NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tanah runtuh: Dua mayat ditemui bertindan


GEORGE TOWN, 12 Safar 1440H, Ahad – Dua mayat mangsa kejadian tanah runtuh di Jalan Bukit Kukus, Paya Terubong di sini ditemukan dalam keadaan bertindan antara satu sama lain di bawah timbunan tanah.


Mayat dua pekerja asing yang juga rakan sekampung dari Bangladesh itu disahkan sebagai Mithu Hossain, 30, dan Mustak Hossain, 25.


Pengarah Jabatan Bomba Dan Penyelamat Pulau Pinang, Saadon Mokhtar berkata, mayat Mithu ditemukan pada pukul 12.13 tengah hari sebelum menemui mayat Mustak lima minit kemudian.


"Kedua-dua mayat itu ditemui di kawasan sektor kedua. Mayat ditemukan bertindan di bawah timbunan tanah runtuh sedalam empat meter. Identiti mangsa disahkan rakan mereka di lokasi kejadian.


"Mayat mereka ditemukan dalam keadaan sempurna. Mangsa dipercayai telah keluar dari kontena dan cuba menyelamatkan diri namun tidak sempat sebelum tertimbus dalam tanah runtuh," katanya di tempat kejadian di sini hari ini.


Saadon juga tidak menolak kemungkinan terdapat lebih ramai mangsa tertimbus dalam kejadian tanah runtuh itu berbanding jumlah sebenar yang direkodkan berikutan mayat keenam yang dijumpai hari ini iaitu Mustak tiada dalam rekod pencarian operasi mencari dan menyelamat (SAR) sejak kejadian Jumaat lepas.


Beliau berkata, operasi SAR bertumpu di sektor dua dan tiga kerana pihaknya percaya baki mangsa iaitu sekurang-kurangnya empat orang yang dalam rekod pasukan penyelamat, tertimbus di kawasan itu.


Katanya, unit anjing pengesan (K-9) bomba juga berjaya mengenal pasti beberapa kawasan di dua sektor berkenaan dan usaha mengesan mangsa giat dijalankan.


"Kami akan mengalihkan tanah di dua sektor itu menggunakan jengkaut sebelum anjing K-9 dibawa ke kawasan berkenaan bagi membuat pengesanan semula," katanya.


Beliau berkata operasi SAR juga akan diteruskan tanpa henti sehingga semua mayat ditemui, bagaimanapun ia bergantung kepada keadaan cuaca dan sumber pencahayaan.


"Ketika ini cuaca dalam keadaan baik dan sumber pencahayaan juga mencukupi tapi jika hujan kami akan hentikan operasi SAR," katanya.


Mengikut rekod bomba, mereka yang dilapor masih hilang ialah warga Indonesia yang dikenali sebagai Subairi serta tiga rakyat Bangladesh dikenali sebagai Ujal, 33, Mohamad Abd Jalil, 31, dan Rahat, 25.


Kejadian tanah runtuh yang dilapor pada pukul 1.56 tengah hari Jumaat itu sehingga kini menyebabkan enam pekerja asing maut, tiga cedera manakala empat lagi dikhuatiri masih terperangkap dalam runtuhan tanah.


Kejadian selepas hujan lebat di negeri ini sejak petang Khamis hingga tengah hari semalam itu melibatkan runtuhan tanah di bawah kawasan kontena dan pondok kongsi di tapak pembinaan Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus.


Dua mayat ditemukan pada Jumaat iaitu lelaki Indonesia Samsul Asman, 19, dan lelaki Bangladesh Attrul, 35, manakala dua lagi mayat ditemui semalam iaitu Khin Aye Khaing, 33, (wanita Myanmar) dan Bahtiar, 36, (lelaki Indonesia).- Bernama

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo