Sokongan Kepada Tun Dr Mahathir Dalam Isu Pilihan Raya Kerajaan Tempatan



oleh: Dr Kamarul Yusof

Menonton “Bicara Minda: Bersama Tun Dr Mahathir Mohamad” anjuran Sinar Harian, saya sangat tertarik dengan jawapan Tun Dr Mahathir ke atas satu soalan yang dikemukakan oleh seorang individu bernama Prof Ali Hasan daripada UIAM mengenai isu pilihan raya kerajaan tempatan.

Ini kerana pilihan raya kerajaan tempatan adalah termasuk di dalam Janji 25 Manifesto Pakatan Harapan bertajuk “Memperkukuh peranan dan kuasa pihak berkuasa tempatan” dalam mana tertulis jelas bahawa “Pakatan Harapan komited untuk memperkukuhkan demokrasi setempat”.

Isu pilihan raya kerajaan tempatan ini juga telah dijawab secara rasmi oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Zuraida Kamaruddin, dalam sidang Dewan Rakyat pada 31 Julai 2018, selain oleh Menteri Wilayah, YB Khalid Abd Samad, dalam sidang Dewan Rakyat pada 7 Ogos 2018.

Menjawab soalan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Wong Hon Wai, mengenai roadmap perlaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan, jawapan utama YB Zuraida adalah ia hanya akan dapat dibuat dalam jangka masa tiga tahun memandangkan keadaan ekonomi dan kewangan negara yang belum dapat distabilkan.

Berbeza dengan jawapan YB Zuraida ini, Tun Dr Mahathir nampaknya lebih berterus-terang dengan memberi jawapan begini:
“Kalau kita buat PRU di bandar, PRU di luar bandar, kita akan dapati luar bandar jawatankuasa ataupun dia punya council dia akan terdiri daripada orang Melayu, daripada dalam bandar akan jadi orang Cina. Sekarang ini pun kita tahu, kalau kita ada pilihan raya kita tak letak orang Melayu bertanding dalam bandar, dia tetap kalah. Kita iktiraf bahawa bandar itu kebanyakan penduduknya orang Cina. Jadi kalau kita ada PRU bagi bandar dan luar bandar maka kita pecahkan negara kita kepada dua pihak, satu bandar, satu luar bandar. Kita hendak supaya ada interplay di antara bandar dengan luar bandar. Masa belum tiba yang mana penduduk kita bercampuran dengan cara yang terbaik. Sekarang ini kita terasing antara satu dengan lain, bandar satu bangsa, luar bandar lain bangsa. Ini tidak sihat bagi negara kita”.

Jawapan Tun Dr Mahathir membayangkan bahawa pilihan raya kerajaan tempatan hanya akan dapat dilaksanakan setelah komposisi penduduk bandar dan luar bandar menjadi lebih seimbang antara kaum Melayu dan kaum bukan Melayu, dan ini sudah tentu agak sukar untuk berlaku dalam waktu terdekat.

Untuk makluman, hujah yang Tun Dr Mahathir gunakan ini jugalah, iaitu komposisi kaum yang tidak seimbang di bandar-bandar, yang saya sebelum ini, malah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, juga, gunakan bagi mempertikaikan janji untuk melaksanakan pilihan raya kerajaan tempatan ini.

Sebab itulah saya tidak teragak-agak untuk menyatakan sokongan penuh ke atas pendirian Tun Dr Mahathir dalam isu pilihan raya kerajaan tempatan ini.

Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget