NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PAS kata PH lebih dasyat dari Umno




Shakira Buang

PRK PD | Meskipun baru enam bulan mentadbir negara, namun Pakatan Harapan (HARAPAN) sudah disifatkan sebagai pemerintah paling dasyat berbanding dengan Umno.

Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Nik Zawawi Nik Mohd Salleh berkata ini kerana kerajaan HARAPAN telah berbohong kepada rakyat yang mengundi mereka.

"Selepas mencecah hampir 100 hari PRU14 melabuhkan tirainya, masyarakat nak lihat perubahan berlaku," katanya.

Nik Zawawi berkata demikian dalam siri ceramah di Ma'ahad Tahfiz At-Thohiriyah, di Taman Selasih, Port Dickson, malam ini.

Tambahnya, pentadbiran HARAPAN juga menunjukkan mereka lebih dahsyat dalam pengurusan ekonomi berbanding BN.

"HARAPAN lebih dahsyat daripada Umno dan BN. Dari segi ekonomi lagi dahsyat...tentunya kita yakin rakyat dalam negara bila mereka silap pilih, dengan sikap berani tukar kerajaan, cuma mereka tersasar," katanya.

Nik Zawawi berkata, disebabkan itu PAS mengambil keputusan meletakkan calon mereka walaupun mengakui bukan mudah untuk memenangi kerusi itu.

"Sebab itu kita tampilkan PAS dengan janji manifesto kita, kita sentiasa tawarkan agenda Islam. 

"Betul kalau menang kita tak mampu ubah kerajaan tapi kemenangan PAS di Port Dickson akan memberi bacaan politik baru kepada negara.

"Kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan bertukar tangan, atau politik akan baca kerajaan HARAPAN akan jatuh di tengah jalan sebelum PRU15," katanya, dalam ceramah kempen terakhir sebelum tamat tempoh berkempen tengah malam ini.

Selar PM

Nik Zawawi juga turut menyelar kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung cadangan pelaksanaan cukai baru bagi membantu kerajaan melunaskan hutang negara.

"Perdana menteri baru cakap nak perkenal sistem cukai lain, bukan nak mansuh SST (Cukai Jualan dan Perkhidmatan) tapi tambah lagi cukai. Katanya tidak menyusahkan rakyat, dia nak minta cukai dengan siapa, lembu, ayam, kambing?" Soalnya.

PRK Port Dickson dijadualkan berlangsung esok, selepas tamat tempoh 14 hari berkempen, bermula penamaan calon pada 29 September lalu.

PAS meletakkan calon veteran tentera berpangkat leftenan kolonel, Mohd Nazari Mokhtar untuk menentang calon Pakatan Harapan Anwar Ibrahim, yang dijangka bakal memenangi PRK itu.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo