuh merudum.

"Kalau boleh, harga getah tidak boleh kurang daripada RM3 sekilogram dan kelapa sawit tidak kurang RM500 setan.

"Bagi peruntukan-peruntukan seperti naik taraf jalan serta infrastruktur lain, kita sambut baik kerana ia serupa seperti yang dilaksanakan oleh pentadbiran Barisan Nasional (BN) terdahulu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2019 berkata, kerajaan akan menyediakan peruntukan RM100 juta bagi menaik taraf jalan Felda, RM160 juta untuk sistem bekalan air serta RM35 juta lagi bagi projek membina dan menaik taraf bangunan serta projek pemasangan lampu jalan.

Dalam pada itu, Sulong Jamil berkata, pihaknya juga berharap bil elektrik lampu jalan dalam kawasan rancangan tanah Felda khususnya melibatkan tempat awam seperti masjid, pejabat dan dewan dapat dibiayai oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar, sama seperti di kampung-kampung tradisional.

Menurut beliau, ketika ini bil berkenaan terpaksa ditanggung oleh para peneroka dan ia diuruskan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR).

"Selain itu, kita harap dilonggarkan syarat bagi projek rancangan perumahan generasi kedua agar ia dibuka kepada agensi lain seperti Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) supaya pembinaannya dapat disiapkan dengan segera," katanya.




No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo