NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

ICERD: Kerajaan tidak perlu terburu-buru - Muhyiddin



PAGOH, 3 Rabiulawal 1440H, Ahad – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui sebahagian besar ahli parti itu tidak bersetuju dengan cadangan kerajaan Pakatan Harapan untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Perjanjian antarabangsa itu, katanya, mencetuskan kebimbangan ahli kerana ia bakal menjejaskan beberapa perkara yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Input yang kita terima mengenai ICERD sebahagian besar (ahli) tak bersetuju, itu nyata dan jelas. Mereka turut menyatakan kebimbangan jika perkara itu membawa kesan kepada Perlembagaan.

"Apa-apa pun saya fikir masih ada banyak masa, (jadi) saya fikir kerajaan tak harus terburu-buru dalam soal itu (kerana) tempoh ditetapkan masih lama lagi. Jangan terlalu bimbang sangat kerana Pakatan Harapan adalah kerajaan yang bertanggungjawab," katanya seperti dilapor akhbar tempatan.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri dan Ahli Parlimen Pagoh berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Hab Pendidikan Tinggi Pagoh, hari ini.

ICERD adalah salah satu konvensyen antarabangsa hak asasi manusia yang telah berkuatkuasa dari tahun 1969, di mana negara yang meratifikasinya hendaklah menghapuskan segala bentuk diskriminasi bangsa dan kaum.

Untuk makluman, Artikel 5 (d) (vii) ICERD antara lain menyebut bahawa negara yang menandatangani konvensyen ini hendaklah menghapuskan semua bentuk diskriminasi kaum dan menjamin hak semua orang untuk kebebasan berfikir dan beragama.

Sumber: https://www.ismaweb.net/2018/11/11/kerajaan-tak-perlu-terburu-buru-ratifikasi-icerd-muhyiddin/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo