NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Cabaran dan Jangkaan Bajet 2019 – Syahir Sulaiman (Bahagian 2)


“Dan janganlah engkau jadikan tanganmu terbelenggu di lehermu (bakhil), dan janganlah pula engkau menghulurkannya dengan sehabis-habisnya (boros), kerana akibatnya akan tinggal lah engkau dengan keadaan yang tercela serta kering keputusan” (Al-Isra’: 29)

Harapan Rakyat.

Bajet 2019 pastinya dinantikan oleh segenap lapisan rakyat.

Terdapat beberapa kajian yang telah dilakukan pasca PRU14 bagi meninjau kebimbangan yang ada di kalangan rakyat. Kajian persepsi yang dijalankan oleh firma Kajidata dan Merdeka Centre antaranya mendapati, isu ekonomi dan kenaikan kos sara hidup kekal menjadi keutamaan rakyat secara keseluruhannya.

Secara spesifik, hasil tinjauan Kajidata menunjukkan tiga tawaran utama yang menarik minat pengundi terhadap 10 janji Pakatan Harapan adalah menghapuskan GST (33%), mengembalikan semula subsidi minyak petrol (25%), dan menangguhkan bayaran PTPTN sekiranya gaji di bawah RM4,000 sebulan (12%). 

Di samping itu, tinjauan yang dibuat oleh pihak iMoney mendapati antara isu ekonomi utama yang membimbangkan rakyat adalah kenaikan kos sara hidup (83%), rumah tidak mampu dimiliki (65%), pengangkutan awam yang tidak efisyen (65%), penjagaan kesihatan yang mahal (52%), dan cukai yang membebankan (42%). 

Apabila ditanya apakah yang paling ditunggu di dalam Bajet 2019, responden kajian iMoney mengharapkan untuk mendapatkan pelepasan cukai, rumah mampu milik, dan pemberian subsidi dalam Bajet 2019 ini.

Justeru antara pengumuman yang dinantikan bagi menyelesaikan isu yang melingkari hidup rakyat pada masa kini adalah bantuan sosial dan kebajikan kepada golongan miskin bandar dan luar bandar, suri rumah, mahasiswa, pemandu teksi, petani dan nelayan, serta petunjuk terhadap keinginan kerajaan untuk menghidupkan kembali projek kereta nasional dan kesungguhan untuk memenuhi segala janji manifesto Pakatan Harapan.

Penumpuan Bajet.

Cabaran utama penyediaan Bajet 2019 adalah untuk menimbang kehendak rakyat dan kemampuan kerajaan dalam mengemukakan belanjawan yang seimbang.

Kerajaan perlu mengutamakan agenda pemulihan negara yang konstruktif, bukannya memilih pendekatan populis untuk menarik sokongan rakyat yang akhirnya boleh membebankan kerajaan.

Presiden PAS ketika membahaskan Kajian Separuh Penggal RMK11 telah menyarankan agar kerajaan serius dan telus dalam memerangi rasuah, ketirisan dan monopoli dalam negara, yang dilihat sebagai faktor utama yang menyumbang kepada kerosakan ekonomi negara dan rakyat.

Selain itu, beliau turut menyarankan agar peluang pekerjaan diberikan lebih keutamaan kepada anak tempatan, manakala projek mega perlu dinilai bagi membawa pulangan keuntungan dan perkongsian teknologi kepada negara. Kos sara hidup rakyat yang tidak mampu menghadapi tekanan inflasi, hendaklah ditangani bukan sekadar menukar GST kembali semula kepada SST.

Dalam konteks pembangunan wilayah, PAS menyambut baik usaha kerajaan untuk menghidupkan semangat federalisma yang dilemahkan sebelum ini, dan mengharapkan royalti minyak kepada Kelantan dan Terengganu dapat dikembalikan dengan segera. 

Malah PAS turut menyarankan agar industri hiliran dapat dibangunkan, di samping ditambah-baik kaedah pemasaran untuk membantu golongan desa meningkatkan tahap ekonomi mereka, melalui bimbingan dan kerjasama semua agensi di peringkat Persekutuan dan Negeri.

Peduli Bajet.

Mengikuti pembentangan bajet pada setiap tahun merupakan suatu pilihan.

Di hujung pembentangan, ramai yang ingin tahu apakah bentuk bantuan, insentif dan projek yang diumumkan oleh kerajaan. Ramai juga yang ingin tahu apakah pengecualian cukai dan cukai baru yang akan diperkenalkan oleh kerajaan. 

Namun ramai juga yang memilih untuk tidak mengambil tahu, mungkin kerana hidupnya sudah cukup selesa, ataupun merasakan bajet yang dibentangkan tidak memberi apa-apa kesan kepada kehidupan mereka.

Sewajarnya rakyat tidak melepaskan peluang setahun sekali ini untuk menilai komitmen dan perancangan kerajaan dalam mengurus kewangan negara, demi kebaikan rakyat, peniaga dan kerajaan secara keseluruhannya.

- Syahir Sulaiman, Pengarah Strategi DPPM
- 31 Oktober 2018

*Penulisan ini mengupas dua aspek berkaitan dengan Bajet 2019. Bahagian pertama membincangkan unjuran intipati utama dan jangkaan ahli ekonomi terhadap Bajet 2019. Bahagian kedua mengupas jangkaan rakyat dan saranan yang perlu diberi perhatian dalam kerangka Bajet 2019.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo