Full Point Ucapan YB Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang Geopolitik & Masa Depan Islam Universiti Islam Antarabangsa Malaysia



Full Point Ucapan
YB Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Geopolitik & Masa Depan Islam
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

MUQADDIMAH

1) Terdapat di kalangan bukan Islam yang mengkaji sejarah sejak awal dunia sehingga kini

2) Tidak pernah ada agama-agama lain, ideologi-ideologi lain daripada Islam yang boleh menunjukkan model yang berjaya dilaksanakan

3) Islam akhir zaman yang dipimpin Nabi Muhammad diutuskan oleh Allah dengan mukjizat ilmu berbeza mukjizat rasul terdahulu

4) Mencipta generasi awal umat Islam di bumi yang kering, Mekah. Lembah yang tiada sumber

5) Allah memulakan agenda peranan manusia di atas muka bumi dengan ilmu bukan dengan ekonomi, bukan dengan politik dahulu. Termasum Adam, sebelum dihantar ke bumi, dibina syakhsiyyah jati diri dengan ilmu mengikut naluri manusia yang punya jasad, roh individu masyarakat

6) Mendirikan negara masyarakat majmuk, melaksanakan teori masyarakat madani yanh hanya menjadi impian ahli falsafah Barat.

7) Bukan sahaja Al-Quran memandu ilmu wahyu kepada manusia termasuk ilmu duniawi yang memberi manfaat

8). Ahli falsafah Greek dibunuh kerana bijak, ada negara yang potong tangan arkitek kerana berjaya melukiskan istana yang indah, dipotong tangannya

9) Bila Islam datang, bukan sahaja mengislamkan manusia termasuk mengislamkan ilmu.

10) Melaksanakan firman Allah

اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ

Baca dengan nama Tuhan, dengan petunjuk Tuhan

عَلَّمَ بِالْقَلَمِ

Mengajar manusia dengan kalam

11) Dinyatakan oleh pesanan Nabi,

الْحِكْمَةُ ضَالَّةُ الْمُؤْمِنِ، حَيْثُمَا وَجَدَهَا فَهُوَ أَحَقُّ بِهَا

Kebijaksanaan milik orang beriman, di mana saja dijumpai laksana barang tercicir, barang hilang, barang tak bertuan maka orang beriman yang paling berhak dibandingkan ilmu dan bijaksana begitu rupa

12) Maka orang Islam mengumpulkan ilmu2 seluruh pelusuk dunia daripada Tamadun Parsi, Rom, China, India dan lain-lain, diterjemahkan ke dalam bahasa Arab maka lahirlah Tamadun Islam

13) Berjaya mengislamkan manusia dan ilmu, memerintah negara masyarakat majmuk, berbilang agama, berbilang bangsa dan kaum, disaksikan penganut-penganut bukan Islam di Mesir, di Utara Afrika, di Iran, di Syria, di Asia Tengah, masih ada rumah-rumab ibadat termasuk di rantau kita, Melayu Nusantara ini, Borobudur di Indonesia menandakan adanya penganut-penganut bukan Islam yang tidak dipaksa tetapi Islam menguasai negara yang diterima masyarakat majmuk dalam keadaan aman kerana konsep yang dilaksanakan bersifat sejagat

14) Beriman kepada Allah, tiada sesiapa yang boleh mengatasi undang-undang, bertaqwa, martabat manusia bukan bangsa dan warna kulit, yang bertaqwa paling mulia, adil untuk semua di mana Islam memimpin dunia

15) Kejatuhan umat Islam setelah mereka meninggalkan ajaran Islam itu sendiri.

16) Berlaku zaman kelemahan. Negara umat Islam dijajah.

GEOPOLITIK DUNIA

17) Pasca Perang Dingin yang meruntuhkan sosialisme dan komunisme di abad yang lalu. Soviet Union hancur, negara komunis berkecai menyebabkan negeri-negeri Islam yang dijajah komunis bebas menubuhkan negeri masing-masing

18) Yang tinggal adalah Barat, liberal kapitalisme. Bila berlakunya keruntuhan komunisme dan sosialisme, tokoh-tokoh ilmuan Barat berasa bangga

19) Prof Francis Fukuyama menyatakan bahawa tidak ada lagi tamadun melainkan tamadun Barat. Satu saja tamadun yang tinggal selepas kejatuhan komunis, semua tamadun-tamadun yang lain dalam lipatan sejarah

20) Namun Prof Huntington menyanggah pandangan Fukuyama. Di sana ada yang tersembunyi, yang masih hidup segar dan kuat iaitulah Islam.

21) Henry Kissinger, bekas setiausaha luar Amerika yang masih hidup lagi, orang tua ini tajam fikirannya, mengatakan bahawa dunia Barat perlu menyedari yang mencabar mereka adalah Islam walaupun Islam ini tidak ada negara besar yang melindunginya, tak ada kuasa pemerintahan yang menjaganya tetapi kekuatan ajaran Islam itu membimbangkan

22) Disaksikan bagaimana berlakunya kebangkitan seluruh umat Islam walaupun terdapat agenda Barat untuk menghapuskan Islam ini

23) Allah menunaikan janjinya.

يُرِيدُونَ لِيُطْفِئُوا نُورَ اللَّهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَاللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ

Mereka hendak memadamkan cahaya agama Allah dengan mulut-mulut mereka namun Allah tetap menyempurnakan cahayanya walaupun dibenci oleh orang yang melawan, yang ingkar akan Islam

24) Walaupun mereka berjaya menjatuhkan Khilafah Uthmaniyah, bermula dengan kejatuhan Melaka 1511 diakhiri dengan tumbangnya Uthmaniyah 1924, dilaksanakan Perjanjian Sykes-Picot, membahagi-bahagikan Asia Barat di kalangan kuasa-kuasa Barat, British, Perancis, Itali. Perjanjian Betawi, Perjanjian Bangkok dibahagikan rantau Asia Tenggara ini. Indo-China kepada Perancis. Kita ada Cham di sana, Orang Champa, Orang Islam pun ada negara, Selatan Thailand kepada Buddha Siam, kawasan Malaysia (kepada) British, Indonesia (kepada) Belanda.

25) Dibahagi-bahagikan sesama mereka laksana membahagi pusaka peninggalan orang mati tetapi penentangan terhadap penjajah berterusan

26) Di sini menandakan bahawa mereka tidak boleh memadamkan cahaya Islam.

27) Melalui kajian Orientalis, Snouck Hurgronje dan lain-lain lagi yang mengkaji rahsia jati diri umat Islam, mereka membuat kesimpulan - 3 perkara yang tidak boleh dipandang remeh-temeh, menjadi roh yang menjana orang Islam. Yang pertama Al-Quran Al Karim, yang kedua sembahyang Jumaat seminggu sekali dengar khutbah Jumaat, yang ketiga Haji di Baitullah al-Haram di Mekah, bukan saja pergi Mekah. Mereka mengaji di masjid Mekah dan Madinah. Ada ulama-ulama Tanah Jawi, ulama India dan lain-lain mengajar di Masjid. Pengetahuan agama tidak boleh dimatikan.

28) Lalu mereka melaksanakan agenda Ghazwul Fikri, serangan pemikiran, serangan ilmuan terhadap umat Islam bermula dengan agenda Kristianisasi, mengkristiankan orang Islam melalui sekolah-sekolah yang ditubuhkan, Convent, Methodist, macam-macam nama sekolah ini. Asalnya agenda Kristian. Di Indonesia Sekolah Belanda, di Utara Afrika Sekolah Perancis dan lain-lain. Namun gagal mengkristiankan orang Islam, (hanya) segelintir yang sangat kecil

29) Dilaksanakan agenda Taghrib, memBaratkan orang Islam. Dengan cara yag halus, dibukanya sekolah-sekolah kebangsaan di negeri masing-masing. Menukarkan bahasa Islam daripada tulisan huruf Arab kepada huruf Latin. Sejarah-sejarah zaman Jahiliyah dihidupkan, sejarah Islam dipendamkan. Digalakkan semangat-semangat kebangsaan.

30) Dalam masa yang sama, ilmu Islam tidak boleh dimatikan. Di kampung-kampung masih ada orang mengaji Quran, walaupun tak tau makna, mengaji Quran juga. Mengaji agama, fardhu ain di surau dan masjid.

31) Mereka terpaksa memberi kemerdekaan pada akhirnya kerana semangat Nasionalisme yang memakan tuan, memakan penjajah itu, terpaksa memberi kemerdekaan.

32) Mereka laksanakan agenda mengkaderkan ilmuan-ilmuan kalangan orang Islam melalui kemajuan yang mereka capai bahkan kemajuan mereka pun diciplak daripada tamadun Islam. Mereka belajar Tamadun Islam, ilmu-ilmu duniawi tetapi disekularkan, dipisahkan dari agama kerana Kristian agama yang tak sesuai dengan Sains dan Teknologi, lain dengan Islam

33) Mereka berjaya ambil orang Islam untuk dididik dalam bidang Sains dan Teknologi dan ilmu-ilmu yang lain dengan harapan orang ni balik ke negeri masing-masing menjadi jentera kepada Barat.

34) Apa yang berlaku, Abul Hasan Ali An-Nadwi pernah menegaskan dalam tulisannya - Allah mengisahkan Firaun yang mendapat ramalan ahli-ahli nujum lahirnya Nabi Musa A.S. memerintah supaya anak-anak lelaki dibunuh untuk menghalang kelahiran Nabi Musa A.S.. Tiba-tiba Nabi Musa dibesarkan di bawah mahligai Firaun, itulah Musa yang menjatuhkan Firaun.

35) Al-Quran mukjizat ilmu sehingga hari kiamat. Kita menyaksikan bahawa semangat kembali kepada Islam lahir di universiti-universiti Barat. Kalangan yang dididik oleh Barat itu sendiri terdapat ilmuan-ilmuan orang Islam yang belajar di Barat. Bukan tak boleh dihapuskan Islamnya tetapi mempunyai semangat untuk kembali semula kepada agama mereka.

36) Walaupun di masa mutaakhir mereka menyebarkan apa yang disebut Islamophobia supaya orang benci kepada Islam. Apa yang berlaku bukan saja orang Islam baca Islam malah orang Barat.

37) Orang Barat ni rupanya dia minat membaca. Kalau saya pergi luar negeri saya lihat dalam kapal terbang, orang Melayu kita suka tengok tv, orang putih baca buku. Boleh tengok, orang putih baca buku dia jemu dah tengok tv. Kita orang Melayu tengok filem, cerita. Dia baca buku, tebal buku tu, habis buku baca.

38) Mereka ingin tahu apa itu Islam menyebabkan Quran-Quran terjemahan laris di negara Barat. Berlakunya kebangkitan Islam di seluruh dunia termasuk di negara bekas-bekas komunis. Apa yang menarik kalau di Barat berlakunya Islamophobia, di negara bekas Soviet agak lemah Islamophobia ini. Berlaku satu keadaan yang sangat menarik menyebabkan orang Islam mahu balik semula kepada Islam

39) Walaupun negara orang Islam selepas mencapai kemerdekaan terpengaruh dengan Perang Dingin Timur dan Barat. Ada negara Islam yang masuk blok timur, masuk blok barat sehingga bertarung sesama negara umat Islam.

40) Di rantau Asia Tenggara berlaku Konfrontasi Malaysia - Indonesia. Malaysia pro-Barat, Indonesia pro-Timur nak berperang dalam tahun 60-an.

41) Di negara Arab, banyak negara yang melaksanakan sosialisme, terpengaruh dengan blok timur, mempertahankan monarki berdasarkan liberal kapitalisme, terpengaruh dengan Barat sehingga negeri umat Islam dibahagikan mengikut blok tetapi tak boleh menghalang kebangkitan Islam walaupun di tahun 60-an, mungkin kamu semua tak sempat dengan tahun itu, diwar-warkan dengan menisbahkan Islam dengan ideologi-ideologi yang bukan Islam. Lahirnya teori sosialisme Islam, kapitalisme Islam, Demokrasi Islam, komunisme Islam

42) Almarhum Buya Hamka pernah menulis ada kiyai di Indonesia bersyarah di atas pentas komunis dalam masa polihanraya di zaman Sukarno kerana tak tahu komunis ni bercanggah dengan Islam. Saya diberitahu komunis-komunis Melayu yang berlindung di Selatan Thailand, walaupun mereka berjuang komunis, bulan Ramadhan sembahyang Tarawikh. Dia tak tahu komunis ni bercanggah dengan Islam. Berlaku kejahilan begitu rupa

43) Dengan mereka mengambil titik persamaan sedikit sahaja yang ada dalam Islam dan ideologi-ideologi ini. Contohnya Islam mengharamkan riba, komunis juga mengharamkan riba, menentang riba, ini komunisme dalam Islam katanya. Contohnya Islam menggalakkan kebebasan menasihat, mengkritik dan bersuara, demokrasi Barat juga begitu. Itu secara kebetulan, perlu diketahui bahawa sekiranya kita merujuk muqaddimah Ibn Khaldun, kita akan dapati Ibn Khaldun lebih awal mengemukakan teori-teori ini tetapi berbeza dengan ideologi-ideologi kerana Islam itu ada roh, ada aqidah, ada sifat perhitungan dosa dan pahala, wawasan akhirat, bukan wawasan dunia sahaja. Ini berbeza dengan ideologi lain

44) Alhamdulillah, penipuan ini meleset. Kita melihat orang Islam ingin balik semula kepada Islam. Ringkasnya masa depan tetap ada pada Islam. Bagaimana kita nak merancang masa depan kita? Perlu "diorganize"kan ilmuan-ilmuan Islam ini, perlu disedari betapa umat Islam yang berilmu terkesan dengan agenda Barat. Mereka berjaya mewujudkan aliran agama yang lemah. Mengaji Islam, tak tahu nak melaksanakan Islam mengikut keadaan-keadaan semasa

45) Ada ulama-ulama pondok yang mengaji pondok mengatakan bunga bank itu halal, 'interest' itu halal kerana dalam kitab feqah, kitab kuning tak ada sebut 'interest', tak ada sebut bunga bank, yang disebut riba sahaja. Ni kerana tidak memahami maksud dan tujuan. Begitu sekali

46) Ada yang terpengaruh dengan Barat, nak jadikan kita macam Barat, terus ikut Barat. Begitu sekali. Namun ada yang faham dan sedar perlu bagaimana nak mentajdid dan mengislahkan, mereformasikan ilmu berdasarkan kepada Islam yang sebenar. Kita tidak menyedari banyak perkara-perkara baru dalam Islam ini diasaskan oleh Islam. Contohnya teori bank sebagai contoh, bila sebut bank ini saya ingat dalam perjumpaan 2 minggu lepas dengan Presiden Erdogan dengan pimpinan ulama, beliau kata kalau boleh perkataan bank tu tukar (ke) perkataan kita. Begitu keras sekali dia punya pandangan. Itu kita tinggal dulu.

47) Perkataan tak jadi masalah tetapi apa yang menarik ialah saya pernah membaca seorang ahli sejarah ekonomi mengatakan bahawa teori bank diasaskan oleh Nabi kita Muhammad S.A.W..

48) Rupanya bila kita baca sirah Nabi, bila Nabi berhijrah dari Mekah ke Madinah, masa Nabi nak berhijrah itu, di rumahnya, rumah Khadijah binti Khuwailid R.A masih banyak barang-barang simpanan yang disimpan oleh orang-orang musyrikin Mekah. Walaupun mereka tak masuk Islam tetapi mereka percaya kepada amanahnya Nabi S.A.W. Mereka simpan barang di rumah Khadijah. Tidakkan dalam sirah Ibnu Hisyam mengatakan Nabi berpesan kepada Saidina Ali - jangan berhijrah lagi. Pulangkan balik barang ini kepada tuan-tuan dia, menunjukkan bagaimana amanahnya Nabi termasuk kepada orang bukan Islam. Kalau mengikut akal kita yang cetek ini, nak berhijrah kebas barang bawak 'pelari' dah, ini tidak, suruh Saidina Ali pulangkan balik barangan

49) Ini menunjukkan rumah Khadijah adalah bank, tempat simpanan, masyarakat Mekah menyimpan di rumah Khadijah binti Khuwailid R.A sama ada secara mudharabah tanpa riba mengikut muamalah.

50) Ketika Nabi berhijrah ke Madinah sebagai satu contoh, Nabi membuat pinjaman berhutang dengan seorang Yahudi yang bukan Islam, yang diterima menjadi rakyat padahalnya Saidina Uthman kaya, Abdul Rahman bin Auf kaya, apa salahnya pinjam dengan Saidina Uthman tetapi Nabi pinjam dekat Yahudi. Pinjam denganYahudi tanpa riba, janji nak bayar dalam tempoh beberapa bulan. Tiba-tiba si Yahudi ni datang jumpa Nabi di khalayak ramai - "Wahai Muhammad, mana hutang tak bayar lagi. Memanglah kamu ni penyangak, bangkai datuk, nenek kamu macam ini agaknya penyangak tak bayar hutang," - menyebabkan para sahabat marah nak bertindak Nabi kata jangan. Memang betul Nabi pinjam dengan dia tapi belum tiba masanya lagi. Rasulullah kata - "Wahai Umar, bawak dia dan bayar hutang dia." Sampai tengah jalan, Yahudi ni kata - Wahai Umar, bawak aku menghadap Rasulullah, aku nak masuk Islam. Umar kata - "macamana, tadi nak mintak hutang, nak masuk Islam?". Dia kata - "Sebabnya tadi aku datang nak uji nak cuba dia kerana aku baca dalam kitab agama aku mengatakan di antara tanda Nabi akhir zaman itu ialah dia dapat menahan kemarahannya. Aku buat sesuatu dia marah, dia boleh tahan kemarahan dia."

51) Nabi mempraktikkan ajaran Islam. Kita sekarang ni bila kita berhutang, hutang dengan orang, dengan bank, niat tak mau bayar dah ada dah. Berhutang, niat nawaitu tak mau bayar hutang tu dah ada. Macamana kita nak tarik orang kepada Islam.

52) Ini contoh yang mudah bagaimana Islam boleh mempengaruhi, dengan sebab itulah kalau saudara membaca negeri Asia Tengah, Jalan Sutera dari negeri Arab sehingga Xinjiang, Islam meranapkan agama lain. Bagaimana pedagang-pedagang datang ke Asia Tenggara ini mengIslamkan orang Melayu yang beragama Hindu dan Buddha, masuk Islam. Mengapa kita hari ini payah nak mengislamkan orang bukan Islam seramai itu, menandakan ada tempat yang tak kena yang kita kena sedar

53) Di sini kita perlu membuat perubahan. Ini kita kena sedar. Dengan sebab itu, menghidupkan semula ilmu sama ada ilmu Islam untuk memampukan bagaimana menterjemahkan Islam itu mengikut keadaan semasa. Dalam masa yang sama mengislamkan ilmu-ilmu duniawi yang telah dicuri oleh orang Barat daripada Islam balik kepada kita semula.

54) Kita membina semula masa depan kita. Saya yakin dan percaya dengan suasana yang ada pada hari ini, kita mempunyai kemampuan dalam keadaan jumlah orang Islam 1 billion lebih. Mengapa kita tak boleh menjalankan gerakan untuk kembali semula kepada masa depan yang baik. Kita yakin, kita tidak boleh menunggu masa depan islam ini berjaya sebagaimana menunggu naiknya matahari dengan berkokok ayam. Mesti bangun sembahyang subuh la, jangan tunggu ayam kokok, matahari naik. Kita mesti sembahyang subuh, bermunajat kepada Allah, menghayati Islam itu
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget