NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Semua IPTA berstatus autonomi




KUALA LUMPUR, 25 Muharram 1440H, Jumaat – Semua 20 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negara ini kini berstatus autonomi selepas enam IPTA terakhir menerima watikah autonomi daripada Kementerian Pendidikan semalam.

Kementerian itu dalam satu kenyataan berkata, status autonomi memberikan kuasa kepada Lembaga Pengarah Universiti dan Lembaga Gabenor Universiti masing-masing membuat apa juga keputusan.
"Autonomi adalah penurunan kuasa yang membolehkan universiti bergerak dengan berkesan bagi mencapai kecemerlangan dan memperkasakan IPTA ke peringkat dunia.

"Status autonomi juga membolehkan universiti lebih fleksibel dalam membuat keputusan bagi menentukan hala tuju mereka, termasuk dari segi kewangan dan pengurusan sumber manusia," katanya.

Menurut kenyataan itu, meskipun IPTA mempunyai kuasa untuk mengurus sumber tanpa perlu merujuk kepada agensi pusat, IPTA perlu mematuhi prinsip asas kerana autonomi itu bukan bersifat mutlak dan masih tertakluk kepada pengarahan am pendidikan tinggi, strategi dan dasar kerajaan serta kementerian.

Program pelaksanaan autonomi IPTA diperkenalkan pada 2012 di bawah pelan tindakan Pelan Strategik Pendidikan Tinggi Negara bagi mengubah paradigma IPTA ke arah pengurusan pendidikan tinggi yang lebih berkesan.

"Penurunan kuasa ini dilakukan secara berperingkat kerana memerlukan rundingan antara Kementerian Pendidikan dan agensi-agensi Pusat," demikian menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, 14 IPTA mendapat status autonomi masing-masing.

Enam universiti yang menerima watikah autonomi hari ini ialah Universiti Sultan Zainal Abidin, Universiti Malaysia Kelantan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Universiti Perguruan Sultan Idris , Universiti Malaysia Sabah dan Universiti Malaysia Perlis. – Bernama

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo