NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PRK PD: Pengundi mesti pilih pemimpin perkasa agenda Islam, Melayu




Oleh Siti Fatimah Ishak



BANGI, 22 Muharram 1440H, Selasa – Tindakan mengosongkan kerusi Parlimen hanya sekadar untuk memenuhi kehendak individu mendapatkan kuasa, jelas sekali mempermain amanah yang diberikan rakyat kepada mereka.



Serentak itu, Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Melayu Islam sederhana meminta kerajaan menguatkuasa peraturan dan undang-undang baharu supaya tindakan seumpama itu tidak berulang.

Presidennya, Haji Aminuddin Yahaya berkata, sikap bekas Ahli Parlimen Port Dickson mengosongkan kerusi untuk memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebenarnya menyusahkan rakyat dan merugikan wang negara.

"Apa yang lebih membimbangkan ini cuma sekadar permainan politik atau bagi merebut jawatan dala. kepimpinan negara.

"Rakyat hanya menjadi bahan uji kaji kerakusan dan keghairahan pihak tertentu untuk mendapat kuasa," katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan penyandangnya daripada PKR, Datuk Danyal Balagopal Abdullah pada 12 September lalu untuk memberi laluan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) dan kembali ke Dewan Rakyat.

Mengulas lanjut Haji Aminuddin berkata, PRU14 baru saja berlalu dan rakyat seharusnya tidak dibebani untuk memikir dan memilih pemimpin baru.

"Lagipun keadaan ekonomi dan sosial negara yang semakin parah, kerajaan harus menumpukan sepenuhnya kepada pemulihan negara bukan terjebak dengan PRK.

"Namun yang penting, kita menyeru pengundi Port Dickson untuk memilih pemimpin yang boleh memperkasakan agenda Islam dan Melayu," katanya.

PRK Parlimen Port Dickson menyaksikan pertandingan tujuh penjuru antara Anwar; bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad; calon PAS, Lt Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar; Lau Seck Yan, personaliti media sosial, Stevie Chan Kee Leong dan Kan Chee Yen.

Seorang lagi calon ialah bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Pada 2008 Saiful mendapat perhatian apabila beliau menuduh Anwar meliwatnya di sebuah kondominium di Damansara, mencetuskan kes sensasi di mahkamah negara ini.

Pada 2012, Mahkamah Tinggi membebaskan Anwar daripada kes liwat itu.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan pada Mac 2014 mengetepikan keputusan itu dan Anwar dijatuhi hukuman lima tahun penjara menyebabkan beliau tidak dapat bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.

Sumber: https://www.ismaweb.net/2018/10/02/prk-pd-pengundi-mesti-pilih-pemimpin-perkasa-agenda-islam-melayu/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo