Hukuman Mati: Patutkah Dimansuhkan Sepenuhnya?


1. Saya berharap agar kerajaan tidak berburu-buru memansuhkan sepenuhnya hukuman mati yang ada dalam pelbagai undang-undang di Malaysia. Tidak dinafikan bahawa, langkah mengkaji dan menilai semula undang-undang adalah penting bahkan ia perlu dilakukan secara berkala dan komprehensif. Walau bagaimana pun, sesuatu langkah besar seperti memansuhkan semua hukuman mati memerlukan kajian yang lebih terperinci dengan mengambilkira pelbagai faktor.

2. Buat masa ini terdapat 33 kesalahan di bawah pelbagai akta memperuntukan hukuman mati. Kajian perlu dibuat ke atas satu persatu kesalahan yang berbeza ini bagi menilai samada hukuman mati wajar atau tidak. Kajian ini perlu menilai kadar serius sesuatu jenayah, kesan hukuman mati ke atas jenayah berkenaan, jumlah pesalah yang pernah dijatuhi hukuman mati di bawah kesalahan berkenaan, dan pandangan agama berkenaan kesesuaian sesuatu hukuman itu dengan kesalahan yang dilakukan.

3. Selain itu, kategori ‘mandatori’ bagi sesetengah hukuman mati juga perlu diteliti semuala. Perlu dilihat adakah kategori yang mengehadkan budibicara hakim ini sesuai atau tidak dalam sistem perundangan negara.

4. Secara peribadi saya berpendapat sebahagian kesalahan wajar dikekalkan hukuman mati. Misalnya bagi kesalahan membunuh dengan niat di bawah Kanun Keseksaan, hukuman mati wajar dikekalkan kerana ia berkaitan dengan pembelaan ke pada keluarga si mati. Tanpa hukuman begini, mereka mungkin mempunyai rasa tidak puas dan tidak tenang dengan hukuman yang dijalankan. Lebih-lebih lagi jika pembunuhan itu dilakukan dengan kejam dan pesalah itu tiada rasa insaf.

5. Secara adilnya mereka yang membunuh layak untuk dihukum mati. Tambahan pula hukuman mati bagi kesalahan membunuh ini mampu menimbulkan kegerunan dan dapat menghalang mereka yang berniat untuk melakukan pembunuhan. Jika kerajaan ingin menambahbaik hukuman bagi pembunuh, sepatutnya ia dilakukan dengan mewujudkan ruang dan kuasa kepada keluarga si mati untuk memilih samada mengekalkan hukuman mati, atau sekadar menuntut pampasan, atau memaafkan pembunuh sepenuhnya.

6. Selain itu, hukuman mati bagi kesalahan berbentuk pemberontakan terhadap negara juga wajar dikekalkan. Di bawah seksyen 121 Kanun Keseksaan terdapat peruntukan hukuman mati bagi kesalahan ‘melancarkan perang terhadap Yang Di-Pertuan Agong’, iaitu kesalahan bagi menerka yang menggunakan kekerasan bagi menimbulkan kekacauan dan meruntuhkan kerajaan. Peruntukan undang-undang seperti ini wujud bagi memastikan keamanan dan ketenteraman sesebuah negara terjamin.

7. Manakala bagi sebahagian kekesalahan lain, terdapat kewajaran untuk membatalkan hukuman mati. Hukuman mati mandatori di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 perlu diberikan perhatian khusus. Sebahagian besar pesalah yang dikenakan hukuman mati adalah dari kesalahan ini. Walhal keberkesanan undang-undang ini untuk mengatasi gejala penyalahgunaan dadah boleh dipersoalkan.

8. Keputusan untuk mengekal atau memansuhkan hukuman mati perlu berteraskan asas yang kukuh dan jelas. Prinsip bahawa sesebuah kerajaan tidak mempunyai hak untuk mengambil nyawa rakyat dengan mengenakan hukuman mati bukanlah satu prinsip yang perlu diterima bulat-bulat dalam negara kita. Prinsip yang dipopularkan di Barat sejak beberapa tahun kebelakangan ini perlu dikaji berasaskan nilai-nilai agama dan budaya tempatan.

9. Dalam Islam misalnya, pemerintah tidak dianggap mengambil nyawa rakyat dengan mengenakan hukuman mati, tetapi pemerintah sekadar menjalankan amanah selaku khalifah dan hamba Allah untuk melaksanakan hukuman yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kesalahan tertentu seperti membunuh.

10. Tegasnya, keputusan berkaitan pemansuhan hukuman mati ini hanya boleh dibuat selepas penelitian dibuat ke atas setiap 33 peruntukan undang-undang yang berkaitan dengan mengambilkira semua faktor tanpa terikat dengan konsep hak asasi manusia yang berteraskan pemikiran Barat.


DR MUHAMMAD FATHI YUSOF
14 NOVEMBER 2018
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget