NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Sekatan elektrik di Gaza: 32 nyawa warga Palestin melayang


SEMENANJUNG GAZA, 16 Safar 1440H, Khamis – Sekurang-kurangnya 32 warga Palestin, 25 daripadanya kanak-kanak, meninggal dunia di Semenanjung Gaza sejak 2010 akibat krisis bekalan elektrik di wilayah itu, menurut Pusat Hak Asasi Al-Mezan.

Kawasan itu telah menyaksikan pemotongan sumber elektrik dan bahan api, sejak sekatan Israel bermula pada 2006, sekali gus menyebabkan penduduk terpaksa menyalakan api atau penjana tenaga untuk memanaskan badan dan mendapatkan cahaya.

Bagaimanapun, pada musim sejuk, keadaan ini meragut nyawa beberapa penduduk yang terperangkap dalam kesejukan melampau.

Pada masa sama, sekurang-kurangnya 36 orang, termasuk 20 kanak-kanak cedera akibat kebakaran yang disebabkan oleh lilin yang dinyalakan, atau penjana yang meletup.

Kebergantungan yang tinggi terhadap sumber alternatif bagi mendapatkan haba juga, kata Al-Mezan, memberi kesan buruk terhadap alam sekitar, terutama penjana kuasa yang ditempatkan dengan banyaknya di bangunan dan rumah warga Palestin.

Pemotongan elektrik di Gaza juga memberi impak buruk terhadap kehidupan seharian, termasuk sekolah, malah memberi kesan kepada sistem kekeluargaan apabila warga Palestin.

Pengepungan yang berterusan oleh rejim Zionis – yang kini telah masuk tahun kedua belas – memberi kesan, terutama terhadap rawatan perubatan, apabila hospital terpaksa menghentikan operasi merawat pesakit akibat ketiadaan elektrik.

Bulan lalu, Medhat Abbas, ketua pengarah hospital terbesar di Gaza, memberi amaran bahawa pemotongan elektrik memberi kesan terhadap jabatan seperti dialisis, rawatan intensif, bilik pembedahan, klinik pesakit luar dan seksyen radiasi.

"Kekurangan elektrik menimbulkan ancaman langsung kepada kehidupan orang awam di kawasan Gaza yang dikepung.

"Dalam beberapa hari, hospital akan kehabisan sumber bahan api untuk menjana elektrik bagi mengendalikan di hospital," katanya.

Memburukkan keadaan, Abbas memberitahu bahawa penderma dan penyumbang, di mana pihak hospital bergantung kepada mereka untuk mendapatkan bahan api, kini sudah berhenti memberi sumbangan.

Sementara itu, walaupun Syarikat Pengedaran Elektrik di Gaza telah menandatangani perjanjian untuk menjalankan projek tenaga solar terbesar di kawasan pantai – bernilai AS$ 2.5 juta dibiayai oleh Bank Antarabangsa – namun masih belum ada perkembangan mengenainya.

Akibat kezaliman dan kebiadaban Zionis yang melakukan pengepungan ke atas Gaza, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebelum ini mengisytiharkan kawasan itu sebagai 'tidak boleh didiami'.

Sumber: https://www.ismaweb.net/2018/10/25/sekatan-elektrik-di-gaza-32-nyawa-warga-palestin-melayang/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo