NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

‘Katakan tidak kepada perjanjian tidak adil, dominasi’ - Dr Mahathir



SINGAPURA- ASEAN perlu terus mengembangkan pasarannya dengan menyertai Perjanjian Perdagangan Bebas seperti Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), tetapi harus teguh untuk tidak menandatangani kesepakatan atau perjanjian tidak adil yang memberikan dominasi kepada sesiapa sahaja.

Dalam ucapan sulungnya di platform ASEAN selepas 15 tahun, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata apa yang diperlukan perkumpulan serantau adalah kerjasama perdagangan dan pelaburan yang adil serta menguntungkan semua pihak juga memberi manfaat kepada negara yang tahapnya berbeza-beza.

Katanya, 65 peratus daripada perdagangan ASEAN adalah dengan RCEP yang terdiri daripada 16 negara dan bila ia direalisasikan, ia akan menjadi sebuah pasaran tersendiri yang sangat besar, mewakili separuh daripada populasi dunia dan lebih 40 peratus perdagangan dunia.

"Justeru, kita mesti memanfaatkan hubungan perdagangan tahap tinggi sedia ada. Kita juga tidak seharusnya menerima sahaja langkah perdagangan dan pelaburan yang mungkin tidak adil kepada rantau ASEAN dan integrasi ekonomi ASEAN," katanya pada Sidang Kemuncak Perdagangan dan Pelaburan ASEAN 2018 yang diadakan sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-33, di sini, hari ini.

Dr Mahathir berkata, bagi Malaysia, ia gembira untuk terbabit dengan perjanjian perdagangan yang memberikan manfaat kepada negara membangun terutama dalam menyepadukan syarikat daripada negara membangun dengan negara kurang membangun ke dalam rantaian bekalan global.

Selesainya rundingan RCEP akan mengesahkan peranan ASEAN di dalam integrasi ekonomi rantau ini selain perdagangan global dan pelaburan.

Rakan Dialog ASEAN seharusnya melengkapi ASEAN dan mengakui bahawa beberapa negara ASEAN memerlukan bantuan dan kelonggaran dalam memenuhi aspirasi pasaran yang tinggi negara membangun.

"Apa yang kami perlukan adalah kerjasama perdagangan dan pelaburan yang menguntungkan semua berbanding dominasi pihak tertentu.

"(Justeru) RCEP mesti menangani bukan sahaja kepentingan firma besar tetapi juga perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di rantau ini. RCEP mesti melihat tugas yang besar PKS untuk memanfaatkan dan bergerak menjadi syarikat bersaiz sederhana dan besar," katanya.

Dr Mahathir berkata, Komuniti Ekonomi ASEAN dan RCEP boleh bergerak seiring untuk menyediakan contoh yang baik kepada dunia dalam bergerak ke hadapan ke arah integrasi yang inklusif serta dinamik dalam kalangan negara dengan tahap pembangunan berbeza, tetapi dengan aspirasi terhadap pembangunan yang pesat serta hubungan ekonomi yang kukuh antara satu sama lain juga dengan negara lain di dunia.

Pada masa sama, beliau melahirkan kebimbangan terhadap peningkatan dalam perlindungan perdagangan, kebangkitan semula semangat kebangsaan serta dasar yang membuat halangan perdagangan dan cuba memenuhi keperluan sendiri yang perlahan-lahan cuba mengambil tempat dalam kalangan 10 anggota perkumpulan serantau itu.

Walaupun ini dicetuskan kebanyakannya oleh ketegangan perdagangan antara dua kuasa besar dunia untuk negara membangun menerima guna langkah perlindungan terhadap negara sedang membangun, termasuk negara ASEAN, Dr Mahathir percaya, bahawa ia bukan masanya untuk berbuat demikian.

"Bukan masanya untuk kita menutup pintu dengan mengambil langkah perlindungan perdagangan, sebaliknya kita harus terbabit secara aktif dalam mencari penyelesaian bersama dan meleraikan isu perdagangan melalui dialog pelbagai hala seperti antara negara ASEAN.

"Inilah masanya kita perlu terus meningkatkan perdagangan sesama sendiri dan mengukuhkan integrasi ekonomi dalam kalangan ASEAN," katanya.

Dr Mahathir berkata, ekonomi ASEAN perlu untuk mampu terbabit dengan perubahan besar (megatrends), seperti Megatrends Perindustrian Keempat (Fourth Industrial Megatrends) dan teknologi kewangan atau Fintech jika masa depan mereka dijamin.

"Ancaman terhadap nilai buruh mereka, set kemahiran, FDI (pelaburan langsung asing), pendapatan serta agihan kekayaan dan akhirnya sistem tadbir urus yang semakin berkembang pada masa ini, berkemungkinan menjadi lebih kritikal pada masa depan," katanya.

Keupayaan ekonomi ASEAN untuk menyertai Revolusi Industri ke-4 secara kritikal bergantung kepada kapasitinya untuk berinovasi pada masa depan, jelas Dr Mahathir.

Berkenaan teknologi kewangan, Dr Mahathir berkata, ia adalah permulaan untuk mendapat kekuatan di rantau ini dengan pelaburan meningkat 33 peratus pada 2015 kepada US$252 juta pada 2016, seperti yang dilaporkan oleh Ernst & Young.

Katanya, kerajaan seharusnya lebih terbuka dengan melakukan perubahan dan melaksanakan mekanisme pengawalseliaan untuk memasukkan aliran baharu ke dalam persekitaran kewangan semasa.

"Di sebalik cabaran baharu yang kita sedang hadapi, kita juga harus waspada dan tegas dengan dasar-dasar seperti tadbir urus yang baik dan memerangi rasuah, yang mana tanpanya, kos untuk menjalankan perniagaan di rantau ini akan meningkat dan menjejaskan ekonomi kita tanpa mengira kesemua megatrends terkini yang berjaya kita rangkul," katanya. – Bernama

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo