NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Catatan Ringkas Berita Semasa Di Hijau.FM






1. Banjir : Cabaran Penoreh Getah Dan Nelayan
Pembentangan belanjawan baru-baru ini langsung tidak menyentuh bantuan sara hidup kepada 90,000 orang nelayan mahupun 194,571 pekebun kecil dan penoreh getah di Malaysia terutama pada musim tengkujuh yang akan melanda Semenanjung Malaysia pada bulan Oktober 2018 hingga Mac 2019.

Ahli Parlimen Setiu, YB Shaharizukirnain Abdul Kadir berkata, amat tidak wajar sekali kerajaan mengetepikan golongan tersebut. Katanya lagi, kerajaan seharusnya memikirkan nasib penoreh getah dan nelayan kerana mereka terpaksa mengikat perut terutama menghadapi musim tengkujuh.

Beliau mendesak pihak kerajaan agar tidak mengetepikan hak penoreh mahupun nelayan iaitu pemberian inisiatif bantuan musim tengkujuh. Selain itu, pihak kerajaan juga seharusnya mengawal harga getah agar penoreh tidak mempunyai masalah sebelum musim tengkujuh sekali gus dapat meningkatkan sumber pendapatan mereka.

2. Keluarkan Sabah Dari Mundur Dan Miskin
PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) Sabah mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Mohd Shafie Apdal atas keputusan Mahkamah Tinggi yang mengesahkan bahawa Shafie adalah Ketua Menteri Sabah yang sah.

Pesuruhjaya PAS Sabah, Mohd Aminuddin Aling berkata keputusan ini akan memberi laluan kepada kerajaan baru untuk menumpukan tugas kepada pembangunan negeri Sabah kerana sudah terlalu lama berada di takuk kemunduran dan kemiskinan. Jadi, kerajaan baru yang dipimpin oleh Shafie mesti mengeluarkan Sabah dari kepompong ini seterusnya mengangkat Sabah selari dengan wilayah lain dalam Malaysia.

Katanya lagi, tumpuan penting yang mesti menjadi fokus kerajaan baru adalah pembangunan luar bandar, sektor pendidikan, keadilan sosial dan kualiti infrastruktur. Dalam konteks pembangunan jangka panjang, PAS yakin Sabah boleh menjadi model negeri pertanian yang maju.


3. Pemimpin PAN Usah Syok Sendiri 
Ramai daripada kalangan penyokong Parti Amanah Negara (PAN) mulai sedar permainan politik pemimpin PAN yang kononnya mahu menggantikan PAS sehingga mahu kembali kepada perjuangan asal selepas kecewa dengan gelagat pemimpin parti itu.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi berkata ramai yang ditemui mulai cenderung semula kepada PAS. Ujar beliau, kenyataan Naib Presiden PAN, Dato’ Mahfuz Omar seolah-olah meletakkan KPI bagi mempengaruhi lebih ramai ahli PAS supaya menyertai parti serpihan berkenaan seperti syok sendiri.

PAS Kedah menyarankan agar KPI Naib Presiden PAN itu disimpan sahaja daripada membuang masa bercakap tanpa fakta. Tambah beliau, PAS sekarang dalam proses pemutihan keahlian.


4. ICERD : 3 Perkara Kerajaan Perlu Pandang Serius
Pihak kerajaan hendaklah berhenti mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan berkaitan ICERD, tidak sesekali berniat mengugat hak orang Bumiputera dan Melayu serta pertemuan bersama-sama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membincang isu berbangkit.

Ahli Parlimen Kemaman, YB Tuan Che Alias Bin Hamid berkata, kerajaan digesa mengambil serius tiga perkara utama berkenaan pelaksanaan ICERD yang seolah-olah cuba mencabar kedaulatan raja dan perlembagaan Malaysia. Katanya, bantahan yang lakukan itu berasas kerana ICERD secara terang lagi nyata akan menyentuh dan menghapuskan hak istimewa orang Melayu serta anak-anak negeri Sabah dan Sarawak.

Terdahulu, Gerakkan Pembela UMMAH (UMMAH) yang mengabungkan 300 NGO-NGO di Malaysia telah menyerahkan memorandum Bantahan Ratifikasi (ICERD) kepada Ahli Parlimen Marang, YB Dato Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan turut dihadiri oleh Ahli-Ahli Parlimen PAS di Parlimen pada 31 Oktober 2018.


5. LGBT Meningkat : Pemuda PAS Sedia Bantu Tangani
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) bersedia menawarkan khidmat nasihat, tenaga sokongan dan kepakaran untuk bersama-sama menagani masalah LGBT.

Ketuanya, YB Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, pendekatan bersama yang terancang, ikhlas dan menggembleng segala kemampuan serta menuntut langkah waspada dan serius semua pihak terhadap isu mencabar ini dari terus membarah.

Beliau yang juga ADUN Batu Buruk berkata lagi, usaha bersungguh-sungguh mendekati dan memulihkan golongan ini menurut kaedah Islam pasti dapat menyelamatkan mereka seiring langkah pencegahan serta penerapan pendidikan yang berpaksikan Islam, akhlak dan moral perlu digubal menjadi Dasar Pendidikan Negara.

Statistik perkembangan pesat golongan gay yang kini berjumlah 310,000 berbanding 173,000 pada 5 tahun dahulu, peningkatan setara golongan transgender yang kini berjumlah 30,000 berbanding 10,000 pada tahun 1988 dan kuantiti pesakit HIV/AIDS yang semakin tinggi dan menggerunkan. Ia juga menunjukkan indeks tidak sihat terhadap sosial negara.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo