NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kes "Bin Abdullah": Fatwa Negeri Perlu Diberi Kuasa Mengikat


KES "BIN ABDULLAH" : FATWA NEGERI PERLU DIBERI KUASA MENGIKAT

Oleh:NIK MOHAMAD ABDUH BIN NIK ABDUL AZIZ
Ahli Parlimen Bachok
14 Safar 1440H | 23 Oktober 2018

1. Kes Jabatan Perdaftaran Negara (JPN) pada 2012 untuk merujuk kepada Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan berhubung dengan isu penasaban anak tidak sah taraf seharusnya dihormati. Ini kerana kes-kes melibatkan penasaban anak tidak sah taraf seorang Muslim sewajarnya melalui pandangan yang teliti oleh para ulama' di negara ini dan rujukan terhadap fatwa kebangsaan adalah tindakan yang tepat. 

2. Tahun lalu, Mahkamah Rayuan menolak tindakan JPN dengan menjelaskan bahawa fatwa tidak mempunyai "force of law" dan "legal basis" untuk menentukan penasaban anak tidak sah taraf berdasarkan Seksyen 13(2) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1975 (BDRA).

3. Kes perbicaraan "bin Abdullah" sepatutnya melalui proses "de novo" di hadapan 7 panel hakim Mahkamah Persekutuan. Namun kenyataan Ketua Hakim Negara menjelaskan bahawa ia akan diputuskan oleh 3 hakim Mahkamah Persekutuan sebelum ini sahaja. Penghakiman hakim Mahkamah Persekutuan ini kelak akan menentukan sejauhmana fatwa diberi kuasa mengikat keputusan Pendaftar Kelahiran dan Kematian berhubung penasaban anak tidak sah taraf.

4. Saya menggesa supaya pindaan atau akta baru diperkenalkan supaya fatwa turut diberikan kuasa rujukan bagi sebarang keputusan terutama dibawah BDRA yang melibatkan kes penasaban anak tidak sah taraf umat Islam. Setakat ini, fatwa hanya mempunyai kuasa mengikat dalam kes-kes mahkamah syariah sahaja. 

5. Ini kerana penasaban anak adalah terikat di bawah kekeluargaan Islam dan kesalahan padanya akan membawa implikasi hukum agama yang besar. Justeru, fatwa agama adalah rujukan penting bagi sesuatu tindakan termasuklah oleh agensi Kerajaan Persekutuan seperti JPN.

6. Hakikatnya, ketetapan sesuatu fatwa telah mengambilkira pelbagai isu yang berbangkit sebelum mengeluarkan sebarang pendirian dan amat wajar menjadi rujukan oleh semua pihak khususnya melibatkan umat Islam. 

7. Meskipun memahami kes ini akan diputuskan Mahkamah Persekutuan kelak, namun ia sepatutnya mendapat perhatian pihak berwajib supaya langkah strategik diambil bagi mengelakkan konflik yang lebih besar pada masa hadapan.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo