NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Bajet 2019 Terengganu: Negeri Berkat Rakyat Sejahtera


MUQADDIMAH 

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum 

Warahmatullahi Wabarakatuh 

Yang Berhormat Tuan Yang Dipertua, 

1. Alhamdulillah marilah kita sama-sama menzahirkan rasa syukur yang setulusnya kepada Allah SWT dengan limpahan kurniaNya yang berterusan, disusuli ucapan selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda dan para sahabat radhiallahu ‘anhum ajma’iin. 

2. Sesungguhnya dengan izin dan rahmat Allah SWT, saya diberikan kesempatan buat julung kalinya selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), mewakili kerajaan baharu untuk membentangkan Bajet Negeri Terengganu bagi tahun 2019.


3. Marilah kita semua menitipkan doa dengan tulus dan ikhlas ke hadrat Allah SWT semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, Sultan dan Yang Di-Pertuan bagi Negeri Terengganu Darul Iman serta segala jajahan takluknya, dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Nur Zahirah, Sultanah Terengganu agar diberkati, dirahmati serta dikurniakan pimpinan Ilahi untuk terus menaungi dan memayungi Negeri Terengganu Darul Iman yang dikasihi ini. 


4. Mengimani betapa Al-Quran bukan sekadar kitab suci yang dilimpahi keberkatan semata-mata, bahkan ia merupakan modul serta panduan daripada Tuhan pemilik alam ini untuk rujukan sekalian umat. Maka saya mulakan pembentangan ini dengan Firman Allah SWT dalam Surah Al-A’raaf ayat ke-96; 
Maksudnya, “Sekiranya penduduk sesebuah negeri itu beriman dan bertaqwa kepada Allah SWT, maka pasti Kami akan melimpahkan kepada mereka keberkatan dari langit dan juga bumi, namun sekiranya mereka mendustakan (ayat-ayat Kami), maka Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan perbuatan mereka itu” 
 

5. Firman Allah SWT ini telah mengingatkan kita, bahawa limpahan keberkatan dan kemakmuran sesebuah negeri tidaklah berkisar seputar kebijaksanaan pengurusan dan perancangan semata, bahkan ia sangat berkait rapat dengan keimanan serta ketaqwaan kerajaan dan rakyat sesebuah negeri. Sebaliknya, segala kebijaksanaan dan ketelitian perancangan yang diselimuti kedustaan dan kekufuran, hanya akan mengundang azab Allah SWT yang pedih dan membinasakan. 

6. Saya mohon membentangkan Enakmen yang bertajuk Enakmen Perbekalan Tahun 2019 untuk mendapatkan pertimbangan Dewan yang mulia ini, bagi menggunakan sejumlah wang dari Kumpulan Wang Disatukan untuk membiayai Perbelanjaan Bekalan, Perkhidmatan dan Pembangunan Negeri pada tahun 2019. Pembentangan lengkap dan perincian peruntukan Bajet 2019 ini terkandung dalam Buku Bajet Terengganu Tahun 2019. 
7. Inisiatif sedia ada yang telah dan sedang dilaksanakan juga dimasukkan dalam buku bajet ini, manakala pembentangan pada hari ini memfokuskan kepada perkara-perkara baharu dan tertentu yang ingin dilaksanakan pada tahun 2019. 


8. Bajet Negeri Terengganu 2019 dirangka berasaskan kepada kepentingan dan keperluan rakyat, di mana Kerajaan Negeri telah mengambil inisiatif melancarkan laman sesawang e-bajet dan menganjurkan bengkel Cadangan Bajet Rakyat Terengganu (CBRT) di setiap daerah bersama dengan semua pemegang taruh (stakeholders) yang berkaitan. Pendekatan ini telah berjaya menarik penglibatan aktif semua lapisan masyarakat dan rakyat terutamanya dari kalangan kumpulan profesional dan bukan profesional untuk turut memberikan idea dan mengetengahkan aspirasi mereka dalam merangka bajet kali ini. 

9. Natijahnya, sebanyak 2,260 cadangan rakyat telah diperhalusi dan diterjemahkan mengikut keutamaan dalam bajet kali ini. Saya mengucapkan jutaan penghargaan kepada semua yang telah terlibat dalam proses penggubalan Bajet Negeri Terengganu 2019. Setiap pandangan rakyat sangat dihargai dan diberikan perhatian yang serius oleh Kerajaan Negeri. 

PRESTASI DAN PROSPEK EKONOMI 


Yang Berhormat Tuan Yang Dipertua, 

10. Sebelum saya membentangkan Bajet Negeri Terengganu bagi tahun 2019, izinkan saya memberikan gambaran kepada Dewan yang mulia ini berkenaan dengan ringkasan prestasi dan prospek semasa ekonomi Negeri Terengganu Darul Iman.



11. Pertumbuhan ekonomi global dijangka sederhana bagi tahun 2018 dan 2019, disumbangkan oleh ketidaktentuan dagangan dunia yang berpunca daripada persaingan kuasa besar ekonomi dan aliran keluar modal daripada negara membangun. 

12. Negara yang mempunyai hubungan dagang utama dengan Malaysia seperti United Kingdom, Jepun, China dan India dijangka mencatatkan pertumbuhan sederhana berikutan prospek pasaran kewangan dan hartanah dalam negara tersebut, termasuklah perkembangan ketidaktentuan Brexit dan perang tarif antara Amerika Syarikat dan China. 


13. Pertumbuhan ekonomi Malaysia dinilai pada 4.8% hingga 4.9% bagi tahun 2018 dan 2019, dipacu oleh sektor domestik dan pelaburan swasta, manakala dalam masa yang sama rakyat masih berhadapan dengan tekanan inflasi dan peluang pekerjaan yang terhad, tanpa mengira di bandar mahupun luar bandar. 


14. Bagi Negeri Terengganu, pertumbuhan KDNK dicatatkan pada kadar 5.9% bagi tahun 2017 dan menyamai kadar pertumbuhan Malaysia. KDNK perkapita negeri pula menunjukkan peningkatan daripada RM27,272 pada tahun 2016 kepada RM29,347 pada tahun 2017. Malah, kadar kemiskinan juga menurun kepada 0.4% pada tahun 2016. Ada aspek positif yang kita akui terhadap usaha oleh pentadbiran lalu, namun ada kelemahan dalam aspek pelaksanaan program dan projek yang mesti diteliti kembali supaya mengelakkan pembaziran dan bebanan kewangan kepada kerajaan tanpa mengurangkan objektifnya. 


15. Unjuran pertumbuhan KDNK pada 2018 pula dijangka sederhana dengan kadar 5.0%. Kadar ini dipacu oleh sektor pembuatan dan sektor perkhidmatan dengan peningkatan masing-masing kepada 6.1% dan 5.8% berbanding 3.8% dan 4.4% tahun sebelumnya. 


16. Dalam pada itu, masih banyak ruang yang perlu diperbaiki dalam konteks sosioekonomi dan tadbir urus di negeri yang bertuah ini. Pihak Kerajaan Negeri optimis untuk terus mengurangkan kadar pengangguran negeri yang masih tinggi pada tahap 4.5%, di samping melonjakkan prestasi pelaburan yang dapat memberikan pulangan dan manfaat kepada negeri, serta meningkatkan budaya integriti dalam pentadbiran kerajaan dan pengurusan Syarikat Berkaitan Kerajaan. 


17. Kita yakin bahawa pencapaian ekonomi yang baik tidak hanya bergantung kepada kemajuan ekonomi semata-mata, sebaliknya turut mementingkan aspek kesejahteraan hidup dan kelestarian alam secara yang lebih seimbang, untuk diwarisi oleh generasi akan datang. 


PERUNTUKAN BAJET 2019 


Yang Berhormat Tuan Yang Dipertua, 


18. Berteraskan kalam Allah SWT dalam Surah Al-A’raaf ayat ke-96 sebagai prinsipnya, diharmonikan bersama pandangan rakyat serta mengambil kira perkembangan ekonomi semasa, dan seterusnya ke arah memenuhi aspirasi Pelan Induk Terengganu Sejahtera 2030 (PITAS), maka dengan ini, Bajet Negeri Terengganu 2019 dicadangkan dengan tema “NEGERI BERKAT, RAKYAT SEJAHTERA”. 


19. Perencanaan bajet ini didokong oleh empat (4) teras utama yang menjadi tonggak kepada Bajet 2019 iaitu: 

Teras Pertama : Keberkatan 

Teras Kedua : Kemajuan 

Teras Ketiga : Kebajikan 

Teras Keempat : Kecekapan 


Semua teras tersebut akan diperkukuhkan dengan lapan (8) strategi pelaksanaan sebagaimana berikut: 

1) Mengukuhkan prinsip Islam 

2) Mewujudkan polisi patuh syariah 

3) Membangunkan kualiti modal insan 

4) Merancakkan pertumbuhan ekonomi 

5) Mengukuhkan institusi keluarga dan masyarakat 

6) Merealisasikan Terengganu sebagai negeri berkebajikan 

7) Meningkatkan kecekapan sistem penyampaian 

8) Menerapkan nilai integriti dan ketelusan 


20. Dalam usaha mencapai dan menjayakan teras serta strategi Bajet 2019, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sejumlah RM2.015 bilion dalam Bajet 2019. Peruntukan ini adalah lebih besar berbanding RM1.996 bilion dalam Bajet 2018. Pertambahan kepada peruntukan ini adalah bagi memacu pertumbuhan ekonomi negeri yang akan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat Negeri Terengganu. 


21. Dengan izin Allah SWT, bagi tahun 2019, kita menjangkakan akan memperoleh hasil berjumlah RM2.015 bilion menjadikan bajet tahun 2019 merupakan Bajet Berimbang. Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM66.93 juta merupakan Hasil Cukai, RM203.53 juta adalah Hasil Bukan Cukai dan RM1.745 bilion merupakan Terimaan Bukan Hasil


22. Secara perinciannya, Kerajaan Negeri mencadangkan peruntukan sebanyak RM2.015 bilion untuk Perbelanjaan Mengurus. Daripada jumlah tersebut, RM600 juta akan dicarumkan kepada Kumpulan Wang Pembangunan untuk Perbelanjaan Pembangunan. Ia termasuk RM186.2 juta untuk projek bayaran tertangguh (deferred payment) dan bayaran berjadual (scheduled payment). Kerajaan Negeri juga memperuntukkan sebanyak RM1.8 juta kepada Kumpulan Wang Bekalan Air. 


23. Di bawah peruntukan Perbelanjaan Mengurus, sebanyak RM86.025 juta atau 4.27% akan diperuntukkan bagi Perbelanjaan Tanggungan sebagaimana yang termaktub secara khusus menurut undang-undang, manakala sejumlah RM1.929 bilion atau 95.73% pula diperuntukkan untuk Perbelanjaan Bekalan. 24. Di bawah peruntukan Perbelanjaan Bekalan pula, sebanyak RM285.47 juta untuk Emolumen, RM197.1 juta untuk Perkhidmatan dan Bekalan, RM24.98 juta untuk Aset, RM1.42 bilion untuk Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap dan RM1.16 juta untuk Perbelanjaan Lain-lain.


25. Di bawah komponen Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap, sejumlah RM600 juta adalah caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan, RM230 juta diperuntukkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan, Badan-badan Berkanun dan pelbagai agensi, RM194 juta diperuntukkan bagi pemberian kepada jabatan-jabatan kerajaan dan RM400 juta pula diperuntukkan bagi pelbagai program di bawah seliaan Pejabat Setiausaha Kerajaan yang akan memberi impak secara langsung kepada rakyat.


Yang Berhormat Tuan Yang Dipertua, 



TERAS PERTAMA 


Keberkatan sebagai prinsip asas kepada pentadbiran dan pembangunan negeri. 

Sampan jangan lama bertambat, 

Bila lama hilang manfaatnya, 

Makan jangan lupakan rahmat,

 Kelak hilang segala berkatnya.


26. Sorotan sejarah membuktikan bahawa Negeri Terengganu telah memartabatkan Islam sebagai sumber hukum yang telah menjadi teras undangundang tubuh kerajaan dalam pentadbiran menerusi penggubalan Itqan Al-Muluk bi Ta’dil As-Suluk. 



27. Justeru, bagi menyambung semula kesinambungan kedaulatan syariah serta menyemarakkan kefahaman dan penerimaan rakyat terhadap keadilan dan keharmonian undang-undang Islam, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan RM1 juta bagi menganjurkan aktiviti yang akan merealisasikan tujuan tersebut seperti Sambutan Itqan Al-Muluk bi Ta’dil As-Suluk, Program Multaqa Ulama Terengganu, program penerangan, pengukuhan dan penguatkuasaan prinsip-prinsip syariah serta program dialog dan penyebaran kefahaman kepada masyarakat bukan Islam. Mudah-mudahan usaha pelaksanaan syariah akan terus dinamik dari semasa ke semasa dan setiap program yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri mestilah selari dengan ajaran Islam yang sebenar untuk mencapai keredhaan Allah SWT.


28. Melengkapkan lagi teras ini, Kerajaan Negeri juga memperuntukkan sebanyak RM3.5 juta untuk menubuhkan Akademi DUAT (Didik Ulama Amilin Terengganu) bertujuan melatih para pendakwah dengan pelbagai ilmu dan kemahiran kontemporari. Sementara itu, program untuk menyantuni masyarakat turut akan diperhebatkan seperti aktiviti Street Dakwah yang akan menampilkan pendekatan dakwah yang lebih inklusif dan mesra masyarakat.


29. Dalam memastikan usaha memperbaiki jati diri serta akidah khususnya dalam kalangan anak muda, adalah menjadi satu keperluan untuk mewujudkan Pusat Rehabilitasi dan Pemulihan Akidah yang melibatkan peruntukan berjumlah RM10 juta. Bagi melaksanakan kerja-kerja awal sebanyak RM2 juta diperuntukkan pada tahun 2019.


30. Institusi masjid dan surau sangat penting dalam masyarakat dan merupakan simbol perpaduan ummah serta menjadi nadi kepada seluruh kehidupan umat Islam. Melihat kepada kepentingan ini, sejumlah RM30.5 juta akan diagihkan untuk membina, menambah baik, menyelenggara masjid dan menganjur aktiviti bermanfaat kepada komuniti.


31. Saya mendengar keluhan golongan wanita dalam bengkel Cadangan Bajet Rakyat Terengganu (CBRT) yang lalu mengenai kekurangan fasiliti beriadah mesra muslimah. Dengan ini, Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk menaik taraf dewan dan taman rekreasi melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk memberi keselesaan kepada golongan wanita beriadah. 

Yang Berhormat Tuan Yang Dipertua, 



32. Pada tahun ini, Kerajaan Negeri telah julung kalinya mengadakan Program Madinah Ramadhan di dataran berbumbung, Taman Shahbandar, Kuala Terengganu. Pelbagai aktiviti keilmuan dan keagamaan diselitkan sebelum dan selepas waktu berbuka puasa seperti tazkirah, tadarus Al-Quran, solat Maghrib dan Isyak berjemaah serta Tarawih bersama imam jemputan.


33. Program yang bermanfaat ini akan diteruskan pada tahun 2019 dengan peruntukan sebanyak RM2 juta. Semoga Madinah Ramadhan akan terus menyuburkan jati diri Muslim serta menambahkan lagi keberkatan dan mengeratkan ukhuwah dalam kalangan masyarakat.


34. Kerajaan Negeri juga akan memperuntukkan RM1.5 juta untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti kesedaran Islam seperti bulan solat, kempen khatam Al-Quran, kempen kebersihan, kempen kesihatan dan sebagainya sempena sambutan hari-hari kebesaran Islam seperti Maal Hijrah, Nuzul Al-Quran, Israk Mikraj dan Maulidur Rasul. Kerajaan Negeri turut akan meneruskan Sambutan Hari Arafah bagi menghayati falsafah pensyariatannya.


35. Program Tazkirah Bulanan akan dilaksanakan pada setiap hari Khamis minggu pertama di semua pejabat kerajaan. Program ini akan bermula dengan solat sunat Dhuha dan diteruskan dengan tazkirah agama atau hafalan Al-Quran serta terjemahan hadis. 

Yang Berhormat Tuan Yang Dipertua, 


TERAS KEDUA 

Kemajuan iaitu dengan meningkat kualiti modal insan, membangun infrastruktur dan memakmur ekonomi negeri. 

Peningkatan Kualiti Modal Insan 



36. Kefahaman dan pengamalan terhadap ajaran Al-Quran perlu diperkukuhkan demi melahirkan modal insan yang berkualiti. Menyedari akan kepentingan ini, maka sebanyak RM5 juta diperuntukkan di bawah Skim Mus’ab Bin Umair untuk menggalakkan rakyat mencintai Al-Quran.

37. Kerajaan Negeri berhasrat untuk melahirkan lebih ramai golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) penglihatan yang celik Al-Quran. Bagi merealisasikan tujuan tersebut, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM3 juta untuk membangunkan Pusat Pengajian Al-Quran Braille di Kemaman dan Besut sebagai tambahan kepada Pusat Pengajian Al-Quran Braille di Kuala Nerus.

38. Institusi pendidikan agama rakyat merupakan benteng utama dalam mempertahankan akhlak dan akidah ummah. Bagi mencapai hasrat ini, Kerajaan Negeri menyasarkan sebuah sekolah rendah Islam di setiap daerah. Ia juga merupakan sebahagian daripada manifesto pilihan raya yang lalu. Peringkat permulaan, sebanyak enam (6) buah sekolah akan ditubuhkan dengan jumlah peruntukan RM7.8 juta.

39. Dalam masa yang sama, Kerajaan Negeri bercadang memperuntukkan RM3 juta bagi bantuan per kapita kepada sekolah pondok, sekolah agama persendirian dan pusat pendidikan yang berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu bagi meningkatkan tahap kualiti pengurusan mereka.

40. Bagi menunaikan manifesto pilihan raya yang lalu, Kerajaan Negeri menyediakan biasiswa khas kecemerlangan sebanyak RM6.5 juta untuk anak-anak Terengganu dengan keutamaan akan diberikan kepada pelajar cemerlang golongan B40.
41. Selain itu, Kerajaan Negeri turut menyediakan peluang pinjaman yuran pengajian yang bertujuan menyediakan tajaan baharu untuk menampung kos yuran dengan peruntukan keseluruhan RM10 juta bagi pelajar yang layak.


42. Di peringkat sekolah rendah dan menengah, beberapa dana bantuan kepada para pelajar akan diperuntukkan, antaranya ialah bantuan pakaian dan alatan sekolah sebanyak RM12 juta. Bantuan ini akan disalurkan kepada pelajar yang memerlukan melalui Pusat Khidmat ADUN. Kerajaan Negeri mengharapkan agar program ini dapat meringankan bebanan ibu bapa di awal persekolahan.

43. Paling penting, Kerajaan Negeri turut akan memastikan anak-anak asnaf tidak tercicir dalam arus pendidikan dan pasaran pekerjaan. Dana khas berjumlah RM57.5 juta akan diperuntukkan bagi mencapai objektif tersebut melalui Program Pendidikan dan Latihan Kemahiran untuk anak-anak asnaf.


44. Dalam usaha untuk memudahkan dan mengurangkan bebanan kos para pelajar Terengganu yang akan melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar, Mesir, Kerajaan Negeri akan menubuhkan Pusat Bahasa Universiti Al-Azhar cawangan Negeri Terengganu dengan peruntukan sebanyak RM2.5 juta.


45. Seterusnya buat julung kalinya, sejumlah RM600 ribu disediakan sebagai biasiswa bagi membuka peluang kepada anak kelahiran Terengganu untuk memperolehi sijil Association of Chartered Certified Accountants (ACCA). Kerajaan Negeri mahu pertambahan lebih ramai golongan profesional anak Terengganu dalam bidang tersebut.

Yang Berhormat Tuan Yang Dipertua, 
46. Dalam usaha untuk melahirkan generasi muda harapan dan pewaris kepimpinan sebagai seorang muslim yang bebas daripada kebejatan gejala sosial, Kerajaan Negeri bersetuju menganjurkan program khas yang dinamakan Fityah Terengganu (FATEH) melibatkan 8,000 pelajar Tingkatan 3 seluruh Negeri Terengganu. Usaha ini diperkasakan lagi dengan memperuntukkan sebanyak RM1.36 juta melalui program Generasi Islah Falah Terengganu (GIFT) dan Program Transisi Personaliti Remaja (PTPR).

47. Belia merupakan aset yang amat berharga serta tonggak kekuatan masa depan negara. Oleh itu, Kerajaan Negeri telah merangka beberapa program khas untuk belia, antaranya ialah menginstitusikan DUN Belia Terengganu dengan peruntukan RM2.4 juta. Dengan kewujudan program ini juga, Kerajaan Negeri berharap peranan belia akan diperkasakan di peringkat yang lebih tinggi bagi memastikan suara golongan muda diberi perhatian dalam pembentukan sebarang dasar Kerajaan Negeri.
48. Sementara itu, Institut Latihan Kemahiran di bawah Kerajaan Negeri akan memperkenalkan Terengganu Skills Enhancement Program For School Leavers (TSEP-S) yang akan menyediakan pelbagai kursus teknikal kepada golongan belia bagi meningkatkan kemahiran dan kebolehupayaan pekerjaan (employability), dengan peruntukan sebanyak RM2 juta.
49. Khusus untuk pelajar-pelajar lepasan pondok dan tahfiz, Kerajaan Negeri akan menyediakan peruntukan sebanyak RM2 juta bagi membantu mereka mengambil peperiksaan awam dan kursus teknikal yang ditawarkan di Institusi Latihan Kemahiran di bawah Kerajaan Negeri. Semoga ia dapat meningkatkan tahap kebolehpasaran mereka serta melahirkan Ulama Profesional yang mampu menguasai bidang teknikal dan agama.

50. Kerajaan Negeri bertekad untuk melahirkan ramai usahawan yang berdaya saing bagi menyokong pertumbuhan ekonomi menerusi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS). Tabung Usahawan Sejahtera (TUGAS) berjumlah RM15 juta telah dikhaskan sebagai kemudahan pinjaman dan bantuan pembiayaan modal untuk semua segmen PKS sepertimana yang dijanjikan dalam manifesto pilihan raya yang lalu.

51. Sebagai contoh, peruntukan Dana Usahawan Belia Sejahtera (Dana U-BES) berjumlah RM2 juta, Tabung Siti Khadijah untuk wanita dan ibu tunggal berjumlah RM2 juta, manakala Dana Prihatin Terengganu (D-HATI) untuk Usahawan OKU pula berjumlah RM1 juta. Bagi menggalakkan lebih ramai graduan menceburi bidang keusahawanan, maka Program Usahawan Graduan Terengganu Sejahtera (U-GATES) akan diperkukuhkan dengan peruntukan RM1 juta yang merangkumi latihan keusahawanan, modal perniagaan dan pemantauan prestasi peserta.



52. Berdasarkan dapatan kajian yang dikemukakan oleh Visa Consumer Payment Attitudes 2017, sebanyak 76% rakyat Malaysia melakukan transaksi pembelian dalam talian. Ekoran itu, Kerajaan Negeri menyediakan Latihan Usahawan Maya dengan peruntukan sebanyak RM2 juta untuk meneroka pasaran ini. Kerajaan juga akan mempelopori Business Internet Solutions dengan menyediakan kemudahan dan membantu usahawan maya untuk mengembangkan lagi perniagaan mereka.

53. Pada masa yang sama, sejumlah RM200 ribu akan diberikan kepada Urus Setia Pembangunan Usahawan Terengganu (PEUTER) yang telah bertindak sebagai pengantara antara 37 agensi keusahawanan negeri dan pusat dengan para usahawan di Negeri Terengganu.
54. Selain itu, Program Gerai Maju dengan peruntukan sebanyak RM1.7 juta turut disediakan untuk tujuan penukaran gerai baharu kepada usahawan-usahawan yang memerlukan.

55. Kerajaan Negeri turut memperuntukkan geran penyelidikan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) sebanyak RM2 juta bagi membantu para usahawan menghasilkan produk dan perkhidmatan yang berkualiti melalui kaedah pemasaran yang terkini, pengurusan organisasi, pengembangan produk dan penciptaan inovasi.




Yang Berhormat Tuan Yang Dipertua, 




56. Tidak terlewat lagi untuk saya, pihak kerajaan dan seluruh rakyat Negeri Terengganu merakamkan jutaan tahniah kepada Kontinjen Terengganu yang berjaya mencapai ‘Win Back Mission’ dengan menjuarai Kejohanan SUKMA di Perak pada bulan September yang lalu. Kontinjen Terengganu telah memenangi 56 pingat emas, 51 pingat perak dan 53 pingat gangsa. Kejayaan ini lebih manis apabila saudari Azreen Nabila Binti Alias telah dinobatkan sebagai Atlet Wanita Terbaik dan saudari Nur Aisyah Mohamad Zubir telah memenangi tujuh (7) pingat emas dalam SUKMA Perak 2018.


57. Kerajaan Negeri juga mengucapkan tahniah kepada pasukan bola sepak Negeri Terengganu. Terengganu FC telah berjaya ke pentas akhir Piala Malaysia 2018. Begitu juga, Pasukan TFC II menempah kejayaan juara Piala Cabaran. TFC III menjuarai Piala Presiden dan seterusnya TFC IV merupakan naib juara Piala Belia. Bukan itu sahaja, Pasukan Persatuan Bola Sepak Melayu Negeri Terengganu (PBMNT) telah berjaya menjadi naib juara Piala Emas Raja-Raja.


58. Syabas dan tahniah buat semua atlet Terengganu. Saya mengharapkan agar terus cemerlang di masa akan datang.


59. Sukan juga perlu dijadikan aktiviti rutin harian dalam membudayakan gaya hidup sihat. Kerajaan Negeri akan memperuntukkan RM3.3 juta bagi penganjuran acara dwi tahunan Sukan Terengganu (SUTERA), sukan teras, sukan peringkat DUN dan membangunkan satu sukan ekstrem di setiap daerah.

60. Beberapa program dan sistem sokongan sukan juga direncana untuk kepentingan rakyat. Sasaran 1 sukan 1 juara akan menjadi fokus pembangunan sukan Negeri Terengganu. Justeru, peruntukan sebanyak RM15 juta untuk tabung sukan akan dimanfaatkan untuk tujuan pembangunan sukan serta membantu para atlet yang akan menyertai pertandingan kejohanan di dalam dan luar negara. Kerajaan Negeri juga sangat mengalu-alukan sumbangan daripada sektor swasta untuk membantu pembangunan sukan Negeri Terengganu.

61. Trek basikal bercirikan keselamatan akan dibina dari Teluk Ketapang hingga ke Kuala Ibai dengan peruntukan sebanyak RM2.9 juta. Dengan kemudahan ini, diharap ia akan membudayakan aktiviti berbasikal dan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat, serta melahirkan lebih ramai atlet berprestasi tinggi dari Negeri Terengganu.


Yang Berhormat Tuan Yang Dipertua, Membangun Infrastruktur 



62. Kerajaan Negeri Terengganu amat menghargai keprihatinan YAB Tun Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia semasa membentangkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesebelas 2016-2020, dalam memastikan peruntukan pembangunan yang lebih saksama diberikan kepada semua negeri, supaya pembangunan yang lebih seimbang akan dikecapi, tanpa bebanan kewangan kepada negara dan negeri.
63. Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri Terengganu amat mengharapkan agar projek-projek seperti pembinaan Lebuhraya Pantai Timur 3 (LPT3), East Coast Rail Link (ECRL) dan Projek Pengawalan Hakisan Pantai dapat diteruskan bagi menjamin pembangunan wilayah yang seimbang, dengan kos yang munasabah dan terkawal.
64. Kerajaan Negeri akan meneruskan projek infrastruktur yang telah berjalan seperti Kompleks Hadhari Siti Khadijah di Kuala Berang, Pusat Komersial dan Perkhidmatan Kuala Ping, Pelancongan Agro Rekreasi di Kg Darau, Besut dan Pembangunan Kuala Besut Square.
65. Keputusan ini diambil berdasarkan kepada empat pertimbangan utama. Penilaian semula dan penambahbaikan projek tersebut dijangka akan memberikan kesan gandaan ekonomi, memberi manfaat kepada rakyat, memperoleh pulangan kewangan yang setimpal dan tiada pertambahan beban kewangan ke atas Kerajaan Negeri.

66. Kerajaan Negeri juga memperuntukkan sebanyak RM30.7 juta bagi mempertingkatkan infrastruktur dan kualiti pengurusan bencana Negeri Terengganu dan mencapai Terengganu Berdaya Tahan Bencana (Urban Resilience) serta bertepatan dengan pencalonan Terengganu sebagai Candidate Cities in ASEAN Disaster Resilient Cities.



67. Usaha-usaha lain juga dilakukan termasuk projek pembangunan muara sungai Terengganu, projek pendalaman muara dan lagun sungai, projek pengawalan hakisan pantai dan menaik aras beberapa jalan di Terengganu. Sistem saliran juga dinaik taraf seperti di Padang Negara Kuala Terengganu, Gong Pak Jin Kuala Nerus dan Sungai Buaya Dungun. 

68. Kerajaan Negeri juga akan membina pusat pemindahan banjir di Kampung Seberang Tayur dan menaik taraf pusat pemindahan banjir Kampung Padang Kemunting di Kemaman.


69. Selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri yang mahu menarik lebih ramai pelabur ke Negeri Terengganu, maka perkhidmatan bekalan air yang mampan adalah elemen utama yang mesti diberikan perhatian. Kerajaan juga bertanggungjawab dalam memastikan pengguna domestik dan industri mendapat perkhidmatan yang terbaik dan berterusan. Justeru itu, peruntukan sebanyak RM80 juta disediakan untuk menaik taraf infrastruktur bekalan air dan program pengurangan Non Revenue Water (NRW) di seluruh Negeri Terengganu. Program ini bakal menyaksikan peningkatan kualiti perkhidmatan air oleh Syarikat Air Terengganu (SATU).


Yang Berhormat Tuan Yang Dipertua, Memakmur Ekonomi Negeri 



70. Allah SWT telah mengurniakan sumber mineral yang sangat tinggi nilainya kepada Negeri Terengganu. Antara sumber mineral yang terdapat di Negeri Terengganu adalah mineral silika yang merupakan antara sumber asli yang terbaik. Bagi memanfaatkan sumber tersebut, Kerajaan Negeri sedang membangunkan Terengganu Silica Valley (TSV) di Jambu Bongkok, Marang. 

71. TSV merupakan kawasan industri berasaskan silika yang melibatkan kos sebanyak RM200 juta untuk pembangunan infrastruktur asas peringkat pertama tidak termasuk kos penyaluran paip gas asli yang akan dibuat oleh pihak Petronas Gas dari Santong ke tapak projek. Taman industri yang dibina di atas tanah seluas 4,000 hektar ini dijangka akan menarik pelaburan keseluruhan kira-kira RM13 bilion.

72. Kerajaan Negeri akan menjadikan Terengganu sebagai destinasi pelaburan yang mesra pelabur. Semua birokrasi permohonan pelaburan akan dipermudahkan tanpa meminggirkan kepentingan aset dan rakyat Terengganu. Ekosistem pelaburan seperti infrastruktur dan kemudahan utiliti turut akan dilengkapkan. Kerjasama Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan menerusi inisiatif seperti East Coast Economic Region Development Council (ECERDC) dan para pelabur akan terus diperkukuhkan untuk kepentingan rakyat dan kemajuan negeri.


73. Bagi merancakkan ekonomi berasaskan pertanian, penternakan, perikanan dan industri asas tani, Kerajaan Negeri telah menyediakan Pelan Strategik Hala Tuju Pertanian Negeri Terengganu 2019 - 2023. Pelan ini akan dilaksanakan dalam tempoh lima (5) tahun yang menggariskan arah hala tuju sektor pertanian Negeri Terengganu.


74. Bagi pelaksanaan pelan hala tuju ini, lebih RM15 juta diperuntukkan bagi tahun pertama 2019. Dengan bajet ini, Kerajaan Negeri memfokuskan kepada usaha bagi memperkayakan sumber perikanan dengan program melabuhkan tukun dan unjam tiruan.
Bagi memantapkan lagi infrastruktur pelabuhan dan jeti pendaratan ikan, sebuah cold room dan tempat membaiki bot akan dibina di Marang. Sebanyak RM1.5 juta disediakan untuk proses kajian hidrologi bagi mendalamkan dan menaik taraf Pelabuhan Perikanan Chendering. 

75. Aspek kebajikan masyarakat nelayan menjadi keutamaan Kerajaan Negeri. Bagi melaksanakan hasrat ini, Kerajaan Negeri akan meneruskan Projek Penempatan Semula Nelayan di Besut, Setiu dan Kemaman.
76. Generasi muda adalah keutamaan Kerajaan Negeri. Bagi golongan ini, Kerajaan Negeri telah dan akan terus berusaha untuk menarik lebih ramai belia menyertai bidang pertanian menerusi kursus dan latihan kemahiran yang disediakan buat mereka termasuklah menyediakan pinjaman tanpa faedah iaitu Skim Bantuan Modal Tani. Ia diwujudkan bagi membantu golongan sasar seperti peladang, penternak dan nelayan.

77. Kerajaan Negeri memberi perhatian serius kepada usaha membaik pulih projek-projek yang tidak mencapai objektif pelaksanaan di Terengganu seperti Lembah Kaprima di Ulu Seladang, Projek Kelapa Matag di Setiu dan Taman Kekal Pengeluaran Makanan di Besut (TKPM).


78. Penternakan Lembu Sado, Perusahaan Madu Kelulut, Pembenihan Kerapu Hibrid, Industri Cendawan dan Industri Kambing Tenusu adalah antara bidang tumpuan ekonomi rakyat berasaskan pertanian, penternakan dan perikanan. Sejumlah RM2.3 juta diperuntukkan bagi tujuan ini. Sebuah Pusat Pemprosesan Susu Kambing dengan teknologi terkini sedang disiapkan di Pusat Pengembangan Veterinar Jenang, Marang yang mampu memproses kira-kira 1,000 liter susu sehari.




Yang Berhormat Tuan Yang Dipertua, 
79. Kerajaan Negeri melihat potensi industri pelancongan di Negeri Terengganu yang mampu memberi impak yang positif kepada peningkatan taraf sosioekonomi dan membasmi kemiskinan. Industri pelancongan juga sangat versatile dan saling berkait dengan industri sokongan lain melalui jalinan sub sektor pelancongan antaranya seperti berikut:

i) Pelancongan Ekologi (Eco Tourism) 

ii) Pelancongan Tani (Agro Tourism) 

iii) Pelancongan Islam (Islamic Tourism) 

iv) Pelancongan Budaya (Culture Tourism) 

v) Pelancongan Pendidikan (Edu Tourism) 

vi) Pelancongan Sukan (Sports Tourism) 

vii) Pelancongan Kesihatan (Health Tourism)


80. Bagi memastikan pengekalan prestasi ini, peruntukan sebanyak RM2 juta disediakan untuk tujuan menyelenggara dan menceriakan lokasi-lokasi pelancongan. Ini termasuk juga inisiatif berterusan Kerajaan Negeri dalam usaha mempertingkatkan perlindungan khazanah alam semula jadi negeri serta pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar. Komitmen ini diterjemahkan melalui pewartaan Taman Negeri Setiu Wetlands dan Taman Negeri LawitCenana di Tasik Kenyir.

81. Pada tahun 2017, seramai 808,336 pengunjung telah mengunjungi Tasik Kenyir. Bagi menggalakkan tarikan pelancong yang lebih ramai untuk mengunjungi Tasik Kenyir pada tahun 2019, sejumlah RM30 juta diperuntukkan khas untuk pengurusan dan pembangunan Tasik Kenyir.

82. Kerajaan Negeri akan menaik taraf jalan penghubung di pulau-pulau peranginan dengan peruntukan RM3 juta. Ia selaras dengan Pelan Induk Pembangunan PulauPulau dan Taman Laut Negeri Terengganu. Namun aspek pengekalan ekosistem dan pembangunan lestari di kawasan pulau terbabit akan diambil kira. 

83. Pembangunan Pulau Bidong sebagai pulau warisan dan pengurusan serta pembangunan taman negeri juga diperuntukkan RM9.5 juta. Langkah ini melambangkan sebahagian usaha dan komitmen Kerajaan Negeri dalam melindungi khazanah alam semula jadi.

84. Kebersihan merupakan sebahagian daripada tuntutan agama yang memberi kesan langsung kepada industri pelancongan. Oleh itu, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM4 juta untuk program kebersihan dan keceriaan bagi menjayakan Program Terengganu Bersih dan Ceria.



Yang Berhormat Tuan Yang Dipertua, 

TERAS KETIGA 
Kebajikan iaitu dengan menyejahterakan hidup rakyat dan mengagihkan hasil negeri secara saksama. Menyejahterakan Hidup Rakyat.


85. Masa berkualiti bersama keluarga dan jiran tetangga merupakan kunci kepada kebahagiaan dan perpaduan. Keharmonian dan keamanan pula adalah nikmat yang besar dan sewajarnya sentiasa dihargai dan dipertahankan. Bak kata pepatah, 

“Bulat air kerana pembetung, 
Bulat manusia kerana muafakat”.


86. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri mengambil inisiatif dengan memperuntukkan sebanyak RM1 juta untuk program Hari Keluarga peringkat DUN dan program perpaduan nasional bagi menyemai semangat perpaduan dalam merapatkan hubungan sosial di kalangan masyarakat.
87. Kerajaan juga memperuntukkan sejumlah RM50 juta, untuk pemberian Bantuan Perayaan sebanyak RM200 seorang bagi yang layak iaitu mengambil kira penerima dalam kategori pendapatan ketua isi rumah RM1,100 dan ke bawah selaras dengan gaji minima baharu yang dicadangkan oleh Kerajaan Persekutuan melalui Belanjawan 2019.

Yang Berhormat Tuan Yang Dipertua, 

88. Kebajikan kakitangan awam pula tidak pernah dilupakan. Justeru, sejumlah RM1.5 juta diperuntukkan untuk penyediaan nurseri di pejabat Kerajaan Negeri dalam memenuhi janji manifesto pilihan raya.

89. Menginsafi hakikat kes perceraian turut menyumbang kepada kewujudan keluarga yang terabai khususnya apabila bekas suami tidak mampu melunaskan nafkah seperti mana yang telah diputuskan oleh pihak mahkamah. Maka, Kerajaan Negeri akan mewujudkan Ta’min Hadhanah dengan peruntukan sebanyak RM1 juta untuk menjaga kebajikan keluarga yang terbabit.

Yang Berhormat Tuan Yang Dipertua, 

90. Urus Setia Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu (UBSNT) akan ditubuhkan dengan peruntukan RM1.5 juta untuk memastikan dasar dan keperluan segmentasi belia dipenuhi. Peruntukan ini juga termasuk untuk pertubuhan bukan kerajaan yang bertanggungjawab menjaga kebajikan anak-anak Terengganu di perantauan.
91. Kerajaan Negeri mengalu-alukan penyertaan golongan belia dalam aktiviti sukarelawan untuk mengasah kemahiran kendiri ke arah kecemerlangan. Ia juga bermatlamatkan untuk menghimpunkan belia bagi membina personaliti dan akhlak menerusi pelbagai aktiviti sukarelawan. Justeru, sejumlah RM2 juta akan diperuntukkan untuk penubuhan Terengganu Volunteer (T-Volt).

92. Kerajaan Negeri turut bersetuju memberikan bantuan sebanyak RM6.33 juta untuk meningkatkan kecekapan pengurusan dan pentadbiran. Badan belia, badan NGO, badan rasmi kebudayaan serta persatuan ibu bapa dan guru.
93. Belia digalakkan untuk memiliki lesen motosikal selaras dengan pematuhan undang-undang jalan raya dan membuka peluang yang lebih luas untuk pemilikan kerjaya. Oleh yang demikian, Program Pemberian RM300 bagi belia mendapatkan lesen motosikal sebagaimana yang dijanjikan dalam manifesto pilihan raya lalu akan dilaksanakan dengan peruntukan sebanyak RM7 juta.

Yang Berhormat Tuan Yang Dipertua,

94. Program “Riding for the Disabled” merupakan program khusus yang bertujuan untuk meningkatkan kemampuan berdikari dan tahap keyakinan golongan yang berdepan dengan kekurangan fizikal, intelektual, emosi dan sosial. Kerajaan Negeri memperuntukkan RM500 ribu bagi menyokong program ini agar ia terus dapat diperkukuhkan.
95. Kerajaan Negeri juga berhasrat menubuhkan Akademi Belia Sejahtera (AKIPS) dengan peruntukan RM1 juta untuk meningkatkan kualiti keupayaan dalam perniagaan dan perusahaan. Sebagai usaha tuntas, Program Agropreneur Muda akan dilaksanakan untuk melahirkan usahawan-usahawan yang produktif dan mengurangkan pengangguran.

Yang Berhormat Tuan Yang Dipertua, 

Sektor Kesihatan 


96. Bagi meringankan beban rakyat, Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM17 juta untuk mengagihkan Kad Sejahtera bernilai RM500 setahun kepada setiap keluarga daripada golongan miskin, dan menyediakan perkhidmatan wad kelas ketiga percuma di hospital kerajaan seperti mana yang telah dijanjikan dalam manifesto. Kad ini juga boleh digunakan untuk mendapatkan rawatan kesihatan di klinik swasta.


97. Dalam usaha untuk mendorong lebih ramai terlibat untuk menunaikan fardhu kifayah umat Islam, maka Kerajaan Negeri bersetuju untuk memberikan elaun bulanan kepada juru mandi jenazah dan pembantunya sebanyak RM100. Kerajaan Negeri turut menyediakan khairat kematian sebanyak RM2,000 bagi juru mandi dan pembantunya yang telah berkhidmat melebihi lima (5) tahun dan RM1,000 bagi yang berkhidmat kurang daripada lima (5) tahun.


 98. Selain itu, elaun juru nikah juga akan dinaikkan daripada RM150 kepada RM200 sebulan. Semua inisiatif ini akan dilaksanakan dengan peruntukan RM1.3 juta.


Yang Berhormat Tuan Yang Dipertua,


 Sektor Perumahan 


99. Kerajaan Negeri memahami antara dilema masyarakat pada hari ini ialah pemilikan rumah. Walhal, rumah adalah keperluan (dhoruriyat) dalam kehidupan manusia. Maka, bagi merealisasikan hasrat ini, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM50 juta untuk membina rumah-rumah rakyat di bawah skim Projek Perumahan Terengganu-ku Sejahtera (PPTS) dan projek Rumah Mampu Milik (RMM).


100. Kerajaan Negeri juga akan memberikan lot tanah perumahan atau rumah mampu milik kepada rakyat yang berkelayakan sebagai sebahagian daripada pelaksanaan manifesto pilihan raya yang lalu.


101. Bagi mengurangkan beban rakyat, dengan ini Kerajaan Negeri mengumumkan pengecualian Cukai Taksiran dan menghapus kira cukai tertunggak untuk semua premis kediaman berkuat kuasa 1 Januari 2019 yang bernilai RM14.7 juta. Langkah ini merupakan sebahagian daripada manifesto
pilihan raya yang lalu. 

Yang Berhormat Tuan Yang Dipertua, 


TERAS KEEMPAT 


Kecekapan iaitu dengan menambah baik sistem penyampaian agenda rakyat dan pentadbiran negeri.

102. Kerajaan Negeri sangat bergantung kepada kecekapan pentadbiran di peringkat komuniti. Mereka merupakan satu elemen penting di dalam pentadbiran yang berperanan untuk menyampaikan aspirasi dan agenda Kerajaan Negeri ke peringkat akar umbi. 

103. Bagi melancarkan agenda penyampaian tersebut, Kerajaan Negeri akan menganjurkan satu Program Kesejahteraan Pentadbiran Komuniti dan Program Latihan Kesejahteraan Informasi dengan peruntukan berjumlah RM1.28 juta. Program ini akan melibatkan 5,000 orang peserta dari kalangan pentadbir komuniti kampung.


104. Dalam membina jati diri dan mutu kerja kakitangan sektor awam dan swasta, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan RM2 juta bagi memperkasakan Darul Iman Training Center (DITC). Melalui langkah pemerkasaan ini, kerajaan berharap dapat melahirkan modal insan yang berkualiti bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan.
105. Selaras dengan perkembangan teknologi, Kerajaan Negeri berhasrat untuk mendigitalkan sistem penyampaian kerajaan secara efisien dan efektif. Program-program untuk meningkatkan kemahiran multimedia, teknologi baharu dan infrastruktur internet akan dilaksanakan dengan peruntukan RM1.2 juta. 
106. Kerajaan Negeri akan melancarkan aplikasi mobil Penerangan Darul Iman (Darul Iman App) sebagai mekanisme baharu penyampaian maklumat. Ia juga berperanan sebagai pusat sehenti dalam mengendalikan pelbagai urusan dokumentasi dan permohonan yang dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri.

107. Selain itu, bagi meluaskan capaian internet percuma kepada rakyat, Kerajaan Negeri akan memperkenalkan Pusat Internet Akses Rakyat (PINTAR) dengan peruntukan sebanyak RM3.1 juta. Pusat ini akan menjadi one stop centre bagi semua aktiviti berasaskan internet. Ia menyediakan capaian jalur lebar secara kolektif di kawasan yang kurang liputan perkhidmatan. 108. Kerajaan Negeri amat menitikberatkan budaya dan nilai penghambaan kepada Allah (ubudiyah), pertanggungjawaban (mas’uliyah), perkhidmatan berkualiti (itqan) dan pembaharuan (islah) dalam pentadbiran serta menekankan aspek ketelusan agar rakyat boleh menyemak imbang perjalanan pentadbiran.

109. Bagi memperkasakan usaha ini Kerajaan Negeri akan memperkenalkan Dasar Integriti Darul Iman (DIDI) sebagai piagam perkhidmatan dengan pendekatan baharu dan holistik. Rakyat Terengganu juga bebas mengutarakan pandangan, cadangan dan aduan kerana Kerajaan Negeri mengamalkan ‘open door policy’.

PENUTUP

Yang Berhormat Tuan Yang Dipertua,


110. Bajet 2019 yang bertemakan Negeri Berkat, Rakyat Sejahtera merupakan bajet yang pertama selepas peralihan kuasa di peringkat negeri pada pilihan raya yang lepas. Belanjawan di bawah pentadbiran kerajaan ini akan menjadi langkah permulaan kepada hasrat Kerajaan Negeri untuk merealisasikan Terengganu Maju Berkat Sejahtera selaras dengan Pelan Induk Terengganu Sejahtera 2030 (PITAS).

111. Bagi menjayakan PITAS, perlunya pendekatan Top-Down dan Bottom-Up dalam merangka polisi atau mencapai keputusan. Kombinasi ini akan menjadikan rakyat lebih memahami dan menghayati polisi dan program yang dilaksanakan oleh kerajaan.

112. Kerajaan Negeri juga akan terus memperkukuhkan Budaya Politik Matang dan Sejahtera dalam pentadbiran negeri bagi memastikan kestabilan politik di negeri ini. Paradigma pemikiran dan pendekatan sewajarnya ditingkatkan untuk memajukan Negeri Terengganu. Tinggalkanlah budaya politik ‘bbaloh’ yang tidak berkesudahan, bawalah politik kasih sayang yang menguntungkan kita semua untuk menyelesaikan masalah rakyat dan membina negeri kita.


113. Melalui bajet ini juga, Kerajaan Negeri sedang berusaha untuk menunaikan secara berperingkat manifesto yang telah dijanjikan dalam pilihan raya yang lalu. Dalam tempoh tahun pertama ini, Kerajaan Negeri telah menunaikan 12 janji manifesto. Bagi Kerajaan Negeri menunaikan manifesto merupakan satu tanggungjawab dan komitmen yang harus dilunaskan. Insya-Allah Kerajaan Negeri akan menunaikan semua manifesto seperti dijanjikan dalam tempoh lima (5) tahun yang akan datang.


114. Sebelum mengakhiri ucapan pembentangan Bajet 2019, Kerajaan Negeri ingin merakamkan setinggitinggi penghargaan kepada penjawat awam yang berdedikasi dan komited sehingga meletakkan Negeri Terengganu antara negeri yang terbaik di Malaysia. Sebagai menghargai kerja keras dan kesetiaan penjawat awam, Kerajaan Negeri telah bersetuju memberikan sumbangan insentif kepada penjawat awam Negeri yang berjumlah RM500.


115. Marilah kita sama-sama berdoa agar Allah SWT melimpahkan lagi rahmat dan keberkatanNya ke atas Negeri Terengganu Darul Iman dan seluruh rakyat jelatanya. Mudah-mudahan segala nikmat ini akan memberikan kemakmuran dan kesejahteraan kepada kita semua.


Pulau Bidong pulau warisan, 

Dayung perahu membawa sutera, 

Janji rakyat kita tunaikan, 

Negeri berkat rakyat sejahtera. 

Hanya kepada Allah saya menyerahkan segala urusan kerajaan ini. 






Yang Berhormat Tuan Yang Dipertua, 



Saya mohon mencadangkan.
































( Hide )

© all rights reserved
made with by templateszoo