NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pemuda UMNO Kelantan bantah ratifikasi ICERD


KOTA BHARU 25 Okt. - Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan membantah sekeras-kerasnya sebarang tindakan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) cuba meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Ketuanya, Noor Hariri Mohamed Noor berkata, tindakan Kerajaan PH itu jelas bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, lebih-lebih lagi keputusan dibuat tanpa mengambil kira pandangan Majlis Raja-Raja Melayu mahupun orang awam.

Katanya, jika Malaysia meratifikasi ICERD, maka secara automatik kerajaan tidak lagi bertanggungjawab melindungi kepentingan-kepentingan Melayu dan bumiputera di negara ini.

"Sedangkan perkara itu jelas termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan kontrak sosial yang telah dipersetujui lebih 60 tahun terdahulu oleh pengasas negara kita.

"Ini isyarat jelas yang ditunjukkan oleh Kerajaan PH bahawa agenda besar mereka adalah menghapuskan etnik Melayu dan bumiputera yang selama ini dilindungi seperti yang termaktub dalam perundangan tertinggi negara," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Menurut Noor Hariri, selepas sesebuah negara meratifikasi ICERD, tiada lagi pertubuhan, gerakan mahupun program yang berasaskan satu-satu kaum dibenarkan dianjurkan kerana perkara itu akan dianggap sebagai satu diskriminasi kaum.

"Kami ingin bertanya kepada menteri atau para pemimpin PH, apakah ada agenda tersirat di sebalik perkara ini? Jika menteri pun buta Perlembgaan Persekutuan, apa lagi yang boleh rakyat harapkan dari mereka?

"Pemuda UMNO sekali lagi menyatakan pendirian membantah sekeras-kerasnya perkara ini dan mengajak rakyat untuk bersatu dan bersama menentang tindakan Kerajaan PH yang jelas akan menghakis keistimewaan Melayu dan bumiputera," katanya. - UTUSAN ONLINE




No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo