NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Ada apa dengan ICERD?



SUDAH berminggu isu meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dimainkan. Ada yang menyokong, ada yang membantah dan tidak kurang juga yang langsung tidak ambil tahu.

Umumnya, ICERD adalah sebuah konvensyen antarabangsa yang dikuatkuasakan pada tahun 1969 dengan tujuan utama agar negara-negara yang meratifikasi konvensyen ini menghapuskan segala bentuk diskriminasi kaum dan menjamin hak serta kesaksamaan setiap manusia, tanpa mengira kaum, warna kulit, dan asal-usul bangsa.

Sesebuah konvensyen antarabangsa, pada umumnya, tidak mengikat mana-mana negara sehinggalah negara tersebut menandatangani dan meratifikasi konvensyen tersebut. Ia adalah bersifat sukarela kepada mana-mana negara untuk menandatangani dan meratifikasi sesebuah konvensyen atau triti antarabangsa.

Namun, setelah konvensyen tersebut diratifikasi, maka negara-negara tersebut akan terikat dengan sebuah prinsip yang dikenali sebagai “pacta sunt servanda”.

“Pacta sunt servanda” adalah satu prinsip dalam undang-undang antarabangsa yang mengikat janji sesebuah negara setelah negara tersebut meratifikasi sesebuah triti atau konvensyen antarabangsa. Dalam prinsip ini, sesebuah negara tidak boleh menggunakan alasan bahawa undang-undang domestik negara tersebut menghalangnya daripada memenuhi tuntutan dalam konvensyen atau triti tersebut.

Oleh itu, jika ICERD diratifikasi oleh Malaysia, kita masih samar untuk pastikan sama ada Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan boleh diletakkan sebagai reservasi kepada ICERD dan sama ada Perkara 153 boleh dijadikan hujahan untuk mengelakkan Malaysia daripada melanggar prinsip “pacta sunt servanda” seandainya Perkara 153 tidak dimansuhkan setelah ICERD diratifikasi.

Walau bagaimanapun, kita masih belum jelas kepada keperluan kerajaan untuk meratifikasi ICERD. Persoalannya, kenapa perlu meratifikasi ICERD? Adakah menjadi keperluan untuk kerajaan meratifikasi ICERD sehingga akhirnya menimbulkan pelbagai reaksi yang tidak perlu daripada rakyat?

Jika meratifikasi ICERD bakal membawa lebih petaka berbanding kebaikan, apa gunanya kita meratifikasi ICERD? Majoriti orang Melayu yang membantah ICERD rata-ratanya datang dari dalam kalangan orang yang tidak mahu kedudukan keistimewaan Melayu diganggu gugat.

Manakala orang-orang Melayu yang bersetuju dengan ratifikasi ICERD ini pula kebanyakannya adalah dari dalam kalangan yang tiada masalah untuk kedudukan istimewa Melayu dalam Perlembagaan dihapuskan sama sekali. Setiap pihak mempunyai kepentingan dan konflik masing-masing mengenai isu ICERD ini.

Seandainya benar kerajaan ikhlas mahu mengatasi masalah diskriminasi kaum di negara ini, masih banyak cara lain yang boleh dilakukan tanpa melibatkan ratifikasi ICERD. Parlimen boleh menggubal undang-undang atau akta berkaitan dengan diskriminasi kaum.

Akta berkaitan diskriminasi kaum ini boleh digubal tanpa perlu untuk mengganggu mana-mana perkara atau peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sebenarnya, masih ramai rakyat bukan Bumiputera yang faham dan akur dengan peruntukan mengenai kedudukan istimewa orang Melayu dalam Perlembagaan. Mereka sedar peruntukan tersebut adalah atas dasar timbal balas hasil daripada kontrak sosial sebelum merdeka.

Namun, melihatkan kepada situasi hari ini, rakyat bukan Bumiputra menjadi tidak berpuas hati dengan polisi berkaitan dengan kedudukan istimewa Melayu/Bumiputera ini apabila berlaku terlalu banyak salah guna dan salah laku dalam polisi tersebut. Polisi yang telah disalah guna ini menyebabkan rakyat bukan Bumiputera merasakan mereka sedang didiskriminasi dan dianaktirikan di negara sendiri.

Kerajaan hari ini sepatutnya memberikan lebih fokus kepada pentadbiran dan pengurusan polisi berkaitan kedudukan istimewa Melayu/Bumiputra dan harus memastikan supaya tiada salah guna dan salah laku yang berlaku dalam mengimplementasikan polisi tersebut.      

Pengurusan yang lebih telus dan menyeluruh adalah baik dalam memastikan polisi berkaitan kedudukan istimewa Melayu/Bumiputera dapat benar-benar memberi manfaat kepada orang-orang Melayu dan Bumiputra tanpa membuatkan rakyat bukan Bumiputera merasa dianaktirikan.

Kedudukan istimewa Melayu dan Bumiputra yang sudah jelas termaktub dalam Perlembagaan tidak wajar dilihat sebagai satu bentuk diskriminasi kepada kaum lain. Ia adalah apa yang sudah dipersetujui sejak sebelum merdeka. Namun, kita harus sedar, dalam mempertahankan hak bangsa sendiri, jangan dinafikan hak bangsa lain.

Jadi, masih perlukah kita untuk meratifikasi ICERD kalau ia tidak membawa sebarang nilai yang signifikan kepada negara?

*Penulis adalah pengamal undang-undang di Kuala Lumpur

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo