NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Waspada ratifikasi konvensyen hak asasi secara borong: MACSA


Oleh: Azril Mohd Amin
Pengerusi Malaysian Alliance of Civil Society Organisations in the UPR Process (MACSA)
Prof. Madya Dr. Rafidah Hanim Mokhtar
Pengerusi Bersama MACSA


MENJELANG Semakan Berkala Sejagat (UPR) pusingan Ketiga bagi Malaysia di Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Dua minggu lagi, pada tanggal 8 November, satu prosiding penting akan berlangsung di Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), di Geneva. Tahap amalan Malaysia berkaitan isu-isu hak asasi manusia akan disemak di sana dalam pusingan ketiga Semakan Berkala Sejagat (Universal Periodic Review, "UPR").

Pelbagai syor dijangka akan dikemukakan oleh negara-negara ahli PBB seantero dunia, daripada tuntutan agar Malaysia meratifikasi Konvensyen-Konvensyen antarabangsa, hinggalah kepada isu-isu asas seperti kebebasan bersuara dan beragama, hak pelarian dan warga tanpa bernegara, hak kesamarataan jantina, keharmonian antara kaum, dan lain-lain lagi.

MACSA atau Malaysian Alliance of Civil Society Organisations in the UPR Process akan menghantar satu delegasi yang terdiri daripada lapan aktivis hak asasi manusia, termasuk ahli akademik, pengamal undang-undang, doktor perubatan serta pakar-pakar skop bidang tertentu hak asasi manusia, ke Geneva pada 5 hingga 9 November 2018.

Selain daripada menghadiri proses semakan di Palais des Nations, delegasi MACSA akan turut bertemu dengan para perwakilan pelbagai negara, bagi menyampaikan suara dan hasrat MACSA berkenaan realiti dan keadaan hak asasi manusia di Malaysia.

Perwakilan Tetap Malaysia ke PBB, Geneva, Tuan Yang Terutama Datuk Amran Mohamed Zin telah menyatakan perrsetujuan untuk menerima kehadiran delegasi MACSA pada 5 November 2018.

Sebagai badan gabungan yang dianggotai oleh 52 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di seluruh negara, MACSA bekerja keras mengangkat isu hak asasi dalam proses UPR. Ini sekaligus menjadikannya gabungan NGO terbesar yang telibat dalam proses UPR bagi Malaysia dalam pusingan kali ini.

MACSA telah melalui pelbagai siri dialog dan perbincangan dengan beberapa NGO hak asasi manusia di Geneva, selain turut terlibat dalam sidang meja bulat dengan Wisma Putra dan juga Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM).

MACSA bukan sahaja memberi tumpuan khusus kepada pembelaan dan penelitian seputar isu-isu hak asasi manusia mengikut acuan agama dan budaya Malaysia, bahkan memperbetulkan naratif hak asasi yang ada kalanya menyimpang oleh sesetengah gabungan hak asasi lain, baik dari dalam atau luar negara.

Bagi maksud tersebut, MACSA telah menyediakan dan menyerahkan Laporan Hak Asasi Manusia pihak berkepentingan kepada Majlis Hak Asasi Manusia pada 29 Mac lalu, yang menyentuh tujuh perkara utama, iaitu (a) hak warga tanpa negara dan pelarian; (b) hak orang kurang upaya; (c) isu-isu seputar LGBT; (d) menghentikan diskriminasi atas dasar kepercayaan dan kebebasan beragama; (e) wanita, kanak-kanak dan seksualiti; (f) menghentikan diskriminasi ke atas hak keibu-bapaan Mualaf; dan (g) hak kebudayaan serta perpaduan kebangsaan.

MACSA berpendirian bahawa sebarang bentuk syor hak asasi yang hendak diterima pakai untuk dilaksanakan di Malaysia (atau yang ditolak untuk tidak dilaksanakan), mestilah, selain mengambil kira instrumen hak asasi manusia di peringkat antarabangsa — seperti Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia 1948 (Universal Declaration of Human Rights 1948 atau ringkasnya UDHR), Deklarasi Kaherah tentang Hak Asasi Manusia dalam Islam 1990 (Cairo Declaration on Human Rights in Islam 1990 atau ringkasnya CDHRI) dan Deklarasi Hak Asasi Manusia ASEAN 2012 (ASEAN Human Rights Declaration 2012 atau ringkasnya AHRD) — juga perlu dipastikan selaras dan mematuhi undang-undang serta adat dan tradisi di Malaysia, terutamanya Perlembagaan Pesekutuan, Undang-undang Tubuh Negeri-Negeri, serta kedudukan dan kedaulatan negeri-negeri yang sedia termaktub dalam Perlembagaan.

Justeru, MACSA ingin menegaskan pemerhatian dan pendirian seperti berikut:-

Waspada terhadap ratifikasi Konvensyen antarabangsa secara borong semua

1. MACSA mengambil maklum kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy, baru-baru ini bahawa Kerajaan komited untuk meratifikasi kesemua enam konvensyen teras antarabangsa berkaitan hak asasi. Menteri Luar Negeri juga sebelum ini ada menyatakan komitmen yang sama.

Kami bagaimanapun ingin mengingatkan Kerajaan bahawa pendekatan meratifikasi Konvensyen antarabangsa secara borong-semua, bukanlah langkah yang baik untuk dijadikan polisi luar negara Malaysia. Bahkan terdapat kemungkinan berlakunya ketidak-jujuran, jika setelah diratifikasi, kewajipan-kewjipan di bawah Konvensyen tersebut tidak dapat dilaksanakan atas sebab birokasi atau kekangan sumber daya. Kekhuatiran dan kebimbangan yang sah dari sudut nilai budaya dan agama, serta pertembungan dengan perkara-perkara asas dalam Perlembagaan Persekutuan, perlu ditangani terlebih dahulu, dan dibincangkan secara menyeluruh dan teliti dengan semua pihak berkepentingan. Hal ini supaya tindakan meratifikasi konvensyen-konvensyen antarabangsa tidak sekadar berbentuk hiasan luaran semata-mata, dan yang paling utama, supaya tidak menjejas kedaulatan negara;

LGBT

2. MACSA menyokong penuh usaha kerajaan untuk memperjuangkan hak golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) untuk mendapatkan bimbingan kerohanian dan keagamaan. Langkah menerbitkan penerbitan digital "Panduan Hijrah Diri" bagi membantu individu-individu LGBT kembali ke pangkal jalan, seperti yang diumumkan Menteri di Pejabat Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf Rawa pada 23 Oktober baru-baru ini, adalah langkah positif dan wajar dipuji;

Amalan diskriminasi di tempat kerja

3. Terdapat banyak laporan berkenaan wanita muslim yang menghadapi diskriminasi dalam dunia pekerjaan, apabila mereka dinafikan hak untuk menutup aurat berdasarkan kepada ajaran agama. Selain itu, juga terdapat aduan para pekerja muslim lelaki dinafikan hak untuk menunaikan solat Jumaat pada hari Jumaat. Ini adalah pencabulan hak asasi yang serius serta melibatkan kepentingan begitu ramai warga negara Malaysia, justeru sewajarnya diberikan perhatian segera;

MACSA menggesa Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran, agar mempercepat inisiatif kod pakaian di tempat kerja. Kami telah dimaklumkan bahawa Jabatan Buruh telah membentuk panel khas bagi membincangkan garis-panduan kod pakaian ini, dan dijangka boleh memuktamadkannya sebelum hujung tahun bagi menangani diskriminasi di tempat kerja dan larangan berhijab terhadap kaum wanita dalam industri penerbangan dan perhotelan. Perbincangan-perbincangan ini, dengan M Kulasegaran, menurut YB Mujahid (ketika MACSA bertemu dengan YB Mujahid), sudah sampai di peringkat akhir;

Kanak-kanak tanpa kewarganegaraan dan IMM13

4. MACSA mengalu-alukan langkah kerajaan untuk membenarkan kanak-kanak tanpa kewarganegaraan untuk mendaftar masuk ke sekolah-sekolah kebangsaan, seperti yang diumumkan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching. Kami ingin mengingatkan bahawa kerajaan mesti berlaku adil dan telus dalam melaksanakan proses pendaftaran tersebut, dan harus berhati-hati di peringkat pelaksanaan supaya tidak wujud sebarang diskriminasi terhadap mana-mana etnik atau kaum yang terlibat dalam permohonan proses tersebut. Harus diingat bahawa mereka yang tidak berkewarganegaraan ini kebanyakannya dikekangi oleh kedaifan dari sudut ekonomi, justeru urusan mereka perlu dipermudah dan tidak disukarkan dengan birokrasi proses pengesahan yang keterlaluan atau yuran yang di luar jangkaan kemampuan mereka.

Lanjutan dari itu, MACSA juga bimbang dengan laporan bahawa kerajaan menghentikan pengisuan pas IMM13 bagi anak-anak pelarian dan pendatang, terutamanya di Sabah. Anak-anak yang lahir di mana-mana wilayah Malaysia, tidak seharusnya dibiarkan dengan status tanpa kewarganegaraan, walaupun mungkin terdapat kekurangan dari sudut dokumentasi.

Kami menggesa kerajaan agar mengusahakan kemudahan akses ke daerah-daerah pedalaman Malaysia, bagi memastikan tidak ada rakyat Malaysia yang dinafikan hak kewarganegaraan dan kerakyatan, hanya kerana kesukaran akses kepada Jabatan-Jabatan yang berkaitan.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo