NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Berpadu menolak ICERD


Dr Asyraf Wajdi Dusuki
21 November 2018


MUTAKHIR ini kita digembar-gemburkan dengan isu ICERD, perkauman dan kuasa. Dibayangkan bahawa telah berlaku penganiayaan, kezaliman dan tekanan kepada kaum tertentu menyebabkan kaum tersebut telah hidup secara tertekan dan terseksa.

Hinggakan sebelum ini ada usaha daripada pihak-pihak tertentu untuk mengundang kuasa luar bagi campur tangan dalam menangani masalah ini. Dan kini, dengan tujuan sama dengan kuasa 'baharu' yang dimiliki, golongan ini mencuba sedaya upaya untuk mencapai usahanya terdahulu.

Tahukah kalian bahawa ICERD adalah singkatan kepada 'International Convention on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination' dalam bahasa Melayunya sebagai 'Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum'.

Konvensyen ini telah diluluskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan berkuat kuasa pada 4 Januari 1969 bagi tujuan menjaga hak asasi manusia.

Mengikut konvensyen ini, ia tidak membenarkan sesekali negara yang menandatanganinya mempunyai apa-apa undang-undang yang mendiskriminasikan mana-mana kaum atau bangsa.

Dalam konteks Malaysia, negara ini tidak pernah sesekali mendiskriminasikan mana-mana pihak dengan melakukan penindasan dan penafian hak. Setiap kaum mempunyai hak yang sama dan peluang yang serupa sehinggakan komposisi kekayaan dan kesamaan peluang dirasai oleh semua pihak.

Pada masa sama, negara ini turut mengiktiraf dan mempertahankan hak keistimewaan orang-orang Melayu dan Pribumi sebagai bangsa asal yang mendiami dan mempertahankan negara ini. Keturunan inilah yang mempertahankan tanah air ini semenjak berkurun lamanya, sebelum dan semasa penjajahan baik Inggeris, Komunis mahupun Jepun.

Lantaran itu, hak keistimewaan ini adalah bukan suatu diskriminasi, sebaliknya peruntukan hak yang dijamin oleh Perlembagaan negara sebagaimana tercatat dalam Perkara 153 (Hak-hak Keistimewaan Orang Melayu), Perkara 152 (bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan), Perkara 89 (Tanah Rizab Melayu), Perkara 3(1) (Islam sebagai agama Persekutuan) dan beberapa peruntukan lain.

Memenuhi hak ini adalah merupakan suatu jaminan dan kesaksamaan. Ia telah berlaku semenjak merdeka dan sehingga kini. Keamanan dan kemakmuran yang dikecapi oleh semua kita adalah natijah daripada penjagaan hak-hak ini dan juga perkongsian manfaat dan faedah secara bersama oleh semua kaum.

Dengan tidak meratifikasi ICERD adalah tidak bermakna negara kita berada di belakang dan ketinggalan dalam mengiktiraf konvensyen antarabangsa. Sebaliknya, ia menjamin kebebasan hak sesebuah negara untuk mengekalkan keamanan dan kesejahteraan dalam mengemudi dan mentadbir negara.

Keamanan dan kesejahteraan keseluruhan rakyat yang berjumlah lebih 30 juta dan pengekalan kesejagatan negara adalah jauh lebih utama berbanding memenuhi tuntutan segelintir individu yang pada asasnya adalah rekaan dan kebencian semata-mata.

Sehingga kini ramai dalam kalangan ahli politik, baik pembangkang mahupun kerajaan, hatta perdana menteri sekalipun telah menyatakan kemustahilan dalam melaksanakan ratifikasi tersebut. Sekiranya kerajaan sendiri mengaku bahawa mustahil untuk meminda perlembagaan kerana tiada dua pertiga majoriti, apa keperluan lagi untuk meratifikasi atau mengesahkan ICERD?

Apakah ada niat di sebalik meratifikasi ICERD untuk membolehkan satu hari nanti kerajaan meminda perlembagaan tatkala sudah cukup majoriti 2/3. Untuk itu, kesemua kita WAJIB sebulat suara untuk berpadu dan bersatu bagi menolak sekeras-kerasnya konvensyen ICERD ini.

* Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo