NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tok Pa sasar Kabinet PH?


RAZIATUL HANUM A.RAJAK
28 OKTOBER 2018

SHAH ALAM - Keputusan Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed menyertai Bersatu memang sudah dijangka sebaik beliau mengumumkan keluar Umno, bulan lalu.

Penganalisis politik, Prof Dr Awang Azman Awang Pawi menjangkakan keputusan itu ada kaitan dengan misi Mustapa untuk menyertai Kabinet PH.


Malah katanya, beberapa ahli Parlimen Umno yang lain bakal mengikuti jejak langkah Mustapa.

"Saya fikir tujuan utama beliau keluar Umno memang untuk menyertai Kabinet PH sebab sebelum ini sudah berpuluh tahun menjadi ahli Kabinet dan beliau tidak akan selesa menjadi ahli Parlimen biasa.

"Saya kira langkah Tok Pa ini akan diikuti beberapa ahli Parlimen Umno yang lain.

Ini sesuatu yang kita boleh jangka dan mereka ini pastinya yang pernah menganggotai Kabinet," katanya kepada Sinar Harian.

Kelmarin, Mustapa yang juga merupakan bekas Pengerusi Umno Kelantan menyerahkan borang keahlian Bersatu kepada Pengerusinya, Tun Mahathir Mohamad selepas mengumumkan keluar Umno, 18 September lalu.

Menurut Awang, selepas beberapa kali Tun Mahathir sebagai perdana menteri menyuarakan ketidakpuasan hati dengan prestasi jemaah Kabinetnya, itu peluang untuk Mustapa.

"Saya percaya Tun Mahathir juga mempunyai strategi untuk menguatkan Bersatu. Tun Mahathir selalu suarakan ketidakpuasan terhadap prestasi ahli Kabinet. Kita lihat ini peluang Tok Pa apabila beliau sertai Bersatu," katanya.

Katanya, bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu tidak pernah melalui cabaran hebat sepanjang karier politiknya bersama Umno-BN.

"Apabila beliau umum diri sebagai ahli Parlimen Bebas memang sudah dijangka beliau akan menyertai Bersatu. Untuk apa beliau menjadi Bebas tanpa menyertai parti yang kuat? Lebih-lebih lagi beliau tidak pernah menerima sesuatu yang paling mencabar dalam kerjaya politik.

"Kalau dilihat dari segi moral politik memang langkah yang kurang beretika tapi dari segi undang-undang tidak ada apa-apa yang mengehadkan dalam berpersatuan atau berparti.

"Beliau boleh saja melompat dari Bersatu ke Amanah pula nanti, tidak ada masalah sebab tidak ada undang-undang yang menyekatnya dan menuntut beliau meletak jawatan bagi memberi laluan diadakan pilihan raya kecil," katanya.

Namun katanya, dua bekas pemimpin Umno yang kini dalam kerajaan, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Shafie Apdal jauh lebih dihormati oleh orang Umno kerana keberanian mereka sebelum ini.

Beliau juga melihat kesan positif kepada Umno kerana sedikit demi sedikit dapat melakukan pembersihan.

"Ini satu pembersihan bagi golongan yang semacam anai-anai dalam politik, yang merosakkan parti secara dalaman. Tentu dalam kalangan pemimpin lain mereka agak kecewa tetapi saya fikir, ahli Umno yang setia dengan perjuangan lebih ramai daripada segelintir pemimpin parti yang oportunis.

"Di mana pemimpin seperi ini sanggup keluar parti kerana kepentingan diri dan guna alasan atas kepentingan rakyat. Yang penting ialah perjuangan bukannya individu.

"Biasanya orang setia pada perjuangan, mereka tidak akan lari daripada perjuangan atau tiba-tiba tidak dapat menerima tekanan politik atau hakikat telah kalah," katanya.










.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo