NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

ICERD: Kerajaan perlu rujuk Majlis Raja-raja sebelum ratifikasi




JOHOR
BAHRU, 9 Rabiulawal 1440H, Sabtu – Dewan Muda Johor (DMJ) membantah sebarang usaha untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).


DMJ dalam satu kenyataan hari ini menggesa kerajaan untuk mengambil kira pandangan awam terutamanya orang Melayu dan Bumiputera sebelum meratifikasi konvensyen berkenaan.
"Rujukan perlu dibuat kepada pakar-pakar Perlembagaan dan perundangan yang non-partisan, objektif serta berwibawa berkenaan natijah dan kesan ICERD terhadap sistem perundangan," katanya.

Pada masa sama, DMJ turut menggesa supaya perkara itu dirujuk kepada Majlis Raja-raja terlebih dahulu dan tanpa perkenannya, ICERD tidak boleh ditandatangani dan diratifikasi Malaysia.
"Ini kerana Perlembagaan memperuntukkan bahawa sebarang perkara yang menyentuh kedudukan istimewa Melayu dan anak-anak negeri Sabah dan Sarawak adalah di bawah bidang kuasa Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja dan Dewan Undangan Negeri," katanya.


Selain itu, perkara itu perlu dibahaskan secara terbuka di Parlimen dengan penuh kejujuran tanpa berselindung tentang implikasi sebenar terhadap peruntukan-peruntukan teras Perlembagaan jika Malaysia meratifikasi ICERD.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P Waytha Moorthy memberi jaminan tidak akan memansuhkan Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan sekiranya ICERD diratifikasikan.

Kenyataan itu, bagaimanapun mengundang kecaman ramai pihak termasuk, bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad yang menegaskan, pengecualian Perkara 153 daripada diganggu-gugat selepas ICERD diratifikasi, adalah satu pembohongan.

ICERD adalah salah satu konvensyen antarabangsa hak asasi manusia yang telah berkuatkuasa dari tahun 1969, di mana negara yang meratifikasinya hendaklah menghapuskan segala bentuk diskriminasi bangsa dan kaum.

Sumber: https://www.ismaweb.net/2018/11/17/kerajaan-perlu-rujuk-majlis-raja-raja-sebelum-ratifikasi-icerd/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo