Jadikan 'adab' kriteria pemilihan wakil rakyat


rozaman. [email protected] 

MENJAGA adab dalam kehidupan adalah satu tuntutan sejagat. Malah semua agama di dunia ini menitikberatkan adab dalam apa sahaja perlakuan. Ini termasuklah adab dalam pergaulan seharian yang sudah tentunya meliputi segala tingkah laku sewaktu bercakap, bertutur kata atau perbuatan lain. Adab dalam perbualan secara tidak langsung juga mencerminkan akhlak seseorang. 

Setiap individu tidak kiralah pada tahap mana kedudukan mereka dalam masyarakat perlu menjaga adab dalam segala segi lebih-lebih adab sewaktu berkomunikasi sesesama manusia. Berbicaralah menggunakan tutur kata yang lemah lembut, bahasa yang baik-baik serta intonasi suara yang sederhana. Elakkan menggunakan suara yang keras, bahasa kasar dan bernada menengking-nengking apatah lagi dengan orang dewasa dan lebih tua.
Baru-baru ini satu klip video yang memaparkan tingkah laku seorang wakil rakyat sedang bertikam lidah dengan penduduk kampung menjadi viral. Kiranya satu negara bercakap mengenai klip video itu. Video itu dirakamkan dari pelbagai sudut yang berbeza-beza. Seperti biasa reaksi dalam media sosial, tidak ada yang positif. Hampir semua netizen mengecam, membelasah dan mengutuk tingkah laku wakil rakyat tersebut.

Tidak pernah berlaku dalam sejarah seorang wakil rakyat bertengkar dan bertikam lidah dengan orang kampung apatah lagi dengan pengundi di kawasan sendiri. Wakil-wakil rakyat biasanya bertikam lidah ketika berbahas di Parlimen dan dewan undangan negeri sahaja. 

Kalaupun bertengkar, mereka hanya bertegang urat sesama wakil rakyat daripada parti lawan berhubung satu-satu isu berkepentingan ramai. Itupun hanya berlaku ketika di dalam dewan. Keluar sahaja dari dewan, mereka bersalaman, gelak ketawa sambil minum-minum di kafe dewan.

Tetapi apa yang berlaku baru-baru ini, sesuatu yang sedikit pelik. Seorang wakil rakyat tergamak bertikam lidah dengan orang kampung. Punyalah hangat pertengkaran itu sehingga sampai ke satu tahap ada kedengaran penduduk yang berkata: "Mengucap YB! Mengucap YB!" 

Wakil rakyat sebenarnya seorang yang sangat istimewa. Mereka dianugerahkan dengan kelebihan dalam berkomunikasi dan boleh menyesuaikan diri dalam apa sahaja keadaan ketika berdepan dengan rakyat jelata. Dalam apa sahaja situasi waima tegang dan kritikal macam mana pun, mereka boleh tenang. 

Pernah berlaku wakil rakyat dicemuh dan diherdik oleh sekumpulan kecil pengundi ketika berkempen, mereka masih boleh bermanis muka bersemuka dengan kumpulan itu. Mereka juga boleh memberikan jawapan yang menyejukkan hati orang ramai. Malah mereka boleh 'berlakon' atau 'bermuka-muka' dalam apa sahaja keadaan. Bakat ini bukan semua orang ada, wakil rakyat sahaja yang ada. Keistimewaan ini menjadikan mereka dekat, disukai ramai dan panjang hayat dalam politik.

Mujur video hangat itu sempat bertahan sehari sahaja. Wakil rakyat yang kelihatan 'keras dan garang' itu tidak semena-mena muncul memohon maaf atas apa yang berlaku. Satu perkara yang patut diberi pujian ialah, beliau sanggup membuang segala ego demi menjernihkan keadaan. Para penduduk kampung yang terlibat pula mempamerkan adab dalam bermasyarakat yang tinggi dengan berlapang dada memaafkan apa yang berlaku. 

Tidak pasti sama ada tindakan itu dilakukan setelah mendapat 'wahyu' daripada pucuk pimpinan tertinggi partinya. Kalaupun ada wahyu pun amat wajar kerana tidak ada pemimpin parti politik yang senang dan selesa melihat klip video berkenaan. Selain mengganggu perasaan dan minda, kesannya bukan kecil kalau dibiarkan berlarutan. Sebelum rakyat menghukum pada pilihan raya akan datang, lebih baik dihentikan segera walaupun kerosakan sudah berlaku.

Walaupun kes ini boleh disifatkan sebagai terpencil, sedikit sebanyak timbul persoalan berhubung kriteria pemilihan seseorang calon untuk bertanding dalam pilihan raya. Untuk pilihan raya akan datang parti-parti yang bertanding perlu meletakkan 'adab' sebagai salah satu lagi kriteria yang perlu dimiliki oleh seseorang calon selain pertimbangan dari segi personaliti, kelulusan, integriti, latar belakang moral dan populariti dalam kalangan rakyat. Tidak ada gunanya kalau seseorang wakil rakyat itu nampak sasa, ketat, hebat dari segi berpakaian, rambut disisir berkilat diikat pomade tetapi 'ke laut' bab-bab tata susila dan adab! 





Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget