NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Majlis Perunding Melayu bantah Wan Hamidi jadi CEO Bernama




BANGI, 28 Muharram 1440H, Isnin
– Majlis Perundingan Melayu (MPM) membantah jika bekas Ketua Pengarang The Rocket – lidah rasmi parti rasis dan cauvinis DAP – Wan Hamidi Hamid, dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bernama yang baharu.

Setiausaha Agung MPM, Datuk Prof Dr Hasan Mad berkata, nota bantahan dikeluarkan MPM kerana individu terbabit adalah penggiat tegar dan aktif dalam sebuah parti politik yang bergabung membentuk kerajaan Pakatan Harapan.

"Jika Bernama itu sebuah agensi berita milik swasta, MPM tidak melihat pelantikan jawatan ini bercanggah dengan kepentingan nasional, tetapi tidak bagi Bernama.

"Bernama adalah Agensi Berita Nasional. Justeru, sesiapa sahaja yang memegang jawatan eksekutif dalam agensi ini wajib bebas daripada sebarang bentuk pembabitan aktif dalam politik," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Serentak itu, MPM mendesak Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menggunakan kuasa eksekutif yang ada untuk membatalkan pelantikan berkenaan demi menjaga kepentingan negara.

Sebelum ini timbul spekulasi Wan Hamidi bakal dilantik sebagai CEO Bernama bagi menggantikan Datuk Zulkefli Salleh yang akan bersara bulan ini.

Bagaimanapun, bekas menteri UMNO yang kini ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Rais Yatim menyifatkan perlantikan Wan Hamidi yang kini Timbalan Pengarah Pusat Kajian Pengambangan Sosial – kumpulan pemikir strategi DAP – sebagai bukan pilihan yang baik.

Dalam pada itu, Hasan berkata, pihaknya bagaimanapun tidak mempersoalkan keahlian Wan Hamidi sebagai ahli seumur hidup parti berkenaan, tetapi menyanggah pelantikannya kerana beliau dianggap seorang ahli politik yang aktif dan berperanan penting dalam parti yang didukungnya.

Katanya, jika masih ingin melantik Wan Hamidi sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif mungkin juga tidak keterlaluan, tetapi bukan jawatan eksekutif.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo