NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

ICERD Bakal Gugat Kedudukan Bahasa Melayu-PENA


Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) tidak boleh diratifikasi di negara ini berikutan keadaannya yang mampu mengancam kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) Dr. Mohamad Saleeh Rahamad berkata PENA menolak cadangan ratifikasi ICERD kerana bimbang kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara seperti yang termaktub dalam perkara 152 Perlembagaan Persekutuan akan terancam.

“Apabila ICERD diterima, akan terbukalah ruang untuk mengancam kedudukan bahasa Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan kerana status bahasa Melayu boleh sahaja dituduh sebagai diskriminasi terhadap bahasa lain.

“Sedangkan tanpa ICERD pun bahasa Melayu sering dihimpit oleh permainan politik perkauman dan dominasi komersialisme, apatah lagi setelah ICERD diratifikasi. Kelak bahasa Melayu akan menjadi bahan tawar-menawar dalam kancah politik,” katanya melalui kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Saleeh Rahamad berkata meskipun wujud dakwaan bahawa ratifikasi ICERD tidak akan menjejas kepentingan orang Melayu dan Bumiputera, namun perjanjian tersebut mampu menjadi ‘gerbang utama’ kepada desakan lain untuk masuk ke negara ini.

“Ratifikasi hanya akan membuka ruang untuk langkah susulan sehingga Perlembagaan pun boleh dipinda nanti.

“Malaysia tidak perlu akan ICERD untuk menjadi negara yang adil kerana dalam keadaan sedia ada pun keistimewaan kepada bangsa bukan Melayu atau bukan bumiputera tetap diberikan, malahan lebih daripada yang dinikmati oleh golongan itu di negara lain,” katanya.



Wartawan Watan-Online

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo