NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

ICERD, Belanjawan & Kuasa Negara


Oleh: Abdul Muein Abadi

1. Kita di Malaysia kini dihadapkan dengan dua isu besar yang mengimpak secara langsung ke atas kuasa negara kita. Malah boleh dikatakan bahawa kedua-dua isu ini cukup signifikan hinggakan sesetengah pihak meletakkannya sebaris dengan peristiwa penentangan orang Melayu ke atas Malayan Union dan juga krisis Kewangan Asia 1998.

2. Pertama ialah cadangan Kerajaan Malaysia untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum atau International Convention on the Elimination of All Forms of Discrimination (ICERD) 1969.

3. Isu yang kedua pula ialah pembentangan Belanjawan 2019 yang merupakan Belanjawan pertama yang dibentangkan oleh kerajaan Pakatan Harapan selepas mengambil alih teraju pemerintahan negara daripada Barisan Nasional (BN).

4. Lalu bagaimana harus kita menanggapi isu ICERD dan Belanjawan 2019 hari ini? Di sebalik pelbagai pandangan yang telah diutarakan oleh pelbagai pakar tanah air – daripada bekas Ketua Hakim Negara dari perspektif perundangan ke atas isu ICERD hinggalah ke pakar ekonomi dan agensi antarabangsa yang mengulas Belanjawan 2019 dari perspektif makroekonomi – impak kedua-dua isu ini ke atas kuasa negara juga wajib diberi perhatian khusus.

5. Apakah yang aspek-aspek penting yang membentuk ‘kuasa’ bagi sesebuah ‘negara’? Terdapat empat komponen yang diajukan oleh Fareed Zakaria dalam karya beliau ‘From Wealth to Power’ terbitan Princeton University Press yang membentuk ‘kuasa negara’. Keempat-empat komponen dari perspektif ‘State-centered Realism’ yang diajukan Fareed Zakaria tersebut ialah autonomi negara (state autonomy), skop tanggungjawab negara (state scope), keupayaan negara mengekstrak sumber (state’s ability to extract wealth), dan kesepaduan negara (state cohesion).

6. Kuasa negara yang kuat dicirikan oleh negara yang berautonomi tinggi, skop tanggungjawab yang luas, mampu mengekstrak sumber dalam skala besar, dan bersepadu. Kuasa negara yang lemah pula dicirikan oleh autonomi yang rendah, skop tanggungjawab yang sempit, kurang mampu mengekstrak sumber, dan tidak bersepadu.

7. Belanjawan 2019 menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan mengemukakan belanjawan yang terbesar dalam sejarah negara dengan peruntukan sebanyak RM314 bilion. Terdapat 10 pengumuman yang memberi impak negatif dan positif ke atas kuasa negara dalam belanjawan 2019 ini. Lima pengumuman yang mengundang kesan negatif ialah ‘pengunduran kerajaan daripada pasaran’, ‘pengurangan pegangan kerajaan dalam aset bukan strategik’, model baharu kerjasama Awam-Swasta (PPP), ‘penjualan tanah milik kerajaan secara berjadual dan terancang’, dan juga ‘Bon Samurai’ Jepun. Pengambilan peruntukan yang besar daripada Petronas juga telah menyaksikan impak negatif dijangkakan ke atas perusahaan negara itu.

8. Kesemua pengumuman ini mengundang pengurangan kuasa negara dalam aspek autonomi negara, skop tanggungjawab negara dan juga keupayaan negara mengekstrak sumber. Namun demikian, ia diimbangi dengan lima pengumuman yang memberi impak positif ke atas kuasa negara iaitu peruntukan sebesar RM60.2 bilion kepada pendidikan, ‘Agenda Pemerkasaan Bumiputera’, Pelan Tindakan Dasar Industri 4.0 (seperti dana berimpak tinggi MITI dan Hab Aeroangkasa Khazanah), pengenalan cukai baharu dan juga strategi pemerkasaan eksport, IKS, pelancongan, pertanian dan R&D bagi menghadapi Perang Perdagangan Amerika-China.

9. Jika isu Belanjawan melibatkan aspek material dalam kuasa negara, isu ICERD pula adalah melibatkan aspek ideologi politik dalam kuasa negara. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy telah menegaskan bahawa kerajaan Pakatan akan berusaha untuk meratifikasi ICERD seawal suku pertama 2019.

10. Langkah meratifikasi ICERD ini bakal mengimpak tiga dimensi kuasa negara secara negatif iaitu autonomi negara, skop tanggungjawab negara dan kesepaduan negara.

11. Dari segi autonomi negara, kita akan terbelenggu dalam pembuatan keputusan yang melibatkan dasar-dasar yang melibatkan kaum dan agama seperti dasar yang bersifat ‘affirmative action’ seperti peruntukan khusus untuk orang Melayu dan Bumiputera, perundangan Syariah dan praktik menghalang penyebaran agama bukan Islam kepada orang Islam. Autonomi kita akan terhakis dek dipantau rapat oleh badan asing serta pendukung mereka dalam negara ini. Jangan sekadar baca Artikel-artikel ICERD itu sahaja, bacalah juga laporan-laporan CERD yang banyak campur tangan dalam urusan dalaman negara lain - khususnya di negara umat Islam.

12. Dari segi skop tanggungjawab negara pula, campur tangan kerajaan dalam ekonomi politik bagi menegakkan acuan sendiri akan semakin agresif dicabar dan dituntut untuk dikendurkan. "Jambatan" antara pihak tertentu dalam negara ini dengan jawatankuasa CERD antarabagsa akan wujud lalu memberi tekanan besar secara halus ke atas kuasa negara.

13. Demikian juga impak negatif ICERD ke atas kesepaduan negara di mana jelas sekali dalam keadaan tiada parti dominan yang menjadi tonggak pemerintahan, pertentangan dan percanggahan pendirian akan memburukkan jurang sedia ada dalam pentadbiran. Kestabilan politik yang kita capai selama ini bakal dirungkai akibat membuka ‘kotak Pandora’ yang tidak perlu.

Ingatlah. Kemakmuran ekonomi akan merudum bila mana kestabilan politik digugat.


Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo