NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

ICERD Ancam Kedaulatan Negara – Mufti Perak


Mufti Perak, Datuk Seri Dr. Harussani Zakaria memberi peringatan bahawa perpaduan antara kaum bakal terjejas sekiranya kerajaan Pakatan Harapan (PH) meneruskan agenda untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Beliau berkata ratifikasi ICERD akan menafikan kesepakatan ‘kontrak sosial’ yang telah disepakati antara kaum di negara ini sebelum mencapai kemerdekaan pada 1957.

“…Tidak boleh disangkal daripada sikap toleransi kaum Melayu, maka wajar kedudukan Agama Islam dan Ketuanan Melayu seperti dalam Perkara 3(1) dan 153 Perlembagaan Persekutuan tidak perlu dipertikai kerana ia telah disepakati dengan bijaksana oleh para pemimpin terdahulu dengan mengambilkira kepentingan semua kaum.

“ Maka, pihak kerajaan seharusnya tidak mempedulikan cadangan dan desakan untuk meratifikasi ICERD kerana jika dibiarkan atas tujuan apa sekalipun bakal mengundang rasa tidak puas hati dan perpecahan yang ketara antara kaum,” katanya melalui satu kenyataan media pada Isnin.

Mengulas lanjut, Harussani turut berkata tiada keperluan untuk kerajaan meratifikasi ICERD berikutan kaum Melayu dan Bumiputera tidak melakukan diskriminasi terhadap kaum lain, malah menerima kemasukan kaum lain ke negara ini dengan tangan terbuka sejak mencapai kemerdekaan.

“Sikap menolak diskriminasi terhadap kaum-kaum yang lain dengan menerima dengan hati yang tulus ikhlas kedatangan mereka ke negara ini sebagai bukti layanan yang terhasil daripada nilai dan budi kaum bumiputera Melayu Islam.

“Sikap yang dizahirkan ini adalah lahir daripada kesepaduan iman, amal dan adat tradisi ketumuran yang diasuh, disemai dan dididik oleh agama dan nilai budi Melayu supaya menghormati nilai kemanusiaan walaupun berbeza bangsa, kaum, bahasa, budaya dan adat resam,” ujar beliau. - Wartawan Watan-Online

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo