Mahkamah tolak sijil tukar agama kanak-kanak



KUALA LUMPUR, 7 Safar, Selasa – Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengetepikan sijil penukaran agama dua kanak-kanak, yang ditukar agama mereka kepada Islam secara unilateral oleh emak mereka, seorang mualaf, selepas memutuskan bahawa mahkamah itu terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes M. Indira Ghandi.

Hakim Datuk Azizah Nawawi membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman seorang ahli perniagaan beragama Buddha bagi mengetepikan sijil penukaran agama anak perempuannya berusia 10 tahun dan anak lelakinya, lima tahun, yang dikemukakan bekas isterinya yang kini beragama Islam.

Dalam penghakimannya, Azizah berkata mahkamah itu terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan seorang guru tadika, Indira Ghandi, yang mencabar penukaran agama tiga anaknya kepada Islam oleh bekas suaminya, Muhammad Riduan Abdullah.

"Tidak dipertikaikan bahawa penukaran itu dibuat tanpa persetujuan kedua-dua ibu bapa. Oleh itu, mahkamah membenarkan semakan kehakiman yang dikemukakan pemohon dan mengetepikan sijil penukaran agama dua kanak-kanak berkenaan," kata beliau tanpa mengeluarkan perintah tentang kos.

Azizah juga memerintahkan Ketua Pengarah Jawi (Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan) dan Pendaftar Muallaf Wilayah Persekutuan menjadi responden bagi permohonan membuang nama kanak-kanak itu daripada senarai daftar Muallaf.

Mahkamah juga menolak permohonan peguam Datuk Sulaiman Abdullah, yang mewakili Pendaftar Muallaf Wilayah Persekutuan, bagi mendapatkan penangguhan perintah itu sementara menunggu keputusan rayuan terhadap keputusan hari ini di Mahkamah Rayuan.

Pada 14 September tahun ini, Mahkamah Rayuan memberi hak penjagaan penuh dua kanak-kanak itu kepada bapa mereka setelah membenarkan rayuan ahli perniagaan itu untuk mengubah keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang memberi hak penjagaan kanak-kanak berkenaan kepada emak mereka, yang berusia 42 tahun.

Dalam permohonan difailkan pada 14 Jun 2016, ahli perniagaan itu menamakan Ketua Pengarah Jawi, Pendaftar Muallaf Wilayah Persekutuan, Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan, Kerajaan Persekutuan dan emak kanak-kanak berkenaan sebagai responden.

Ahli perniagaan berusia 46 tahun itu, yang diwakili peguam K. Shanmuga, memohon mengetepikan penukaran agama dua anaknya oleh bekas isterinya itu.

Dia juga memohon injunksi bagi menghalang semua responden daripada mendaftarkan atau menyebabkan berlaku pendaftaran penukaran agama kanak-kanak itu kepada Islam.

Ahli perniagaan itu juga memohon perintah pembatalan semua dokumen yang berada dalam simpanan Pendaftar Muallaf atau Kementerian Pendidikan.

Secara alterrnatif, dia juga memohon perisytiharan bahawa sijil penukaran agama dua anaknya itu adalah tidak sah dan terbatal.

Ketika ditemui di luar mahkamah, peguam Rohani Ibrahim, yang mewakili ibu kanak-kanak berkenaan, berkata mereka akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu secepat mungkin.

Beliau juga memberitahu pemberita bahawa mereka telah memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan Khamis lepas terhadap keputusan Mahkamh Rayuan, yang memberi hak penjagaan penuh dua kanak-kanak berkenaan kepada bapa mereka. – Bernama

Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget