NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Penghapusan Tol : Satu Mimpi Tidak Akan Terlaksana?



Oleh: AHMAD FADHLI BIN SHAARI,
Ahli Parlimen Pasir Mas
18 Oktober 2018

Saya bangun bertanya soalan tambahan hari ini di Dewan Rakyat dalam isu penghapusan tol. Soalan asal ialah dari Tuan Muslimin bin Yahaya (Sungai Besar) yang minta Menteri Kerja Raya menyatakan berkaitan West Coast Expressway (WCE) Banting ke Taiping, berapa tahun konsesi diberikan kepada WCE dan juga berhubung jumlah pondok kutipan tol yang akan didirikan.

Saya bangkitkan janji Pakatan Harapan yang sampai ke hari ini masih boleh diakses di laman web pakatanharapan.com.my bahawa Pakatan Harapan (Harapan) memberi keyakinan akan menghapuskan tol secara berperingkat berdasarkan kontrak konsesi selepas 100 hari mentadbir Putrajaya.

Seterusnya di dalam laporan yang disiarkan oleh Harian Metro pada 29 Ogos 2018, Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd Anuar Mohd Tahir berkata kerajaan Pakatan (PH) konsisten melunaskan janji penghapusan tol secara berperingkat di seluruh negara dengan mengambil pertimbangan kedudukan kewangan negara. Kali ini beliau menambah, kerajaan tidak boleh tergesa-gesa selepas mengetahui keadaan sebenar masalah kewangan dan beban hutang ditinggalkan kerajaan terdahulu. Beliau juga turut dilaporkan berkata bahawa penghapusan tol bukan di antara janji 100 hari dan ia berbeza dengan apa yang disiarkan oleh laman web rasmi Pakatan Harapan.

Terkini apabila Perdana Menteri sendiri di Bali Indonesia pada 12 Oktober 2018 yang lepas menyatakan bahawa pembinaan lebuh raya tanpa mengenakan kutipan tol tidak mungkin dapat diwujudkan.

Saya bangkitkan tiga kenyataan yang berbeza ini dari sumber pimpinan Pakatan Harapan yang menunjukkan terhakisnya kredibiliti Pakatan Harapan untuk terus mentadbir negara. 

Jawapan Menteri Kerja Raya di Parlimen hari ini juga yang menyatakan bahawa “kerajaan akan membuat pertimbangan berasaskan kepada kemampuan kewangan yang sedia ada” jelas menunjukkan ketiadaan komitmen di kerajaan Pakatan Harapan untuk menunaikan janji yang telah ditabur kepada rakyat. 

Di pihak PAS, kita telah menyatakan komitmen ini di dalam manifesto Gagasan Sejahtera bahawa tol wajib distruktur semula bagi mengurangkan kos hidup rakyat menerusi semakan semula perjanjian konsesi tol yang melebihi 15 tahun.


Sumber: https://www.facebook.com/ahmadfadhli80/videos/172992300271659/ 

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo