NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Nyawa rakyat ditelan tanah


oleh: YB Shaharizukirnain Abdul Kadir
Ahli Parlimen Setiu

Parlimen Malaysia mengangkat isu tanah sebagai salah satu isu yang dibincangkan dalam dewan petang semalam merupakan salah satu cara untuk mengetengahkan isu ini. Tidak dapat disangkal lagi bahawa lebuhraya menjadi pilihan utama yang digunakan bagi pelbagai jenis kenderaan. Lazimnya lebuhraya dibina di lereng-lereng bukit dan cerun-cerun bukit. Saya yakin dan pasti setiap pembinaan telah melalui pelbagai tapisan piawaan dan setiap tapisan telah mengambil kira tahap keselamatan pengguna.

Malangnya, isu tanah runtuh yang meragut nyawa rakyat ini tetap berlaku dan angka ini masih lagi bertambah. Malah baru-baru ini kes terbaru berlaku di Cameron Highland yang meragut tiga nyawa disebabkan oleh tanah runtuh yang berpunca dari hujan lebat. Antara isu lain juga, berlakunya kejadian runtuhan cerun di Jalan Seremban-Simpang Pertang berhampiran Bukit Tangga pada 12 Oktober lepas dan juga di Kampung Kuala Pangsun, Sungai Manggis Hulu langat pada 26 September 2018, kedua-dua ini berpunca apabila cerun mempunyai kecuraman lebih daripada 20% dan kadar kecerunan yang tinggi mencepatkan bencana alam sekitar ini.

Banyak langkah-langkah yang telah diambil antaranya ialah Sistem Pemantauan dan Amaran Awal secara tepat masa yang dipasang oleh syarikat konsesi lebuh raya utama serta menggunakan tolok hujan dan piezometer yang dipasang di cerun-cerun berisiko tinggi namun begitu sehingga ke hari ini langkah-langkah ini tidak berjaya menangani isu tanah runtuh ini. 

Walau bagaimanapun, langkah-langkah seperti pengawasan daripada Pusat Pengurusan Bencana JKR juga perlu dilakukan dengan lebih kerap. Selain itu, kerajaan perlu mengkaji semula berkaitan sektor pakar dalam Jabatan Kerja Raya (JKR) Cawangan Kejuruteraan Geoteknik dalam bidang geoteknikal dengan menitikberatkan pengambilan kakitangan geoteknikal yang berprofesional dan bertauliah. Ini kerana bidang ini sangat penting bagi menjalankan kajian melibatkan kajian menyeluruh terhadap Mekanik Tanah (sifat-sifat tanah) dan Geologi (batuan). Oleh itu, Masalah tanah runtuh mampu dikurangkan dan jika diperkemaskan, masalah ini mampu diselesaikan.

Mungkin hari ini jumlah angka mangsa tanah runtuh tidak setinggi jumlah kematian disebabkan kemalangan jalanraya, bagaimanapun, jumlah ini tidak mustahil akan meningkat dan lebih banyak nyawa yang bakal diragut meskipun pelbagai langkah yang digunakan. Isunya, adakah langkah yang diambil oleh kerajaan sudah cukup matang dalam menyentuh keselamatan rakyat? Ataupun kerajaan hanya memandang remeh isu sebegini rupa? Mungkin hari ini kita bukan mangsa dek kerana tanah runtuh, walau bagaimanpun, isu bencana alam tidak pernah berpihak kepada pihak-pihak tertentu sahaja kerana ia mungkin berlaku tanpa mengira pangkat dan darjat. Justeru itu, saya menegaskan agar pihak kerajaan membawa isu ini dengan lebih serius supaya nyawa rakyat tidak lagi di’telan’ tanah yang pada asalnya berpunca daripada kelewatan kerajaan mengambil tindakan dalam menyelesaikan masalah ini.


Sekian.

Islam memimpin


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo