NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Bajet 2019 Terengganu: Kerajaan Negeri Cakna Isu Alam Sekitar


KUALA TERENGGANU, 29 November 2018 - Kerajaan Negeri Terengganu prihatin kepada masalah alam sekitar dan akan memastikan keindahan alam semula jadi dan pantai serta taman negeri sentiasa terpelihara.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri, Ustaz Ariffin Deraman berkata, isu pencemaran mikro plastik akan diberi perhatian bagi mengekalkan kecantikan pesisir pantai.

"Kita  menerima  hakikat bahawa Terenganu merupakan negeri yang sangat  cantik terutamanya mempunyai persisiran pantai sepanjang 244 kilometer (km) dan pulau-pulau yang begitu indah serta antara terbaik di Malaysia.

"Sudah tentu sebahagian bajet RM4 juta  yang diperuntukkan untuk kebersihan akan melibatkan isu-isu kebersihan dan pencemaran mikro plastik," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan wakil Kuala Besut pada Persidangan Kedua Penggal Pertama Keempat Belas Dewan Undangan Negeri Terengganu semalam.

Oleh itu, beliau akan berbincang dengan semua pihak untuk menyelesaikan perkara berkaitan dengan melibatkan semua lapisan masyarakat sehinggalah ke peringkat paling bawah iaitu Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

Menurutnya, kerajaan bukan sahaja melantik syarikat yang  tertentu untuk menjaga kebersihan  termasuk pantai dan pulau tetapi  juga melibatkan komuniti untuk  tahun hadapan.

Sehubungan itu, beliau menegaskan Tanah Becah Setiu (Setiu Wetland) sebagai khazanah yang sangat penting dan bernilai yang akan dipelihara untuk generasi akan datang.

Oleh itu, kata beliau, kerajaan akan meningkatkan usaha memastikan taman negeri itu relevan dan mampan.

"Usaha sedang diadakan dengan menanam beribu-ribu pokok dan kita akan buat pelbagai program dan siapkan prasarana dalam masa terdekat. Antaranya medan ikan bakar, pusat pelancongan dan jeti.

"Mungkin sekarang kita tidak merasa hebatnya Setiu Wetland tapi pada saya untuk generasi akan datang, suatu peninggalan yang sangat bernilai kepada kerajaan negeri dan masyarakat amnya," jelasnya.

Justeru kata beliau, kerajaan sedang melakukan audit bagi kesemua 200 pusat-pusat pelancongan di seluruh negeri.

"Kami akan pergi ke setiap daerah  bertemu dengan pihak berkenaan dan mengenal pasti  masalah. Paling kurang kita luluskan dalam bajet sebanyak RM2 juta untuk penambahbaikan pusat pelancongan," tambah beliau.


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo